SDI 1891: Banyak Melakukan Amalan Saleh, Tetapi Kesudahannya Mendapat Keburukan

Akidah Jumlah paparan: 50

Soalan:
Saya ada mendengar kisah tentang orang yang melakukan banyak amal soleh, kemudian berakhir dengan kesudahan yang buruk, atau tidak masuk syurga. Adakah perkara ini boleh berlaku? Sedangkan Allah telah berfirman: “Sesungguhnya Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik.”  maka bagaimana hal seperti itu boleh berlaku?

Jawapan:

Telah sabit dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إن العبد ليعمل بعمل أهل الجنة حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع، فيسبق عليه الكتاب، فيعمل بعمل أهل النار فيدخلها.

“Sesungguhnya seorang hamba beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan syurga melainkan sehasta sahaja, lalu ketetapan Allah mendahuluinya, maka dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu masuk ke dalamnya.”

Hadis ini menunjukkan dengan jelas bahawa ada orang yang beramal dengan amal soleh kemudian diakhiri dengan keburukan, lalu amalan mereka terhapus dan mereka menjadi daripada golongan yang celaka. 

Namun hadis ini mesti difahami bersama dengan dalil-dalil lain sehingga ia tidak kelihatan bercanggah. Allah SWT berfirman: 

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا

“Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal saleh, Kami (Allah) tidak akan mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik.” (al-Kahf: 30)

 

Dalam hadis, Nabi ﷺ bersabda yang bermaksud: “Maka ketetapan Allah mendahuluinya, lalu dia beramal dengan amalan ahli neraka.” Ini bermakna dia tidak masuk neraka kecuali setelah melakukan amalan ahli neraka. 

Dalam riwayat lain di sisi al-Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa‘ad al-Sa‘idiy RA disebutkan Nabi SAW bersabda:

إنَّ الرَّجُلَ لَيَعمَلُ عَمَلَ أهلِ الجَنَّةِ فيما يَبْدو لِلنَّاسِ وهو مِن أهلِ النَّارِ، وإنَّ الرَّجُلَ لَيَعمَلُ عَمَلَ أهلِ النَّارِ فيما يَبْدو لِلنَّاسِ وهو مِن أهلِ الجَنَّةِ

“Sesungguhnya seseorang itu beramal dengan amalan ahli syurga pada zahirnya di sisi manusia, padahal dia sebenarnya termasuk dalam kalangan ahli neraka. Dan sesungguhnya seseorang itu beramal dengan amalan ahli neraka pada zahirnya di sisi manusia, padahal dia sebenarnya termasuk dalam kalangan ahli syurga.”

Ungkapan baginda SAW: “pada zahirnya di sisi manusia” menunjukkan bahawa keadaan batin orang tersebut berbeza daripada zahirnya. Kata Ibn Rajab RH:

وقوله: فيما يبدو للناس ـ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ بَاطِنَ الْأَمْرِ يَكُونُ بِخِلَافِ ذَلِكَ، وَأَنَّ خَاتِمَةَ السُّوءِ تَكُونُ بِسَبَبِ دَسِيسَةٍ بَاطِنَةٍ لِلْعَبْدِ لَا يَطَّلِعُ عَلَيْهَا النَّاسُ، إِمَّا مِنْ جِهَةِ عَمَلٍ سَيِّئٍ، وَنَحْوِ ذَلِكَ، فَتِلْكَ الْخَصْلَةُ الْخَفِيَّةُ تُوجِبُ سُوءَ الْخَاتِمَةِ عِنْدَ الْمَوْتِ، وَكَذَلِكَ قَدْ يَعْمَلُ الرَّجُلُ عَمَلَ أَهْلِ النَّارِ وَفِي بَاطِنِهِ خَصْلَةٌ خَفِيَّةٌ مِنْ خِصَالِ الْخَيْرِ، فَتَغْلِبُ عَلَيْهِ تِلْكَ الْخَصْلَةُ فِي آخِرِ عُمُرِهِ، فَتُوجِبُ لَهُ حُسْنَ الْخَاتِمَةِ، قَالَ عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ أَبِي رَوَّادٍ: حَضَرْتُ رَجُلًا عِنْدَ الْمَوْتِ يُلَقَّنُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، فَقَالَ فِي آخِرِ مَا قَالَ: هُوَ كَافِرٌ بِمَا تَقُولُ، وَمَاتَ عَلَى ذَلِكَ، قَالَ فَسَأَلْتُ عَنْهُ، فَإِذَا هُوَ مُدْمِنُ خَمْرٍ، فَكَانَ عَبْدُ الْعَزِيزِ يَقُولُ: اتَّقُوا الذُّنُوبَ، فَإِنَّهَا هِيَ الَّتِي أَوْقَعَتْهُ

