SDI 1913: Bagaimana Mengimbangkan Antara Dunia Dan Akhirat?

Adab dan Akhlak Jumlah paparan: 37

Soalan:

Bagaimana kita dapat mengimbangi kehidupan di dunia dengan persiapan untuk akhirat?

Jawapan:

Dunia ialah tempat beramal, manakala akhirat ialah tempat menerima balasan. Keseimbangan yang sebenar ialah apabila hati seorang mukmin berada antara rasa takut dan harapan; kerana ketidakseimbangan akan berlaku apabila kita melebihkan rasa takut berbanding harapan, dan begitu juga sebaliknya. Dalam hal ini, kita perlu sentiasa mengingati rahmat Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Allah سبحانه وتعالى menamakan diri-Nya sebagai Maha Penyayang, Maha Lembut dan Maha Pengasih, dan sesungguhnya rahmat-Nya mendahului kemurkaan-Nya.

Manusia di dunia ini berada dalam keadaan diuji dan dinilai. Orang yang bijaksana, sebagaimana sabda Nabi :

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ المَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى الله الأَمَانِيَّ

 “Orang yang bijak ialah orang yang menghisab dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati, manakala orang yang lemah ialah orang yang menuruti hawa nafsunya serta hanya berangan-angan terhadap Allah.”

Namun, ini tidak bermakna seseorang itu perlu hidup di dunia sebagai seorang zahid yang mengasingkan diri dan tidak mengambil peduli tentang urusan dunia. Sebaliknya, dia hendaklah menjadikan dunia sebagai wasilah menuju akhirat, serta menjadikan kebiasaan hidupnya sebagai ibadah melalui niat yang baik.

Sebagai contoh, jika seseorang berusaha mengumpulkan harta dengan tujuan memakmurkan bumi, menunaikan zakat, membantu golongan yang memerlukan, atau melaksanakan tanggungjawab pekerjaannya dengan sempurna, serta memenuhi keperluan orang ramai yang memerlukan khidmatnya, atau membantu menyelamatkan manusia atau haiwan dengan ilmu dan kepakarannya, maka tidak syak lagi dia akan memperoleh ganjaran di dunia dan di akhirat dengan sebab niatnya yang baik. Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى tidak akan mensia-siakan pahala orang yang berbuat kebaikan.

Demikian juga keseimbangan antara usaha mencari kepentingan dunia dan beramal untuk akhirat terhasil apabila seseorang hamba berusaha memenuhi keperluan dunianya secara sederhana (الاقتصاد), tanpa menjadikan usahanya itu menyebabkan terabai mana-mana kewajipan terhadap Allah Taala. Dalam hal ini, telah diriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Humaid al-Sa‘idi r.a., bahawa Rasulullah bersabda:

أَجْمِلُوا فِي طَلَبِ الدُّنْيَا فَإِنَّ كل مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لَهُ

“Berlaku sederhanalah dalam menuntut urusan dunia, kerana sesungguhnya setiap orang dimudahkan untuk apa yang dia diciptakan baginya.” (Riwayat Ibn Mājah).

Para ulama menjelaskan bahawa maksud sabda Baginda: “Berlaku sederhanalah dalam menuntut” ialah: أَجْمَلَ فِي الطَّلَبِ إِذَا اعْتَدَلَ، وَلَمْ يُفْرِطْ berlaku seimbang dan tidak melampau dalam usaha mencari dunia.

Kerosakan dan ketidakseimbangan hanya berlaku apabila dunia didahulukan mengatasi akhirat, sehingga dunia menjadi kebimbangan terbesar dalam hidup. Ketika itu, seseorang akan berlebih-lebihan dalam mengejar dunia dan mengabaikan agamanya kerana terlalu sibuk dengannya. Rasulullah bersabda:

مَنْ كَانَتِ الآخِرَةُ هَمَّهُ: جَعَلَ اللَّهُ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ، وَجَمَعَ لَهُ شَمْلَهُ، وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ، وَمَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ: جَعَلَ اللَّهُ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ، وَفَرَّقَ عَلَيْهِ شَمْلَهُ، وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا مَا قُدِّرَ لَهُ

“Sesiapa yang menjadikan akhirat sebagai kebimbangan terbesarnya, Allah akan menjadikan kekayaannya (kecukupan) di dalam hatinya, mengumpulkan urusannya, dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan hina. Namun sesiapa yang menjadikan dunia sebagai kebimbangan terbesarnya, Allah akan menjadikan kefakirannya di hadapan matanya, mencerai-beraikan urusannya, dan dia tidak akan memperoleh daripada dunia melainkan apa yang telah ditakdirkan baginya.” (Riwayat al-Tirmizi).

