Syiah Dan Hadis Ghadir Khum (غدير خم)

Akidah Jumlah paparan: 1567

Thursday, October 11, 2012

SYIAH DAN HADITH GHADIR KHUM (غدير خم)
Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Ajaran Syi’ah, hingga ke hari ini mahukan Sayyidina ‘Ali RA menggantikan Nabi SAW sebagai khalifah setelah kewafatan baginda. Sekalipun perkara itu telah berlalu dan tidak mungkin boleh berulang lagi, mereka masih tetap memahukannya. Lantaran cita-cita yang tidak kesampaian itu, mereka telah mengkafirkan para Sahabat Nabi SAW kesemuanya melainkan tiga atau empat orang sahaja. Mereka juga telah mengada-adakan alasan untuk membenarkan keyakinan salah mereka, antara alasan tersebut ialah berdalilkan dengan Hadith Ghadir Khum (غدير خم). Hadis ini juga merupakan hujah yang terkuat di sisi Syiah.

Tidak dinafikan hadis Ghadir Khum adalah sebuah hadis yang Sahih. Ia terdapat di dalam beberapa kitab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Namun malangnya Syiah tidak mampu untuk memahami hadis ini dengan cara yang betul, akibatnya mereka tersesat di dalam cahaya. Di sini akan disertakan riwayat hadis Ghadir Khum dan jawapan terhadap pegangan salah Syiah:

RIWAYAT DARI IMAM MUSLIM

قَامَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَوْمًا فِينَا خَطِيبًا بِمَاءٍ يُدْعَى خُمًّا بَيْنَ مَكَّةَ وَالْمَدِينَةِ، فَحَمِدَ اللَّهَ، وَأَثْنَى عَلَيْهِ، وَوَعَظَ وَذَكَّرَ، ثُمَّ قَالَ: «أَمَّا بَعْدُ؛ أَلا أَيُّهَا النَّاسُ، فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ رَسُولُ رَبِّي فَأُجِيبَ، وَأَنَا تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ: أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللَّهِ، فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ، فَخُذُوا بِكِتَابِ اللَّهِ وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ»، فَحَثَّ عَلَى كِتَابِ اللَّهِ وَرَغَّبَ فِيهِ، ثُمَّ قَالَ: «وَأَهْلُ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللَّهَ فِى أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللَّهَ فِى أَهْلِ بَيْتِي»، فَقَالَ حُصَيْنٌ بنُ سَبْرَةَ لِزَيْدٍ: "وَمَنْ أَهْلُ بَيْتِهِ يَا زَيْدُ؟ أَلَيْسَ نِسَاؤُهُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ؟"، قَالَ: "نِسَاؤُهُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ، وَلَكِنْ أَهْلُ بَيْتِهِ مَنْ حُرِمَ الصَّدَقَةَ بَعْدَهُ"، قَالَ: "وَمَنْ هُمْ؟"، قَالَ: "هُمْ آلُ عَلِيٍّ، وَآلُ عَقِيلٍ، وَآلُ جَعْفَرٍ، وَآلُ عَبَّاسٍ"، قَالَ: "كُلُّ هَؤُلاَءِ حُرِمَ الصَّدَقَةَ؟"، قَالَ: "نَعَمْ".

Mafhumnya: “Suatu hari Rasulullah SAW berdiri menyampaikan khutbah kepada kami di lembah yang dinamakan Khum terletak diantara Mekah dan Madinah. Baginda memuji dan memuja Allah, memberi peringatan dan pengajaran, kemudian baginda bersabda: Amma Ba’du, wahai sekelian manusia, sesungguhnya saya hanyalah seorang manusia, hampir sahaja datang kepada saya utusan Allah (malaikat maut) dan saya akan menyahutnya, saya juga telah meninggalkan kepada kamu semua dua perkara, pertamanya Kitab Allah, di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya, ambillah dan berpegang teguhlah dengannya, baginda memberi peransang dan galakan. Seterusnya baginda bersabda: dan ahli keluargaku, saya ingatkan kamu semua (akan arahan Allah) terhadap ahli keluarga saya, saya ingatkan kamu semua (akan arahan Allah) terhadap ahli keluarga saya, saya ingatkan kamu semua (akan arahan Allah) terhadap ahli keluarga saya. Husyain bin Sabrah bertanya kepada Zaid: Siapakah ahli keluarga baginda wahai Zaid? Bukankah para isteri baginda termasuk di dalam ahli keluarga baginda? Zaid menjawab: para isteri baginda terdiri dari keluarga baginda, akan tetapi ahli keluarga baginda (yang dimaksudkan di sini ialah) sesiapa yang diharamkan sedekah untuknya selepas kewafatan baginda. Zaid bertanya lagi: Siapakah mereka? Jawab Zaid: Mereka ialah keluarga ‘Ali, keluarga ‘Aqil, keluarga Ja’far dan keluarga ‘Abbas. Zaid bertanya: Semua mereka itu diharamkan sedekah? Husyain menjawab: Ya.”

