Musibah Menjadi Nikmah

Akidah Jumlah paparan: 751

URUSKAN MUSIBAH SEHINGGA MENJADI NIKMAH

Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

 

Musibah yang melanda seseorang insan mampu menghapuskan dosa-dosanya. Namun manusia yang ditimpa musibah terbahagi kepada 3 kumpulan.

Pertama: orang yang ditimpa musibah, namun musibah itu langsung tidak menghapuskan dosa-dosanya

Kedua: Orang yang ditimpa musibah lalu dihapuskan dosa-dosa dengan sebab musibah tersebut.

Ketiga: orang yang ditimpa musibah lalu dihapuskan dosa dengan sebab musibah yang melanda. Dalam masa yang sama mereka juga dikurniakan pahala di sisi Allah SWT.

SIAPAKAH MEREKA?

Untuk golongan yang pertama iaitulah yang ditimpa musibah namun musibah itu tidak berupaya menghapuskan dosa-dosanya iaitulah mereka yang tidak bersabar dengan musibah tersebut.

Adapun mereka yang bersabar… akan dikurniakan kepada mereka penghapusan dosa. Nabi SAW bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ وَصَبٍ وَلَا نَصَبٍ وَلَا سَقَمٍ وَلَا حَزَنٍ حَتَّى الْهَمِّ يُهَمُّهُ إِلَّا كُفِّرَ بِهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِ

Maksudnya: “Tidak menimpa seseorang mukmin dari sesuatu kesakitan, keletihan dan penderitaan, tidak juga sesuatu kesedihan sehinggakan kebimbangan melainkan akan dihapuskan dosa-dosanya.” (HR Muslim)

Namun dengan syarat… iaitulah bersabar di awal berlakunya musibah. Justeru orang sebegini berhak mendapat khabar gembira dengan kelebihan dihapuskan dosa-dosanya. Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الصَّبْرُ عِنْدَ صَدْمَةِ الْأُوْلَى

Maksudnya: Hanyasanya (yang dikatakan) sabar itu, iaitulah ketika bermulanya musibah.” Baginda juga bersabda di dalam sebuah hadis al-Qudsi. Allah SWT berfirman:

إِنْ صَبَرْتَ وَاحْتَسَبْتَ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الْأُولَى لَمْ أَرْضَ لَكَ ثَوَابًا دُونَ الْجَنَّةِ 

Maksudnya: “(Wahai) Anak Adam, jika kamu bersabar dan mengharapkan pahala ketika mula berlakunya musibah, Daku tidak redha sebagai balasan untuk kamu melainkan balasan syurga.” (HR Ibn Majah. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Takhrij Misykah al-Masobih)

Adapun orang yang tidak bersabar ketika mula berlakunya musibah, maka dosa-dosanya tidak akan dihapuskan sekalipun dia bersabar selepas daripada itu. Ini bagi golongan pertama.

Adapun golongan kedua… iaitulah mereka yang bersabar ketika ditimpa musibah namun tiada perasaan ihtisab atau mengharapkan balasan pahala dari Allah SWT. Orang yang seperti ini akan dihapuskan dosa-dosanya dengan musibah yang melandanya, namun dia tidak dikurniakan pahala.

Adapun golongan yang paling beruntung iaitulah golongan yang ketiga. Mereka dikurniakan penghapusan dosa dan diberikan pahala….  Mengapa?

Ini kerana mereka menghimpunkan dua sifat yang tidak ada pada golongan pertama dan kedua iaitulah berSABAR dan berIHTISAB ketika ditimpa musibah.

APAKAH MAKSUD IHTISAB?

Ihtisab iaitulah seseorang yang menaruh harap kepada Allah agar dikurniakan pahala dengan kesabarannya. Dia sentiasa menunggu pahala dari Allah atas kesabaran yang diusahakannya ketika ditimpa musibah.