Oleh itu, apabila seseorang hamba menunaikan kewajipan-kewajipan agama dan bersikap sederhana dalam usaha mencari keperluan dunia, maka dia telah mencapai keseimbangan dan tidak menyimpang daripada neraca keadilan.

Tidak ada larangan bagi seorang Muslim untuk berusaha mendapatkan manfaat duniawi. Penulis Aḍwā’ al-Bayān menyebut bahawa:

قَدْ جَاءَ الْقُرْآنُ بِجَلْبِ الْمَصَالِحِ بِأَقْوَمِ الطُّرُقِ، وَأَعْدَلِهَا، فَفَتَحَ الْأَبْوَابِ لِجَلْبِ الْمَصَالِحِ فِي جَمِيعِ الْمَيَادِينِ، قَالَ تَعَالَى: فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ {62:10} وَقَالَ: لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَبْتَغُوا فَضْلًا مِنْ رَبِّكُمْ {2:198}وَقَالَ: وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ فَضْلِ اللَّهِ {73:20} وَقَالَ:.... بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ {4:29}، وَلِأَجْلِ هَذَا جَاءَ الشَّرْعُ الْكَرِيمُ بِإِبَاحَةِ الْمَصَالِحِ الْمُتَبَادَلَةِ بَيْنَ أَفْرَادِ الْمُجْتَمَعِ عَلَى الْوَجْهِ الْمَشْرُوعِ؛ لِيَسْتَجْلِبَ كُلٌّ مَصْلَحَتَهُ مِنَ الْآخَرِ، كَالْبُيُوعِ، وَالْإِجَارَاتِ، وَالْأَكْرِيَةِ، وَالْمُسَاقَاةِ، وَالْمُضَارَبَةِ، وَمَا جَرَى مَجْرَى ذَلِكَ

al-Quran datang dengan membawa kemaslahatan melalui jalan yang paling lurus dan paling adil. Ia membuka pintu-pintu untuk meraih kemaslahatan dalam semua bidang. Allah Taala berfirman: “Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah” (al-Jumu‘ah: 10). Firman-Nya lagi: “Tidak ada dosa ke atas kamu untuk mencari kurnia daripada Tuhan kamu” (al-Baqarah: 198), dan firman-Nya: “Dan orang-orang lain yang bermusafir di muka bumi mencari kurnia Allah” (al-Muzzammil: 20). Allah juga berfirman: “… kecuali jika ia merupakan perniagaan yang dilakukan secara saling reda antara kamu” (al-Nisā’: 29). Oleh sebab itu, syariat Islam membenarkan pelbagai bentuk urusan dan kepentingan bersama antara anggota masyarakat dengan cara yang dibenarkan syarak, supaya setiap orang dapat memperoleh manfaat daripada yang lain, seperti jual beli, sewaan, upah, musāqāh, muḍārabah dan seumpamanya.”

Bahkan, Nabi menganggap usaha mencari rezeki sebagai sebahagian daripada perjuangan di jalan Allah. Dalam Mu‘jam al-Ṭabarānī, diriwayatkan hadis marfū’ yang dinilai sahih oleh al-Albani dari sudut ada penguatannya, bahawa Rasulullah bersabda:

إِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى وَلَدِهِ صِغَارًا، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَإِنْ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى أَبَوَيْنِ شَيْخَيْنِ كَبِيرَيْنِ، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَإِنْ كَانَ يَسْعَى عَلَى نَفْسِهِ يَعِفُّها، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَإِنْ كَانَ خَرَجَ رِيَاءً وتَفَاخُرًا، فَهُوَ فِي سَبِيلِ الشَّيْطَانِ

