SDI 0539: Sahihkah Ibn 'Umar & Imam Ahmad Membenarkan Bacaan al-Quran Di Kubur?

Soalan:

ini shahihkah ustadz? Satu ketika ‘Aliy bin Muusaa Al-Haddaad pernah bersama Al-Imaam Ahmad dan Muhammad bin Qudaamah Al-Jauhariy menyaksikan jenazah. Setelah jenazah tersebut dikubur, ada seorang laki-laki buta yang membaca Al-Qur’an di samping kubur. Melihat hal tersebut, Al-Imaam Ahmad berkata : “Hai, sesungguhnya membaca Al-Qur’an di samping kubur itu bid’ah”. Ketika Al-Imaam Ahmad dan Muhammad bin Qudaamah Al-Jauhariy keluar dari komplek pekuburan, berkatalah Muhammad kepada Al-Imaam Ahmad : “Wahai Abu ‘Abdillah, apa pendapatmu tentang Mubasysyir Al-Halabiy ?”. Beliau menjawab : “tsiqah”. Muhammad berkata : “Apakah aku menulis darinya sesuatu ?”. ‘Aliy menjawab : “Ya”. Muhammad berkata : “Telah mengkhabarkan kepadaku Mubasysyir, dari ‘Abdurrahmaan bin Al-‘Alaa’ bin Al-Lajlaaj, dari ayahnya bahwasannya ia pernah berwasiat apabila ia dikuburkan agar dibacakan awal dan akhir surat Al-Baqarah, karena ia mendengar Ibnu ‘Umar juga berwasiat demikian”. Mendengar itu Ahmad berkata : “Kembalilah, lalu katakan kepada orang tersebut agar membacanya”.

Jawapan:

1) Riwayat ini jelas mauquf (terhenti) kepada Ibn 'Umar. Selain itu dalam sanadnya ada seorang rawi bernama Abdul Rahman bin al-'Alaa' bin al-Lajlaj. Beliau seorang yang majhul (tidak dikenali). Al-Haithami ada menyebut riwayat ini dalam al-Majma' dengan katanya: "Ia diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir dan para perawinya muwaththaqun."

Muwaththaqun موثقون bukan thiqaat ثقات. Ia termasuk dari Istilah yang digunakan oleh al-Haithami. Ia bermaksud status thiqah sebahagian periwayatnya adalah layyin (tidak kukuh). Pada kebiasaannya beliau maksudkan kepada rawi yang Ibn Hibban menyendiri dalam menghukum thiqah kepadanya. Dan tiada yang meriwayatkan darinya melainkan seorang perawi sahaja. Inilah yang berlaku dalam riwayat ini.

2) Perkataan al-Zahabi dalam al-Mizan 2/579 ketika memperkenalkan Abdul Rahman bin al-'Alaa' menunjukkan beliau seorang majhul. Kata al-Zahabi: "Tidak diriwayatkan daripadanya melainkan Mubassyir bin Ismail ini." Kata alHafidz Ibn Hajr dalam al-Taqrib 348: "Maqbul." Iaitulah jika bersama mutaba'ah. Jika tidak beliau seorang yang Layyin al-Hadith seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hajar dalam al-Muqaddimah, dan ternyata beliau bersendirian dengan riwayat ini. (Lihat Ahkam al-Jana'iz oleh alAlbani)

3) Kisah yang dinisbahkan kepada Imam Ahmad itu sendiri berbeza dengan riwayat yang masyhur dari tokoh-tokoh besar dari kalangan sahabat beliau. Mereka semua meriwayatkan dari Imam Ahmad yang melarang membaca al-Quran di kubur. Abu Daud berkata dalam Masa'ilnya 224: "Aku pernah mendengar Imam Ahmad ditanya tentang bacaan quran di sisi kubur. Beliau menjawab: "tidak!"

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH: "Sekumpulan (ulama) menukilkan pandangan dari Imam Ahmad Makruhnya bacaan al-Quran di kubur. Inilah pandangan majoriti ulama Salaf, dan inilah pandangan para qudamaa' sahabat beliau (imam Ahmad)." (Lihat al-Fatawa al-Kubra 5/362).


Cetak  
Wallahu a'lam