SDI 1728: Jin Memiliki Keupayaan Untuk Menjelma Dalam Berbagai Bentuk Dan Rupa

Akidah Jumlah paparan: 101

Soalan:

Ustaz, benarkan jin boleh berubah bentuk dan rupa kepada makhluk lain sehinggakan mereka boleh berubah dan berupa manusia?

Jawapan:

Allah Subhanahu wa Ta'ala telah memberikan keupayaan kepada jin untuk menjelma dalam pelbagai bentuk, antaranya:

[1] Menjelma dalam bentuk manusia, seperti yang disebut dalam Sahih al-Bukhari, ketika syaitan datang kepada Abu Hurairah رضي الله عنه dalam bentuk seorang lelaki miskin dan mencuri makanan sedekah.

[2] Menjelma dalam bentuk haiwan, seperti anjing hitam. Dalam Sahih Muslim, Nabi bersabda:

الكلب الأسود شيطان

"Anjing hitam itu adalah syaitan."

Ibn Taimiyah رحمه الله berkata:

الكلب الأسود شيطان، والجن تتصور بصورته كثيراً، وكذلك بصورة القط الأسود، لأن السواد أجمع للقوى الشيطانية من غيره، وفيه قوة الحرارة

"Anjing hitam adalah syaitan, dan jin sering menjelma dalam bentuknya, begitu juga dalam bentuk kucing hitam, kerana warna hitam lebih kuat mengumpulkan tenaga syaitan berbanding warna lain, dan ia memiliki unsur kepanasan yang kuat."

[3] Menjelma dalam bentuk ular. Oleh sebab itu, Rasulullah melarang membunuh ular yang berada di dalam rumah kerana mungkin ia adalah jin yang telah memeluk Islam. Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, diceritakan bahawa Ibn Umar رضي الله عنه dahulu membunuh semua jenis ular sehingga Abu Lubabah menceritakan bahawa Nabi melarang membunuh جِنَان البيوت (ular yang tinggal di rumah). Maka, beliau pun berhenti membunuhnya.

Jinan (الجنان) ialah bentuk jamak bagi jaan (جان), iaitu ular kecil (الحية الصغيرة). Dalam Sahih Muslim, Abu Sa'id al-Khudri رضي الله عنه meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

إن بالمدينة جنّا قد أسلموا، فإذا رأيتم منهم شيئاً فآذنوه ثلاثة أيام، فإن بدا لكم بعد ذلك، فاقتلوه، فإنما هو شيطان

"Sesungguhnya terdapat jin Muslim di Madinah, maka jika kalian melihat sesuatu daripada mereka, berilah peringatan selama tiga hari. Jika ia masih muncul selepas itu, maka bunuhlah, kerana itu adalah syaitan."

Oleh itu, seorang Muslim hendaklah sentiasa berlindung dengan menyebut nama Allah, dan memohon perlindungan daripada kejahatan jin dan syaitan.

Cetak
Wallahu a'lam