Soalan:
Bagaimana kita dapat menghadapi cubaan dan ujian di dunia dengan sabar dan tawakal untuk mencapai kebahagiaan di akhirat?
Jawapan:
Asal makna sabar ialah menahan dan mengurung (المنع والحبس). Maka sabar ialah:
حبس النفس عن الجزع واللسان عن التشكي، والجوارح عن لطم الخدود وشق الثياب ونحوهما
Menahan diri daripada keluh-kesah, menahan lidah daripada mengadu-ngadu, serta menahan anggota badan daripada perbuatan seperti menampar pipi, mengoyakkan pakaian dan seumpamanya.
Allah Taala berfirman:
وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا
“Dan bersabarlah engkau bersama orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang dengan mengharapkan keredaan-Nya. Dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana menginginkan perhiasan kehidupan dunia. Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami lalai hatinya daripada mengingati Kami, serta dia menuruti hawa nafsunya dan keadaannya melampaui batas.” (al-Kahf: 28) (Lihat: ‘Uddah al-Ṣābirīn wa Dhakhīrah al-Shākirīn karya Ibn al-Qayyim, hlm. 17)
Sabar, separuh daripada iman. Tidak ada suatu anugerah yang lebih luas dan lebih besar daripada sabar. Sabar mempunyai beberapa jenis dan pembahagian, antaranya: sabar dalam melaksanakan ketaatan, sabar dalam meninggalkan maksiat, dan sabar ketika menghadapi ujian serta musibah.
Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang bersabar ganjaran yang besar dalam Kitab-Nya, sebagaimana firman-Nya:
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka tanpa hitungan.” (al-Zumar: 10)
Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda:
عجباً لأمر المؤمن إن أمره كله له خير وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن إن أصابته سراء شكر فكان خيراً له وإن أصابته ضراء صبر فكان خيراً له
Maksudnya: “Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin; sesungguhnya seluruh urusannya adalah kebaikan baginya, dan hal itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang mukmin. Jika dia ditimpa kesenangan, dia bersyukur, maka hal itu menjadi kebaikan baginya; dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka hal itu juga menjadi kebaikan baginya.”
Manakala tawakal ialah kebergantungan hati yang sebenar kepada Allah عز وجل dalam memperoleh segala kebaikan dan menolak segala kemudaratan, sama ada dalam urusan dunia mahupun akhirat. Ia juga bermaksud seorang hamba menyerahkan sepenuhnya semua urusannya kepada Allah سبحانه وتعالى, serta merealisasikan keimanannya bahawa tiada sesiapa pun yang memberi atau menahan, memudaratkan atau memberi manfaat, melainkan Dia semata-mata.
Allah سبحانه وتعالى mencintai orang-orang yang bertawakal. Telah diriwayatkan daripada Nabi ﷺ bahawa Baginda bersabda:
لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا
“Sekiranya kamu benar-benar bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Dia akan memberi rezeki kepada kamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung; ia keluar pada waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim. Kedua-dua mereka menilainya sebagai sahih)
Maka renungilah keadaan burung-burung ketika ia keluar dari sarangnya; ia tidak mempunyai sumber pendapatan tetap, tidak memiliki ladang atau kilang, namun ia tetap bergerak sebagaimana yang diperintahkan Allah, lalu memakan rezeki yang Allah kurniakan kepadanya.
Tawakal, merupakan cabang daripada iman, dan ia menjadi kuat seiring dengan kuatnya tauhid serta besarnya harapan seorang Muslim kepada Allah Yang Maha Mulia. Allah Taala berfirman:
وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
“Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya” (al-Ṭalāq: 3).
Allah telah menyelamatkan para nabi-Nya dengan sebab baiknya tawakal mereka. Nabi Allah Hud عليه السلام ketika diancam dan ditakut-takutkan oleh kaumnya, beliau berkata kepada mereka:
إِنِّي تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ رَبِّي وَرَبِّكُمْ مَا مِنْ دَابَّةٍ إِلَّا هُوَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا
“Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Tidak ada satu makhluk melata pun melainkan Dia memegang ubun-ubunnya” (Hud: 56).
Demikian juga yang dilakukan oleh al-Khalil Ibrahim عليه السلام ketika beliau dicampakkan ke dalam api dalam keadaan terikat, lalu beliau berkata: حسبي الله ونعم والوكيل “Cukuplah Allah bagiku, dan Dialah sebaik-baik Pelindung.” Ungkapan ini juga diucapkan oleh Rasulullah ﷺ ketika dikatakan kepada Baginda:
إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
“Sesungguhnya manusia telah berkumpul untuk memerangi kamu, maka takutlah kepada mereka,” namun kata-kata itu menambahkan keimanan mereka, lalu mereka berkata: “Cukuplah Allah bagi kami dan Dialah sebaik-baik Pelindung” (Āli ‘Imrān: 173).