Hadis tentang Ghadir Khum ini, terdapat beberapa tambahan dari riwayat-riwayat yang lain antaranya:

مَنْ كُنْتُ مَوْلاهُ؛ فَعَلِيٌّ مَوْلاهُ، اللَّهُمَّ وَالِ مَنْ وَالاهُ، وَعَادِ مَنْ عَادَاهُ

Mafhumnya: “Sesiapa yang aku adalah maulanya, maka ‘Ali juga adalah maulanya, Ya Allah jadilah maula kepada orang yang maula kepada ‘Ali dan musuhilah sesiapa yang memusuhinya” (Musnad Ahmad. Ahmad Syakir menghukum Isnad hadis ini sebagai Sahih)

وَانْصُرْ مَنْ نَصَرَهُ، وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَهُ

Mafhumnya: “(Ya Allah) bantulah sesiapa yang membantu ‘Ali dan hinakan sesiapa yang menghinanya.” (Musnad Ahmad. Ahmad Syakir menghukum Isnad hadis ini sebagai Sahih)

Melalui hadis Ghadir Khum ini, Syiah menjadikan ianya sebagai bukti kuat bahawa ‘Ali RA merupakan orang yang lebih berhak menjadi khalifah selepas kewafatan Nabi SAW berbanding Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Uthman RA. Apabila Abu Bakr, ‘Umar dan Uthman yang dipilih menjadi khalifah bukan ‘Ali RA maka mereka telah menghukumkan semua sahabat sebagai menderhakai Allah SWT dan Rasul SAW. Apakah benar cara fahaman golongan Syiah ini?

HUJAH SYI’AH DENGAN HADIS INI DAN JAWAPAN

1. Syiah mendakwa Ghadir Khum berada di Juhfah, ia merupakan tempat perpisahan para jemaah haji dari Mekah untuk pulang ke tempat masing-masing. Maka apabila Nabi SAW memilih kawasan ini untuk diberi peringatan tersebut, ia menandakan perkara tersebut adalah suatu yang terpenting untuk didengari oleh kesemua para jemaah haji sebelum mereka pulang ke tempat masing-masing.

BANTAHAN

Dakwaan Syiah yang mengatakan Ghadir Khum berada DI Juhfah, dan ia merupakan tempat perpisahan kesemua jemaah haji dari Mekah adalah rekaan dan palsu. Ini kerana, jarak antara Mekah dan Juhfah menjangkaui lebih kurang 250 KM. Persoalannya, bagaimana mungkin satu tempat yang sejauh ini boleh boleh menjadi tempat perpisahan bagi kesemua jemaah haji?

Sebaliknya tempat perpisahan yang sebenarnya bagi kesemua jemaah haji adalah di Mekah itu sendiri. Mekah merupakan tempat mereka berkumpul dan Mekah juga merupakan tempat mereka berpisah. Setelah selesainya ibadah haji, penduduk Mekah akan terus kekal di Mekah, dari Mekah juga jemaah haji dari To’if akan pulang ke To’if, dari Mekah juga jemaah dari Yaman akan pulang ke Yaman, demikian seterusnya jemaah dari ‘Iraq dan para jemaah dari tempat-tempat yang lain juga akan pulang ke tempat mereka masing-masing dari Mekah itu sendiri. Maka Mekah adalah tempat mereka berkumpul dan berpisah, bukan dari tempat yang lain. Amat tidak masuk akal untuk para jemaah haji menjadikan Ghadir Khum sebagai tempat perpisahan dari melaksanakan haji seperti yang didakwa oleh Syiah, kerana jaraknya yang amat jauh dari Mekah sehingga 250 KM.