Ungkapan baginda SAW: “pada zahirnya di sisi manusia” menunjukkan bahawa keadaan batin orang tersebut berbeza daripada zahirnya. Kesudahan yang buruk itu berlaku disebabkan oleh sesuatu keburukan tersembunyi dalam dirinya yang tidak diketahui oleh manusia, sama ada dari amalan dosa yang dilakukannya atau seumpamanya. Maka sifat buruk yang tersembunyi itulah yang menyebabkan kesudahan yang buruk ketika mati. Begitu juga, boleh jadi seseorang itu beramal dengan amalan ahli neraka, namun dalam batinnya ada satu sifat kebaikan tersembunyi, maka sifat itu menguasainya di akhir hayatnya dan menjadikannya mendapat kesudahan yang baik. Abdul ‘Aziz bin Abi Rawwād berkata: “Aku ada di sisi seorang lelaki ketika hampir mati, dia diajar untuk mengucap lā ilāha illā Allāh, namun dalam kata-kata terakhirnya dia berkata: “Aku kafir dengan apa (kalimah tauhid) yang kamu katakan,” lalu dia mati atas perkataan itu (mengkufuri kalimah tauhid). Aku pun bertanya tentang keadaan orang itu (ketika hidupnya), maka didapati dia seorang peminum arak tegar. Maka Abdul ‘Aziz pun berkata: “Takutlah kamu kepada dosa, kerana dosa itulah yang menjerumuskannya.” - tamat petikan -

Dalam hadis ini dan juga dalam banyak hadis seumpamanya terdapat peringatan agung dari Nabi SAW, iaitulah supaya hati manusia sentiasa bergantung kepada Allah, tidak bersandar kepada amalnya dan tidak merasa cukup dengan ketaatan yang dilakukannya. Sebaliknya setiap muslim hendaklah sentiasa berada antara takut dan harap, iaitu berharap kepada rahmat dan kurnia Tuhannya, dan takut terhadap kejahatan nafsunya sendiri yang sentiasa mendorong kepada keburukan.  Seseorang hendaklah berasa khuatir akan berpaling dari kebenaran sebelum mati lalu berakhir dengan kesudahan yang buruk, kerana tiada siapa mengetahui apa yang telah ditetapkan oleh pena takdir baginya.

Ibn Rajab رحمه الله berkata:

