SDI 0870: Terjemahan Ayat 52 Dari Surah Yasin Terbitan Pustaka Tilawah, Cet. Attiin Press 2012, Secara Zahirnya Boleh Membawa Kepada Salah Faham?

Al-Quran dan Ulumnya Jumlah paparan: 817

Soalan:

salam ustaz. nak tanya sikit ttg ayat 52 surah yassin:

"Mereka berkata aduhai celakanya kami siapakah yang telah membangkitkan kami dr tidur kami, inilah apa yang telah dijanjikan alRahman yg maha pengasih dan telah benar/jujur para rasul/utusan (dgn apa yg telah disampaikan)." (Yasin: 52)

adakah org kafir tidak ada siksaan kubur hanya utk org2 mukmin shj?

jika difahami secara literal ianya menunjukkan org kafir seolah2 tidak ada sebarang apa yg berlaku dari mrk mati sehingga dibangkitkan nanti pada hari pembalasan... indicate mcm terkejut.

Jawapan:

Terjemahan "tidur kami" untuk kalimah مَرْقَد tak berapa tepat pada pandangan saya. Terjemahan yang lebih tepat ialah "tempat berbaring". Ini kerana kalimah مرقد ialah "isim makan" atau "kata nama untuk tempat berbaring atau tempat tidur" berdasarkan tafsiran Ibn 'Asyur di dalam alTahrir wa alTanwir yang berkata alMarqad ialah Makan alRuqad (مكان الرقاد) yang bermaksud tempat tidur atau tempat berbaring (bukan "tidur kami").

Kebangkitan dari kubur, dinisbahkan kepada dibangkitkan dari tempat tidur atau tempat berbaring kerana orang yang mati dikebumikan di dalam kubur dalam keadaan berbaring.

Ayat ini tidak menafikan orang-orang kafir tersebut diazab di dalam kubur berdasarkan banyak bukti lain dari alQuran dan hadis yang menyatakan mereka di azab.

Ayat alQuran tersebut menceritakan keadaan orang-orang kafir yang mendustai hari kebangkitan semula selepas kematian. Apabila mereka dibangkitkan untuk berkumpul di padang mahsyar, setelah mereka melihat kesukaran dan azab yang dikenakan kepada mereka di padang mahsyar, maka mereka merasakan azab yang dikenakan kepada mereka di dalam kubur adalah jauh lebih ringan lalu mereka berkata:

"Celakalah kami, siapakah yang telah membangkitkan kami dari tempat berbaring (kubur)" setelah melihat azab di padang mahsyar yang jauh tidak terbanding keperitannya dengan azab di dalam kubur.

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini:

وهذا لا ينفي عذابهم في قبورهم ؛ لأنه بالنسبة إلى ما بعده في الشدة كالرقاد

Maksudnya: "Ini tidak bermaksud menafikan mereka (orang-orang kafir) diazab di dalam kubur mereka. Kerana azab yang mereka lihat setelah bangkit dari kubur di mahsyar adalah teramat dahsyat sehingga jika dibandingkan azab yang mereka terima ketika di dalam kubur seperti mereka baru meninggalkan tempat mereka berbaring."

Lalu orang-orang beriman berkata: "Inilah apa yang telah dijanjikan oleh tuhan yang maha pemurah dan telah benarnya sekelian para rasul." (Yasin: 52)

Cetak
Wallahu a'lam