Tunjukilah kami ke jalan yang lurus

Al-Quran dan Ulumnya Jumlah paparan: 1004

Ketika seseorang hamba yang diberi Taufiq oleh Tuhannya membaca:

اهدنا الصراط المستقيم

Maksudnya: "Tunjukilah kami ke jalan yang lurus." 

Dia perlu merasai bahawa, jalan lurus yang dimintanya itu terdapat dalam surah berikutnya, surah alBaqarah pada ayat 2 ketika Allah SWT berfirman:

ذلك الكتاب لا ريب فيه،...

Maksudnya: "Kitab alQuran ini, tiada keraguan di dalamnya..." 

Nah, inilah dia apa yang kamu minta, di dalamnya terdapat hajat dan keperluan kamu. Kitab alQuran inilah Sirat alMustaqim (jalan yang lurus). 

Dan kitab inilah juga:

...هدى للمتقين

Maksudnya: "...Petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa." (alBaqarah: 2). 

Seseorang hamba yang membaca:

اهدنا الصراط المستقيم

Maksudnya: "Tunjukilah kami ke jalan yang lurus." 

Dia sepatutnya berada dalam keadaan takut atau menghadirkan rasa takut ke dalam dirinya dari terjebak ke dalam golongan yang dimurkai dan sesat. (Lihat Ibn alZubair alGharnathi, alBurhan Fi Tanasub Suwar alQuran 84) 

Firman Allah SWT:

وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya: "(orang-orang bertaqwa yang beriman kepada perkara-perkara ghaib dan mendirikan solat itu) dan mereka juga membelanjakan (mengeluarkan infaq) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (alBaqarah: 3) 

Dalam ayat alQuran ini, terdapat perhatian kepada orang-orang yang mengeluarkan infaq dan terdapat dorongan agar melakukan infaq. Ini kerana termasuk di dalam cara yang berkesan untuk bebas dan selamat dari berbagai musibah seperti kemiskinan, kejahilan, penyakit yang dibimbangi dan seumpamanya adalah dengan mencurahkan harta untuk membantu keperluan orang-orang fakir, membantu pusat-pusat penyebaran ilmu, pusat-pusat rawatan kesihatan, dan lain-lain.

Cetak
Wallahu a'lam