Sunatullah berupa ujian dan cubaan terus berlaku ke atas manusia, dan tidak ada seorang pun yang terlepas daripadanya. Allah سبحانه وتعالى berfirman:
الَّذي خَلَقَ المَوتَ وَالحَياةَ لِيَبلُوَكُم أَيُّكُم أَحسَنُ عَمَلًا وَهُوَ العَزيزُ الغَفورُ
“Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (al-Mulk: 2).
Firman-Nya lagi:
كُلُّ نَفسٍ ذائِقَةُ المَوتِ وَنَبلوكُم بِالشَّرِّ وَالخَيرِ فِتنَةً وَإِلَينا تُرجَعونَ
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan Kami menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai satu ujian, dan kepada Kamilah kamu akan dikembalikan” (al-Anbiyā’: 35).
Seluruh kehidupan ini adalah medan ujian dan penilaian, sama ada melalui kebaikan atau keburukan. Maka menjadi kewajipan bagi seorang mukmin untuk bersabar terhadap ketentuan dan takdir Allah, di samping berusaha mengambil sebab-sebab untuk mendatangkan kebaikan dan menolak keburukan daripada dirinya. Setelah itu, hendaklah dia reda dengan segala ketentuan Allah yang menimpanya. Sesungguhnya beriman kepada takdir, sama ada yang baik atau yang buruk, merupakan salah satu rukun iman, dan iman seseorang tidak sempurna melainkan dengannya.
Ujian itu terbahagi kepada dua jenis:
- Ujian sebagai penyucian dan peningkatan darjat bagi hamba yang soleh.
- Ujian sebagai hukuman dan didikan bagi hamba yang melakukan maksiat dan jauh daripada Allah, agar dia kembali dan bertaubat kepada Tuhannya.
Allah mempunyai hikmah yang besar dalam ujian yang ditimpakan ke atas hamba-Nya jika seseorang hamba itu reda dan bersabar, antaranya:
- Mengangkat darjatnya dan menghapuskan dosa-dosanya.
- Dorongan kepada ibadah sabar, doa dan merendah diri kepada Allah.
- Mendekatkan dirinya kepada Allah سبحانه وتعالى serta melembutkan hatinya, dan hikmah-hikmah lain seumpamanya.
Rasulullah ﷺ bersabda:
ما يزال البلاء بالمؤمن والمؤمنة في نفسه وولده وماله حتى يلقى الله وما عليه خطيئة
“Ujian akan terus menimpa seorang mukmin lelaki dan perempuan pada diri, anak dan hartanya, sehingga dia bertemu Allah dalam keadaan tidak mempunyai dosa” (Riwayat al-Tirmizi), dan beliau berkata: hadis ini hasan sahih.
Maka hadapilah ujian di dunia ini dengan penuh kesabaran. Niatkanlah ganjaran di sisi Allah, nescaya kita akan mendapati kesudahannya sebagai suatu kebaikan. Ketahuilah bahawa kesempitan yang dirasai itu mungkin berpunca daripada kelemahan iman. Sesungguhnya orang yang reda terhadap ketentuan dan takdir Allah akan merasakan ketenangan dalam dirinya setelah berlakunya ujian, dan dia memuji Allah kerana kesusahan yang menimpanya itu tidak mengenai agamanya.
Demikian juga, bertawakallah kepada Allah, berbaik sangkalah kepada-Nya, dan ketahuilah bahawa segala ketentuan Allah adalah kebaikan, walaupun pada zahirnya ia kelihatan menyakitkan. Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةُ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بهَا من خطاياه
“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kebimbangan, kesedihan, gangguan atau kesusahan, bahkan duri yang menusuknya sekali pun, melainkan Allah akan menghapuskan dengannya sebahagian daripada dosa-dosanya.” (Riwayat Muslim)
Dan Rasulullah ﷺ juga bersabda:
عجباً لأمر المؤمن إن أمره كله له خير وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن إن أصابته سراء شكر فكان خيراً له وإن أصابته ضراء صبر فكان خيراً له
“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin; sesungguhnya seluruh urusannya adalah kebaikan baginya, dan hal itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang mukmin. Jika dia ditimpa kesenangan, dia bersyukur, maka hal itu menjadi kebaikan baginya; dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka hal itu juga menjadi kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim dan selainnya)
Maka tempuhilah cubaan dan ujian hidup di dunia dengan memahami al-Quran dan membacanya dengan penuh tadabbur, berterusan dalam mengingati Allah, serta menghadiri majlis-majlis ilmu dan kebaikan.