SDI 1724: Tempoh Singkat Untuk Orang Beriman Di Padang Mahsyar

Akidah Jumlah paparan: 117

Soalan:

Apakah orang beriman juga akan berada di padang mahsyar dalam tempoh yang lama?

Jawapan:

Sabit bukti yang menunjukkan orang beriman berada di mahsyar pada hari hisab dalam tempoh yang singkat. Antaranya berdasarkan riwayat Abu Ya'la dengan sanad yang sahih Nabi Muhammad SAW bersabda:

يَوْمَ يَقُومُ النَّاسُ لرَبِّ الْعَالَمِينَ مِقْدَارُ نِصْفِ يَوْم مِنْ خَمْسِينَ ألْفَ سَنَةٍ، يَهُونُ ذلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِ كَتَدَلِّي الشَّمْسِ لِلْغُرُوبِ إلَى أَنْ تَغْرُبَ

"Pada hari manusia berdiri di hadapan Tuhan sekalian alam, tempohnya adalah setengah hari daripada lima puluh ribu tahun, tetapi Allah akan meringankan tempoh tersebut bagi orang beriman seperti matahari condong ke arah terbenam sehingga ia benar-benar terbenam." (Hadis ini telah dinilai sahih oleh al-Haytami dalam al-Zawajir dan al-Albani dalam Sahih al-Targhib)

Selain itu, Imam Ahmad, Abu Ya'la, dan Ibn Hibban dalam Sahih beliau meriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang firman Allah:

﴿يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ﴾

"{Sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun}" (Surah al-Ma'arij: 4). Lalu baginda ditanya:

مَا أَطْوَلَ هَذَا الْيَوْمَ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّهُ لِيُخَفَّفُ عَلَى الْمُؤْمِنِ حَتَّى يَكُونَ عَلَيْهِ أَخَفَّ مِنْ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ

"Betapa panjangnya hari itu?" Maka Nabi SAW menjawab: "Demi Zat yang jiwaku berada dalam tangan-Nya, sesungguhnya ia diringankan bagi orang beriman sehingga menjadi lebih ringan daripada solat fardu."

Hadis ini dinilai hasan sanadnya oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, tetapi al-Albani dan al-Arna'ut menilainya sebagai dhaif.

 

Cetak
Wallahu a'lam