Siapa Yang Dihisab Secara Terperinci di Hari Kiamat DIA BERMASALAH

Akidah Jumlah paparan: 1414

 

Soalan dari saudara Hafiz yang bertanya: “Benarkah apabila di akhirat nanti kalau banyak disoal bermakna seseorang itu ahli neraka? misalnya ada yang kata pilih guru yang benar supaya dijadikan hujah di hadapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Bagaimana pula kalau seseorang itu tersalah pilih guru yang bukan ahlinya dalam agama dan guru itu tersalah fatwa dalam agama? Adakah orang yang ikut guru itu juga akan tersalah dan mendapat ancaman daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala?”

Jawapan:

Soalan yang bahagian pertama, saya lihat soalannya bercampur, soalan yang bahagian pertama: “Adakah kalau banyak disoal bermakna seseorang itu ahli neraka?”

Pada lazimnya, pada kebiasaannya apabila banyak ditanya maka sudah tentulah akan mendatangkan masalah kepada orang yang ditanya tersebut. Di dalam hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:

مَنْ نُوْقِشَ الْحِسَابُ عُذِّبَ

Maksudnya: “Sesiapa yang didetailkan hisabnya (di akhirat), pasti dia akan diazab.”

Apabila didetailkan perhitungan di akhirat kelak sudah tentulah orang itu akan diazab oleh Allah. Nabi SAW sebut perkara itu kerana tentulah apabila didetailkan hisab di akhirat, duit kita, setiap sen dihisap, masa setiap saat dihisap, harta yang kita perolehi, setiap satunya dihisap, maka sudah tentulah perkara itu, apabila seseorang kena hisap sebegitu maka sudah tentu nanti dia  pasti akan diazab, kerana bukan perkara senang, perkara yang berkaitan dengan hisab ini. kerana itu kita disuruh untuk memohon kepada Allah dengan Memohon doa:

اَللَّهُمَّ حَاسِبْنَا حِسَابًا يَسِيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, hisabkanlah kami dengan hisab yang mudah dan ringan.”

Ini kerana, apabila diperincikan hisap di akhirat kelak, maka sudah tentulah tak ada orang yang dapat bebas dan lepas daripada perkara yang mendatangkan masalah kepada dia. Ini bahagian yang pertama dari soalan.

Manakala berkaitan dengan soalan kedua memilih guru, kita sememangnya, setiap orang Islam, menjadi tanggungjawab kepada dia, untuk dia memilih guru agama. Dia kena pastikan guru agama itu benar-benar orang yang memahami agama, ada kemampuan dan ada kelayakan untuk menyampaikan ilmu agama. Ini tanggungjawab kepada setiap orang. Setiap kita dipertanggungjawabkan untuk memilih guru yang sebenarnya. Siapa yang memilih guru dengan hanya melihat penampilan luaran, hanya sekadar hendak dengar apa yang disukainya, ini tidak memadai.  

Sebelum kita pergi kepada memilih guru tersebut, kita kena kenal pasti terlebih dahulu, apa tujuan kita nak pergi belajar? Kita pergi kuliah, sebagai contoh, jika  hanya sekadar untuk mencari benda-benda yang kita suka dengar, maka ornag seperti itu bertanggungjawab atas sikapnya tersebut.  Dia bukan nak mencari ilmu, tetapi sebaliknya dia hanya sekadar memenuhkan masa yang lapang, maka sudah tentu orang yang seperti ini, dia tidak akan dapat ilmu dan dia tidak dinamakan pergi ke kuliah tersebut untuk mencari ilmu. Dia tidak dinamakan menuntut ilmu, kerana yang dia nak cari adalah gelak ketawa dan cerita-cerita dongeng. Semua itu dia dipertanggungjawabkan di akhirat. Sedangkan kewajipan dia adalah menuntut ilmu, dalam erti kata berusaha mencari guru yang dapat menjelaskan kepada dia al-Quran dan dapat menjelaskan kepada dia al-Sunnah. Agar dengan hadirnya dia dalam majlis ilmu itu dapat menambah kekuatan Iman dan taqwanya kepada Allah, untuk diamalkan dalam kehidupan harian.

Ilmu yang dicari bukanlah terfokus kepada amalan lahiriah sahaja seperti solat, bagaimana nak solat, bukan itu sahaja. Bahkan amalan keseluruhan, termasuk amalan-amalan hati, amalan untuk jantung hati, terdiri daripada, berusaha  memiliki aqidah dan keyakinan yang benar, yang sepatutnya dianuti oleh setiap orang Islam.

Kalau orang Islam sedar tanggungjawab ini, iaitulah untuk memperolehi ilmu yang sebenar, iaitulah untuk memahami al-Quran dan al-Sunnah, maka mustahil dia akan pergi berguru dengan guru yang menyeleweng, seperti yang berlaku dalam sebahagian masyarakat kita hari ini. Sudah pasti dia akan cari guru-guru yang ternyata boleh membimbing dia memahami al-Quran dan al-Sunnah. Yang lebih penting, bukan main tangkap borong, mana ada Ustaz yang dekat dengan dia, dia dengar dan dia terima bulat-bulat apa yang disampaikan oleh Ustaz yang berdekatan dengan dia. Sedangkan dalam masa yang sama dia langsung tidak membuat penilaian sama sekali.  

Semua manusia telah dikurniakan akal fikiran oleh Allah Subhanahu Wa Taala, maka dia dipertanggungjawabkan dengan akal yang Allah Ta'ala kurniakan. Apakah dengan akal yang ada, dia tidak boleh membezakan di antara kebenaran dan kebatilan? Mustahil!, kerana kebenaran dan kebathilan itu telah dinyatakan oleh nabi sallallahu alaihi wasallam sebagai:

لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا، لَا يَزِيْغُ عَنْهَا إِلَّا هَالِك

Maksudnya: “Malam bagaikan siang. Tiada yang terpesong dari kebenaran itu melainkan seorang yang binasa.”  

Sepertimana jelasnya perbezaan antara malam dan siang, demikianlah jelasnya perbezaan antara kebenaran dan kebatilan. Tak ada orang hari ini,  walaupun dia memiliki akar yang lemah, masih tidak dapat membezakan di antara malam hari dan siang hari. Ini menunjukkan agama telah memberi penjelasan yang benar-benar terang antara kebenaran dan kebathilan. Tetapi jika masih ada orang yang masih terseleweng setelah jelasnya kebenaran dan kebathilan itu, menunjukkan dia bukan nak mencari kebenaran, tetapi dia nak mencari sesuatu yang selain dari kebenaran.

Kerana itu setiap orang kena muhasabah diri, apa yang dia nak cari ketika dia hadir ke kuliah-kuliah ilmu, ketika dia mengikut orang-orang tertentu yang dinamakan ustaz itu?

Cetak
Wallahu a'lam