“Jika seseorang keluar berusaha untuk menanggung anak-anaknya yang kecil, maka dia berada di jalan Allah. Jika dia keluar berusaha untuk menanggung kedua ibu bapanya yang telah lanjut usia, maka dia berada di jalan Allah. Jika dia keluar berusaha untuk mencukupkan dirinya agar terpelihara daripada meminta-minta, maka dia berada di jalan Allah. Namun jika dia keluar kerana riak dan bermegah-megah, maka dia berada di jalan syaitan.”

Maka bersungguh-sungguhlah mentaati Allah Taala dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Dalam masa yang sama kita dibenarkan berusaha untuk kepentingan dunia kita seperti menuntut ilmu dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Jika kita bergantung kepada Allah, nescaya Allah akan menolong kita. Susunlah setiap perkara mengikut waktunya, tanpa melampau dan tanpa mengabaikan. Dalam Kitab al-Zuhd karya Hannād (هناد), diriwayatkan daripada Wahb bin Munabbih bahawa:

مَكْتُوبٌ فِي حِكْمَةِ آلِ دَاوُدَ: حَقٌّ عَلَى الْعَاقِلِ أَنْ لَا يَغْفَلَ عَنْ أَرْبَعِ سَاعَاتٍ مِنَ النَّهَارِ: سَاعَةٌ يُنَاجِي فِيهَا رَبَّهُ، وَسَاعَةٌ يُحَاسِبُ فِيهَا نَفْسَهُ، وَسَاعَةٌ يَخْلُو فِيهَا مَعَ إِخْوَانِهِ الَّذِينَ يَنْصَحُونَهُ فِي نَفْسِهِ وَيَصُدُّونَهُ عَنْ عُيُوبِهِ، وَسَاعَةٌ يُخَلِّي بَيْنَ نَفْسِهِ وَبَيْنَ لَذَّتِهَا فِيمَا يَحِلُّ وَيَجْمُلُ، فَإِنَّ هَذِهِ السَّاعَةَ تَكُونُ عَوْنًا عَلَى هَذِهِ السَّاعَةِ، وَاسْتِجْمَامِ الْقُلُوبِ, وَفَضْلٍ, وَبُلْغَةٍ، وَحَقٌّ عَلَى الْعَاقِلِ أَنْ لَا يَكُونَ طَاعِنًا إِلَّا فِي إِحْدَى ثَلَاثَةٍ: يُزَوِّدُ لِمَعَادٍ، أَوْ عَزِيمَةٍ لِمَعَاشٍ، أَوْ لَذَّةٍ فِي غَيْرِ مُحَرَّمٍ، وَحَقٌّ عَلَى الْعَاقِلِ أَنْ يَكُونَ عَالِمًا بِزَمَانِهِ، مَالِكًا لِلِسَانِهِ، مُقْبِلًا عَلَى شَأْنِهِ

“Tertulis dalam hikmah keluarga Nabi Daud عليه السلام: “Wajib ke atas orang yang berakal untuk tidak lalai daripada empat waktu pada siang hari: satu waktu untuk bermunajat kepada Tuhannya, satu waktu untuk menghisab dirinya, satu waktu untuk bersama saudara-saudaranya yang menasihatinya dan menghalangnya dari kekurangannya, dan satu waktu untuk memberi ruang kepada dirinya menikmati kesenangan yang halal dan baik. Sesungguhnya waktu ini membantu waktu-waktu yang lain, menyegarkan hati, memberi kekuatan dan bekalan. Dan wajib ke atas orang yang berakal agar perjalanannya tidaklah melainkan untuk salah satu daripada tiga perkara: penyediaan bekalan untuk akhirat, usaha bagi kehidupan dunia, atau kesenangan yang tidak diharamkan. Dan wajib ke atas orang yang berakal untuk mengetahui keadaan zamannya, menjaga lisannya, dan menumpukan perhatian kepada urusannya sendiri.”

 

Cetak
Wallahu a'lam