2. Syiah mendakwa ketika hari ucapan baginda di Ghadir Khum tersebut, bilangan umat Islam melebihi 100,000 orang.

BANTAHAN

Dakwaan ini juga jelas kepalsuannya. Bagaimana mungkin berkumpulnya umat Islam di Ghadir Khum hingga mencecah 100,000 orang sedangkan kebanyakan mereka telah pulang dari Mekah melalui jalan masing-masing tanpa melalui Ghadir Khum, melainkan para jemaah dari Madinah dan beberapa jemaah yang melalui jalan yang sama sahaja. Terutama jemaah dari Mekah untuk apa mereka pergi ke Ghadir Khum yang jauhnya sehingga 250 KM? Sudah tentu mereka akan terus menetap di Mekah.

KEFAHAMAN SEBENAR HADIS

Syiah berangapan hadis ini menunjukkan Nabi SAW telah mengisyaratkan sayyidina ‘Ali sebagai pengganti baginda menjadi khalifah. Mereka mendakwa perkataan Maula yang ada di dalam hadis membawa maksud pemimpin. Maka ‘Ali yang sepatutnya menjadi pemimpin bukan sahabat lain. Namun sebenarnya kalimah Maula tidak boleh difahami sebagai pemimpin semata-mata. Hal ini demikian kerana kalimah Maula di dalam bahasa Arab boleh difahami dengan berbagai maksud. Al-Imam Ibn al-Athir berkata:

Mafhumnya: “Kalimat Maula diulang banyak kali di dalam hadis Nabawi. Kalimah ini merupakan kata nama yang boleh diletakkan kepada: Tuhan, raja, tuan, pemberi nikmat, yang memerdekakan hamba, pembantu, yang menyayangi, pengikut, jiran, anak saudara sebelah ibu, rakan sekutu, yang memegang janji, hamba, yang dimerdekakan dan yang menerima nikmat.” (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadis wa al-Athar 5/288)

Sekiranya baginda Nabi SAW sememangnya memaksudkan seperti yang difahami oleh golongan Syi’ah, sudah tentu baginda tidak akan menggunakan perkataan Maula yang memiliki berbagai maksud ini. Sebaliknya baginda sepatutnya menggunakan perkataan lain yang lebih jelas maksudnya seperti:

علي خليفتي من بعدي bermaksud: “Ali adalah penggantiku (khalifahku) selepas dariku.” atau,
علي الإمام من بعدي bermaksud: “Ali adalah pemimpin selepas ku.” atau,
إذا أنا مت فاسمعوا وأطيعوا لعلي bermaksud: “Setelah kematianku, maka dengar dan taatlah kepada ‘Ali.”

Apakah boleh diterima, ketika baginda berkhutbah di hadapan lebih 100,000 jemaah haji untuk meninggalkan pesanan yang amat penting seperti yang disangka oleh syiah, baginda menggunakan kalimah Maula yang memiliki maksud yang berbagai itu? Jika demikian hakikatnya, bagaimana dari hadis ini boleh dijadikan asas utama untuk dibina salah satu dari rukun agama yang terpenting?

Selain dari itu, jika diterima sekalipun kalimah maula di dalam hadis ini memaksudkan al-Waliy seperti yang dikehendaki oleh syiah. Maka kalimah Maula dari perkataan al-Walayah (الوَلاية) bukan al-Wilayah (الوِلاية). Oleh yang demikian al-Walayah membawa maksud kecintaan, pembelaan, dekat dan sokongan, bukti maksud ini boleh diperhatikan dari beberapa ayat al-Quran, iaitulah:

Mafhumnya: “jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (Wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah Yang sewajibnya), kerana Sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara Yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka Yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana Sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang Yang soleh dari kalangan orang-orang Yang beriman dan malaikat-malaikat - juga menjadi penolongnya.” (al-Tahrim: 4)

Kalimah Maula di dalam ayat ini membawa maksud Pembela atau Penyokong, ia tidak boleh membawa maksud pemimpin.

Maula dengan maksud dekat dan hampir boleh diperhatikan dari ayat:

Mafhumnya: “Iaitu hari seseorang kerabat atau sahabat karib tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya, dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (untuk menghapuskan azab itu).” (al-Dukhan: 41). Ia bermaksud di akhirat kelak, seseorang tidak dapat memberi pertolongan kepada orang yang ada hubungan yang dekat dan hampir dengannya.

Cetak
Wallahu a'lam