وفي الجملة فَالْخَوَاتِيمُ مِيرَاثُ السَّوَابِقِ، فَكُلُّ ذَلِكَ سَبَقَ فِي الْكِتَابِ السَّابِقِ، وَمِنْ هُنَا كَانَ يَشْتَدُّ خَوْفُ السَّلَفِ مِنْ سُوءِ الْخَوَاتِيمِ، وَمِنْهُمْ مَنْ كَانَ يَقْلَقُ مِنْ ذِكْرِ السَّوَابِقِ، وَقَدْ قِيلَ: إِنَّ قُلُوبَ الْأَبْرَارِ مُعَلَّقَةٌ بِالْخَوَاتِيمِ، يَقُولُونَ: بِمَاذَا يُخْتَمُ لَنَا؟ وَقُلُوبُ الْمُقَرَّبِينَ مُعَلَّقَةٌ بِالسَّوَابِقِ، يَقُولُونَ: مَاذَا سَبَقَ لَنَا.... وَكَانَ مَالِكُ بْنُ دِينَارٍ يَقُومُ طُولَ لَيْلِهِ قَابِضًا عَلَى لِحْيَتِهِ، وَيَقُولُ: يَا رَبِّ، قَدْ عَلِمْتَ سَاكِنَ الْجَنَّةِ مِنْ سَاكِنِ النَّارِ، فَفِي أَيِّ الدَّارَيْنِ مَنْزِلُ مَالِكٍ؟... وَمِنْ هُنَا كَانَ الصَّحَابَةُ، وَمَنْ بَعْدَهُمْ مِنَ السَّلَفِ الصَّالِحِ يَخَافُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمُ النِّفَاقَ، وَيَشْتَدُّ قَلَقُهُمْ، وَجَزَعُهُمْ مِنْهُ، فَالْمُؤْمِنُ يَخَافُ عَلَى نَفْسِهِ النِّفَاقَ الْأَصْغَرَ، وَيَخَافُ أَنْ يَغْلِبَ ذَلِكَ عَلَيْهِ عِنْدَ الْخَاتِمَةِ، فَيُخْرِجُهُ إِلَى النِّفَاقِ الْأَكْبَرِ، كَمَا تَقَدَّمَ أَنَّ دَسَائِسَ السُّوءِ الْخَفِيَّةِ تُوجِبُ سُوءَ الْخَاتِمَةِ، وَقَدْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ فِي دُعَائِهِ: يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ ـ فَقِيلَ لَهُ: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ، وَبِمَا جِئْتَ بِهِ، فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ فَقَالَ: نَعَمْ، إِنَّ الْقُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، يُقَلِّبُهَا كَيْفَ شَاءَ ـ خَرَّجَهُ الْإِمَامُ أَحْمَدُ، وَالتِّرْمِذِيُّ مِنْ حَدِيثِ أَنَسٍ.

“Secara umum, kesudahan (khātimah) seseorang adalah warisan daripada amal-amal sebelumnya. Semua itu telah tertulis dalam ketetapan azali. Oleh sebab itu, para salaf sangat takut akan kesudahan yang buruk. Sebahagian mereka gementar bila disebut tentang ketetapan awal (sawābiq). Dikatakan: hati orang-orang yang soleh sentiasa bergantung kepada kesudahan yang baik. Mereka berkata, “Dengan apakah hidup kami akan diakhiri?” Manakala hati orang-orang yang didekatkan kepada Allah bergantung kepada ketetapan awal. Mereka berkata, “Apakah yang telah ditetapkan untuk kami?”... Mālik bin Dīnār pernah berdiri sepanjang malam sambil memegang janggutnya dan berkata: “Wahai Tuhanku, Engkau telah mengetahui siapa penghuni syurga dan siapa penghuni neraka; maka di manakah tempat Mālik di antara dua tempat itu?”... Oleh sebab itulah para sahabat dan golongan salaf sesudah mereka sangat takut terhadap diri mereka sendiri daripada sifat nifaq (kemunafikan), dan mereka sangat gelisah dan bimbang terhadapnya. Orang beriman takut terhadap nifaq kecil, dan bimbang jika sifat itu menguasainya di saat akhir hayat lalu menjerumuskannya ke dalam nifaq besar (kemunafikan hakiki). Sebagaimana telah dijelaskan bahawa sifat-sifat buruk tersembunyi dalam diri boleh membawa kepada kesudahan yang buruk. Nabi ﷺ juga sering berdoa: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku atas agama-Mu.” Lalu ditanya kepada baginda: “Wahai Nabi Allah, kami telah beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, adakah engkau masih takut terhadap kami?” Baginda menjawab: “Ya, sesungguhnya hati-hati itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah ‘Azza wa Jalla, Dia membolak-balikkan hati-hati itu sebagaimana yang Dia kehendaki.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tirmizi daripada Anas r.a.)

Maka kami memohon kepada Allah agar meneguhkan hati-hati kita di atas agama-Nya dan menganugerahkan kepada kata husnul khātimah atau kesudaha kesudahan yang baik.

 

Cetak
Wallahu a'lam