SDI 1777: Susunan Kemunculan Tanda-tanda Kiamat

Soalan:

Siapakah Imam al-Mahdi atau siapakah yang akan menjadi Imam Mahdi? Adakah terdapat sebarang dalil tentang kemunculannya dalam al-Quran dan as-Sunnah?

Apakah susunan kemunculan tanda-tanda kiamat termasuk kemunculan al-Mahdi, fitnah Dajjal, Ya’juj dan Ma’juj serta turunnya Nabi Isa عليه السلام? Mohon penjelasan dari ustaz.

Jawapan:

Al-Imam al-Mahdi ialah seorang lelaki soleh daripada keturunan Nabi Muhammad SAW, yang akan muncul di akhir zaman. Allah akan membaikkan keadaan umat manusia melaluinya, dan dia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana bumi sebelum itu dipenuhi dengan kezaliman dan ketidakadilan.

Namanya sama dengan nama Nabi SAW, dan nama bapanya juga sama dengan nama bapa Nabi SAW. Maka, nama beliau ialah Muhammad bin Abdillah (al-Mahdi), atau Ahmad bin Abdullah (al-Mahdi). Nasabnya berakhir kepada Fatimah, puteri Rasulullah SAW, dan beliau merupakan keturunan al-Hasan bin Ali RA. Tanda kemunculannya ialah apabila dunia dipenuhi dengan kerosakan dan kezaliman.

Telah banyak hadis yang menunjukkan kebenaran tentang Imam Mahdi, sifat-sifatnya serta kemunculannya. Hadis-hadis ini, secara keseluruhan, mencapai darjat tawatur maknawi.

Susunan Tanda-Tanda Kiamat

Para ulama berbeza pendapat tentang susunan tanda-tanda kiamat kerana tiada urutan jelas disebut secara jelas dalam hadis-hadis Nabi SAW. Namun, sebahagian peristiwa dapat diistimbat berdasarkan petunjuk dalam nas seperti berikut:

1. Munculnya tanda-tanda kecil kiamat, yang sangat banyak dan tidak terikat dengan susunan tertentu. Antaranya:

  • Kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kewafatan Baginda.
  • Wabak Ta‘un ‘Amawas.
  • Kemunculan pelbagai fitnah atau kerosakan yang banyak.
  • Amanah dikhianati, ilmu diangkat, kejahilan tersebar.
  • Riba, zina, muzik, dan arak menjadi biasa dan dihalalkan.
  • Berlumba-lumba membangunkan bangunan tinggi menjulang.
  • Pembunuhan berleluasa, masa berlalu cepat.
  • Masjid berhias indah.
  • Syirik dan maksiat berleluasa.
  • Bakhil menjadi sifat umum.
  • Gempa bumi banyak berlaku.
  • Orang soleh semakin ramai meninggal dunia dan tiada pengganti.
  • Mimpi orang mukmin menjadi benar.
  • Sunnah dipandang remeh.
  • Pembohongan dan saksi palsu banyak berlaku.
  • Kerap berlaku kematian mengejut.
  • Hujan banyak tetapi tumbuhan kurang.
  • Ramai ingin mati kerana tekanan hidup.
  • Perang melibatkan orang Rom (Barat) berlaku.

Semua ini terdapat dalam pelbagai hadis sahih dari Nabi SAW.

2. Kemunculan Imam Mahdi

Kemunculan Imam Mahdi berlaku sebelum munculnya Dajjal dan sebelum turunnya Nabi Isa AS. Perkara ini disebut dalam hadis Jābir RA, Rasulullah SAW bersabda:

ينزل عيسى بن مريم فيقول أميرهم المهدي: تعال صل بنا، فيقول: لا إن بعضهم أمير بعض تكرمة الله لهذه الأمة

"Akan turun Isa bin Maryam, lalu pemimpin mereka (umat Islam ketika itu) al-Mahdi berkata kepada Nabi Isa: “Marilah solat mengimamkan kami.” Maka Isa berkata: “Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu adalah pemimpin kepada yang lain, sebagai penghormatan Allah kepada umat ini.” (Diriwayatkan oleh al-Hārith bin Abī Usāmah (الحارث بن أبي أٍسامة). Ibn al-Qayyim menyatakan sanadnya hasan dalam al-Manār al-Munīf 1/147.)

Hadis ini memiliki asasnya dalam Sahih Muslim, hadis bilangan: 225 namun tanpa menyebut al-Mahdi dengan lafaz:

.. فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا فَيَقُولُ لا إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الأُمَّةَ

"Lalu turunlah Isa bin Maryam عليه السلام, kemudian pemimpin mereka berkata: 'Marilah solat mengimamkan kami.' Maka Isa berkata: 'Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu menjadi pemimpin ke atas yang lain, sebagai kemuliaan Allah kepada umat ini.”

Hadis ini menunjukkan, ketika turunnya Nabi Isa, al-Mahdi telahpun ada bersama umat Islam lainnya. Ini menunjukkan al-Mahdi kewujudan al-Mahdi berlaku sebelum turunnya Nabi Isa.

3. Keluarnya Dajjal

Keluarnya Dajjal berlaku semasa zaman Imam Mahdi, dan Dajjal akan membawa fitnah atau kerosakan yang besar di bumi. Nabi Isa turun ke bumi, berperanan membunuh Dajjal.

4. Keluarnya Ya’juj dan Ma’juj

Ia berlaku ketika Nabi Isa AS masih berada di bumi. Dalam hadis al-Nawwās bin Sam’ān (النواس بن سمعان) RA, Nabi SAW bersabda:

فبينما هو كذلك إذ أوحى الله إلى عيسى إني قد أخرجت عبادا لي لا يدان لأحد بقتالهم فحرز عبادي إلى الطور، ويبعث الله يأجوج ومأجوج وهم من كل حدب ينسلون، فيمر أوائلهم على بحيرة طبرية فيشربون ما فيها ويمر آخرهم فيقولون لقد كان بهذه مرة ماء

"Allah mewahyukan kepada Isa: ‘Aku telah mengeluarkan hamba-hamba-Ku yang tiada siapa mampu melawan mereka. Maka bawalah hamba-hamba-Ku ke Bukit Tursina.’ Lalu Allah mengeluarkan Ya’juj dan Ma’juj, mereka turun dari setiap tempat tinggi, dan mereka minum air dari Tasik Tiberias sehingga datang kumpulan Ya’juj dan Ma’juj yang lain dan berkata: “Sebelum ini terdapat ini di tempat ini (ketika itu airnya telah kering diminum oleh gelombang yang awal).” (Diriwayatkan oleh Muslim no. 2937)

Setelah berlaku peristiwa ini, tanda-tanda kiamat yang berikutnya akan berlaku silih berganti dengan pasti

6. Tanda-tanda besar lain akan muncul berturut-turut

Dalam  hadis Abu Hurairan RA, Rasulullah SAW bersabda:

خروج الآيات بعضها على أثر بعض يتتابعن كما تتابع الخرز في النظام

"Kemunculan tanda-tanda kiamat akan datang berturut-turut, seperti untaian manik yang tersusun.” (Diriwayatkan oleh at-Tabrani. Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’)

Antara tanda-tanda tersebut:

  • Matahari terbit dari barat.
  • Keluarnya binatang dari bumi (الدابة).
  • Tiga kali terjadinya bumi terbelah (khusuf) di timur, barat dan di Jazirah Arab.
  • Dan lain-lain tanda besar yang akan menyusul dengan cepat.

Cetak  
Wallahu a'lam