Wednesday, May 6, 2015
Soalan:
Benarkan jasad dan tubuh-badan Rasulullah SAW bercahaya? Sehingga ada yang mendakwa Nabi SAW tidak memiliki bayang-bayang, dan rambut baginda juga tidak ada bayang-bayang? Mohon penjelasan dari Ustaz.
Jawapan:
Dakwaan ini jelas bertentang dengan ayat al-Quran yang menunjukkan baginda juga adalah manusia. Tiada perbezaan dalam penciptaan baginda dengan manusia lainnya. Sepertimana manusia memiliki baying-bayang, maka demikianlah Nabi SAW juga manusia yang memiliki baying-bayang. Kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada baginda dengan dilantik sebagai Rasul tidak mengeluarkan baginda sebagai seorang manusia. Kerana itu Allah SWT mengajarkan baginda agar berkata:
Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku…” (al-Kahf: 110)
Firman Allah SWT lagi:
Maksdunya: “Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: "Kami tidak lain hanyalah manusia seperti kamu.” (Ibrahim: 11)
Tidak dinafikan ada beberapa hadis yang menyatakan Nabi SAW diciptakan daripada cahaya. Namun kesemua hadis tersebut adalah palsu. [1]
Dalam sebuah hadis ‘Aisyah RA berkata:
فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنْ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُولُ اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
Maksudnya: “Aku pernah kehilangan Rasulullah SAW pada suatu malam di tempat tidur, maka aku mencari baginda, lalu tanganku tersentuh perut dua kaki baginda, ketika itu baginda di dalam masjid, dan kedua telapak kaki baginda ditegakkan, baginda membaca: “(Makusudnya) Ya Allah, daku berlindung dengan keredhaanMu dari kemurkaanMu, dan dengan kemaafanMu (agar terselamat) dari siksaanMu. Daku berlindung dengan rahmatMu dari hukumanMu tidak terhitung pujian kepadaMu. Engkau adalah sepertimana pujianMu kepada diriMu.” (HR Muslim 486)
Jika benar cahaya yang dimaksudkan di dalam hadis-hadis yang mensifatkan baginda SAW seperti cahaya yang disangka oleh sebahagian orang. Maka sudah tentu ‘Aisyah RA tidak perlu meraba-raba dengan tangan beliau untuk mencari baginda SAW, cukup sekadar masuk ke dalam masjid dan sudah pasti beliau akan menemui baginda dengan mudah kerana cahaya dari mulut dan wajah baginda. Namun apabila beliau meraba-raba ketika mencari Rasulullah SAW perkara ini jelas menunjukkan cahaya tersebut bukan cahaya yang bersinar dan menerangi dalam ertikata cahaya hissiy.[2]
----------------------------------------------------------------------
[1] Lihat fatwa al-Lujnah al-Daimah al-Saudiyyah. Jilid: 10, al-‘Akidah. Di dalam soalan ditanya berkaitan sekumpulan manusia di Pakistan dari kumpulan pengikut Brelwi yang berkeyakinan Nabi SAW tiada baying-bayang bagi membuktikan baginda bukan seorang manusia.
[2] Lihat Syarh al-Syamail oleh al-Syeikh ‘Abd al-Razzaq bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr. halaman 45.