Ini kerana sebahagian orang ada yang mampu bersabar dengan musibah yang melanda. Namun di dalam jantung hatinya langsung tidak ada perasan mengharapkan balasan dan pahala dari Allah SWT. Orang sebegini… dia bersabar bukan kerana Allah SWT, sebaliknya dia hanya bersabar seperti orang lain bersabar. Saya sebutkan contoh prkatikal di sini…

Seorang yang terjatuh ketika berlari, dia mengalami kesakitan… lalu dia bersabar, akan tetapi dia tidak mendatangkan rasa mengharapkan pahala dari Allah SWT di atas kesakitan yang dideritainya… maka inilah dia orang yang tiada ihtisab.

Namun ada pula orang yang apabila ditimpa musibah…. dia bersabar dan mengharapkan pahala dari Allah SWT…

Sesungguhnya Allah SWT sama sekali tidak memandang kedua-dua golongan ini sama. Sebaliknya yang bersabar dan berihtisab lebih mulia di sisi Allah SWT.

Tahukan anda musibah itu terbagi kepada dua?

Pertama iaitulah musibah yang melanda tanpa campur tangan manusia secara lansung seperti musibah bencana alam, sakit dan seumpamanya. Manakala yang kedua pula iaitulah musibah yang berlaku kerana campur tangan manusia seperti kecurian, perlakuan zalim dan seumpamanya.

Musibah yang berlaku tanpa campur tangan manusia, dengan bersabar dan ihtisab anda berhak memperolehi penghapusan dosa dan diberi pahala. Manakala musibah yang berlaku dengan campur tangan manusia… ketahuilah di sana terdapat  tambahan kelebihan. Apakah tambahan kelebihan tersebut?

Iaitulah ganjaran dan pahala kerana memberi kemaafan... memberi kemaafan kepada sesiapa sahaja  yang menyakiti dan menzalimi kita… sedangkan kita mampu memarahinya, membalas kejahatannya dan…dan... dan lagi…dan lagi…. Namun kita tetap memberi kemaafan kepadanya. Semestinya kita tertekan dengan kejahatan orang lain terhadap kita… namun apalah nilai kejatahan itu jika hendak dibandingkan dengan balasan syurga di sisi Allah SWT.…..

Bukankah semua nikmat yang dikecapi di dunia ini….. tiada nilainya langsung jika dibandingkan nikmat syurga? Bukankah juga semua musibah yang melanda didunia ini, seperti tiada wujudnya jika dibandingkan musibah dan azab neraka di akhirat kelak?

Maafkan dan tinggalkan seribu satu keluhan…  tinggalkan rungutan “kamu tau apa yang dia buat kepada aku?”“kamu tak tau betapa terseksanya aku?”… tinggalkan dan tinggalkan… bukankah selagi besar kezaliman dan kejahatan orang lain kepada kamu… besar pula balasan dan ganjaran yang bakal kamu terima disebabkan kemaafan darimu… sudah pasti…. Bukankah sanggup memberi kemaafan kepada orang yang menzalimi kita itu suatu kelebihan dan keutamaan?

Seseorang menulis surat kepada kawannya yang membuat zalim kepadanya dengan berkata: “Ketahuilah, bahawa tidak bertambah kezaliman yang dilakukan melainkan akan bertampah pula dari sifat kemaafan itu kelebihan.” Nabi SAW bersabda:

وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا

Maksudnya: “Tidaklah yang ditambah oleh Allah bagi orang yang memberikan kemaafan itu melainkan kemuliaan.” (HR Muslim)

Bukankah kemaafan itu mendatangkan kelapangan dan ketenangan kepada jiwa… jadi… mengapa mensia-siakan diri sendiri dengan memikirkan cara membalas kezaliman, kejahatan dan dendam?

