SDI 0328: Apakah Syaitan Mengetahui Gerak Hati Manusia?

Soalan: 

Assalammualaikum ustaz, sy didatangi seorang yg mengajukan soalan pada sy.. Soalannya, boleh ke Syaitan membaca fikiran manusia?

Jawapan:

Persoalan ini menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.

Hadis-hadis Nabi SAW menunjukkan Syaitan dan Malaikat hampir dengan jantung hati manusia, sama ada muslim mahupun kafir.

Nabi SAW menyatakan Syaitan itu bergerak dalam tubuh anak Adam menerusi saluran darah mereka.

Dekat dan lamanya syaitan mendampingi seseorang menyebabkan dia kenal dan tahu kecenderungan orang tersebut.

Demikian juga syaitan dapat mengetahui sesuatu melalui tanda-tanda yang dapat diperhatikannya. Sama sepertimana apabila kita memberi isyarat kepada seseorang supaya datang ataupun pergi. Dan isyarat itu difahami oleh orang tersebut.

Maka demikianlah juga malaikat dan syaitan dapat mengetahui keinginan seseorang hendak melakukan kebaikan atau kejahatan.

Kerana itu di dalam Sahih alBukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda: "Apabila seseorang hamba berkeinginan melakukan sesuatu kebaikan, dicatit untuknya satu kebaikan, jika dia melakukannya, maka dicatit untuknya 10 kebaikan. Apabila seseorang hamba berkeinginan melakukan satu keburukan, tidak dicatit satu keburukan untuknya, jika dia lakukan keburukan tersebut, maka dicatit untuknya satu keburukan. Jika dia tinggalkan keburukan itu kerana Allah, maka dicatit untuknya satu kebaikan."

Hadis ini menunjukkan malaikat mengetahui apa yang ingin dilakukan oleh seseorang sama ada perkara baik atau buruk. Ini bukanlah bermaksud mereka mengetahui perkara ghaib yang khusus kepada Allah sahaja. Sebaliknya mereka mengetahuinya melalui apa yang mereka dengar dan lihat apa-apa perubahan di dalam jantung hati manusia.

Syeikh alislam Ibn Taimiyyah menyatakan: "telah diriwayatkan daripada Ibn 'Uyainah, bahawa para malaikat akan menghidu bau wangi, sehingga mereka mengetahui seseorang itu ingin melakikan kebaikan. Dan para malaikat akan menghidu bau busuk, lalu mereka mengetahui seseorang itu ingin melakukan keburukan."

Beliau juga berkata para malaikat tidak memerlukan bau-bauan tersebut untuk mengetahui keinginan seseorang. Bahkan mereka dapat memerhati dan mendengar apa yang dibisikkan di dalam hati. Demikian juga Syaitan dalam memasuki jantung hati seseorang. Jika org itu mengingati Allah, syaitan tersebut akan menyorok dan menjauhkan diri. Jika orang itu lalai, syaitan itu akan membisikkan kejahatan. (Lihat Majmu' alFatawa 5/507-508)

Justeru, hendaklah kita berhati2 dgn setiap keinginan dan bisikan yg ada di dlm jantung hati.


Cetak  
Wallahu a'lam