Kata al-Asyma’ie: “Aku pernah mendengar seorang Arab Badwi berkata: “Sesungguhnya aku telah memperolehi kelazatan memberi kemaafan, apa yang tidak aku dapati dari kelazatan membalas.” (lihat Syu’ab al-Iman oleh al-Baihaqi)  

Kata al-Hasan: “Apabila semua manusia berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat, akan diseru kepada mereka semua, berdirilah sesiapa yang memiliki pahala dari Allah SWT. Tiada yang berdiri melainkan mereka yang memberi kemaafan ketika di dunia. Lalu Allah Taala berfirman:

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi kemaafan dan membuat kebaikan, maka balasannya adalah di sisi Allah.” (al-Syura: 31)

Oleh itu, setiap kali syaitan datang dan cuba menyalakan api dendamnya di dalam jantung hati kita… ingatlah kita sedang menanti balasan pahala di hari kiamat nanti dari Allah SWT. Perkara ini dapat memberi ketenangan kepada jiwa…

Kedua: Jangan sekali-kali mempedulikan kehendak diri membalas kezaliman orang lain kepada kita. Sebaliknya lihatlah apakah perbuatan yang disukai oleh Allah SWT ketika kita berada dalam situasi tersebut. Katakan di dalam jiwamu: “Wahai Tuhan, apa yang Engkau radhai itu lebih aku dahulukan berbanding diriku sendiri. Demi Allah wahai Tuhan, memberi maaf yang Engkau sukakan itu lebih aku dahulukan berbanding keinginan membalas dendam yang ada di dalam jiwaku.”

Alangkah besar dan mulianya kedudukan seseorang insan yang dapat mendahulukan apa yang disukai Allah berbanding apa yang disukai dirinya sendiri.

Cubalah memberikan kemaafan, anda akan rasai kelazatan dan ketenangan. Letakkan keazaman di dalam jiwa untuk menjadi seorang yang pemaaf… rasailah ketenangan dan kelapangan hidup di dunia dan keberuntungan di hari akhirat. Bukanlah Allah SWT itu lebih pemurah dan lebih pemaaf dari kita?

Apakah mustahil bagi Allah Yang Maha Mulia… setelah dia melihat kita sering memberi kemaafan kepada orang lain, lalu Dia juga memberi kemaafan kepada kita, lebih banyak dari kemaafan yang telah kita berikan kepada orang lain? bukankah Allah SWT itu lebih pemaaf berbanding kita? Dan bukankah juga Dia amat suka memberi kemaafan kepada hambanya. Nabi SAW bersabda:

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عنا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Pemaafan, Engkau suka memberi kemaafan, justeru berilah kemaafan kepadaku.” (HR al-Tirmizi dan katanya: Hadis Hasan Sahih)

Baginda SAW juga bersabda:

تَلَقَّتْ الْمَلَائِكَةُ رُوحَ رَجُلٍ مِمَّنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَقَالُوا أَعَمِلْتَ مِنْ الْخَيْرِ شَيْئًا قَالَ لَا قَالُوا تَذَكَّرْ قَالَ كُنْتُ أُدَايِنُ النَّاسَ فَآمُرُ فِتْيَانِي أَنْ يُنْظِرُوا الْمُعْسِرَ وَيَتَجَوَّزُوا عَنْ الْمُوسِرِ قَالَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ تَجَوَّزُوا عَنْهُ

Maksudnya: “Malaikat mengambil nyawa seorang lelaki dari kalangan umat sebelum daripada kamu semua. Kata para malaikat: “Apakah kamu ada melakukan apa-apa kebaikan?” jawab lelaki itu: “Tiada (dia ingatkan kebaikan yang besar)” kata para malaikat: “Cuba ingat!” Jawab lelaki itu: “Dahulu aku memberi hutang kepada orang ramai. Lalu aku menyuruh budakku untuk memberi tangguh kepada orang yang dalam kesenangan dan memaafkan orang yang dalam kesusahan. Kata Nabi SAW: Allah berfirman: “Maka berikanlah kemaafan kepada dia.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Sedarkah kita bahawa… jika sesuatu musibah melanda, sesungguhnya ia bukanlah musibah pada hakikatnya, melainkan jika kita gagal menanganinya mengikut bimbingan Rasul SAW. Namun jika kita berjaya menanganinya mengikut sunnah Nabi SAW dengan bersabar dan berihtisab, maka akan dihapuskan dosa-dosa kita ditambah dengan memperolehi kemaafan dari Allah SWT setelah sanggup memberi kemaafan kepada orang lain, maka semua ini bukanlah musibah sebenarnya… sebaliknya satu nikmat yang cukup besar dari Allah SWT.

Cetak
Wallahu a'lam