Jadilah Orang-Orang Yang Sabar Dan Mendapat Kasih Sayang Dari Allah

Al-Quran dan Ulumnya Jumlah paparan: 890

Jadilah Orang-Orang Yang Sabar Dan Mendapat Kasih Sayang Dari Allah

Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Lihat Makna Sabar (klik) 

-------------------------------------------------- 

Firman Allah SWT:

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِىٍّۢ قَٰتَلَ مَعَهُۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُواْ لِمَآ أَصَابَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَمَا ضَعُفُواْ وَمَا ٱسْتَكَانُواْ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّٰبِرِينَ

Maksudnya: “Berapa ramai dari kalangan nabi yang berperang bersama mereka pengikut-pengikut yang ramai, tidaklah mereka goyah disebabkan apa yang menimpa mereka di jalan Allah, tidak pula mereka menjadi lemah dan tidak pula mereka menyerah diri. Allah menyukai orang-orang yang sabar.” (Ali Imran: 146)

Huraian

Ayat al-Quran yang mulia ini bertujuan memberi ketenteraman kepada para Sahabat Nabi SAW, agar tidak merasakan mereka bersendirian menerima keperitan dan kepayahan ketika berjuang meninggikan agama Allah. Bahkan demikianlah aturan Allah SWT. sedari dahulu kesemua para pengikut para nabi akan berhadapan dengan tentangan yang dahsyat. Namun semua tentangan yang mereka hadapi tidaklah menggoyahkan pendirian mereka, tidak pula menjadikan mereka lemah dan menyerah kalah.

            الرِبِّيُّونَ diterjemahkan sebagai “…pengikut-pengikut yang ramai…” kerana ia bermaksud الجماعة الكثيرة iaitulah kumpulan yang ramai.

Di dalam ayat ini, Allah SWT mensifatkan para pengikut nabi sebagai “ribbiyyun رِبِّيُّونَ yang mengisyaratkan para pengikut nabi yang ramai yang terdiri dari kalangan mereka yang memiliki iman yang mendalam dan keazaman yang teguh sehingga mereka layak untuk diikuti dan dicontohi oleh orang-orang kemudian yang memiliki kemurnian akal dan jiwa.

Al-Imam al-Qurtubi menyatakan الرِبِّيُّونَ dengan huruf “Ra” diberi baris kasrah adalah berdasarkan bacaan majoriti ulama al-Quran. Sebahagian lain ada membacanya dengan diberi baris dhammah رُبِّيُّونَ  dan sebahagian lain membacanya dengan diberi baris fathah رَبِّيُّونَ.

Kalimah رِبِّيُّونَ adalah kalimah plural untuk رِبِّيٌّ iaitulah seorang yang mengenali tuhannya, benar imannya dan ikhlas ibadahnya. Huruf “Ya” di hujungnya adalah “Ya Nisbah” kepada al-Rabb الرب sama seperti kalimah al-Rabbani الرباني. Kata al-Khalil al-Ribbiy adalah seorang individu dari kalangan hamba ALlah, memiliki kesabaran berjuang bersama para nabi. Mereka adalah golongan al-Ribbaniyyun, dinisbahkan kepada sifat penyerahan dan pengabdian diri kepada Allah dan mereka yang benar-benar mengenali tuhan mereka.   

Firman Allah فَمَا وَهَنُواْ, diterjemahkan sebagai: “…tidaklah mereka goyah…” di mana وَهَنُواْ adalah dari kalimah الوَهنُ iaitulah goyah dan tidak memiliki keteguhan jiwa. Ia bermula di dalam diri seseorang insan. Jika dibiarkan menguasai diri, ia akan menjadikan seseorang itu lemah dan berada dalam kehinaan.

Ayat ini menceritakan, bagaimana ramai dari kalangan para nabi dahulu memiliki para pengikut yang juga ramai, terdiri dari mereka yang memiliki iman yang benar. Mereka berjuang untuk menegakkan kalimah Allah dan memuliakan agama yang diturunkan oleh Allah SWT. Mereka mengalami kecederaan yang parah dalam memerangi musuh-musuh Allah. Namun semua itu tidaklah menjadikan hati dan pendirian mereka goyah. Tidak juga merubah mereka menjadi orang yang penakut dan pengecut.

Firman Allah: وَمَا ضَعُفُواْ diterjemahkan “…tidaklah pula mereka menjadi lemah…” iaitulah mereka tidak berubah menjadi orang-orang yang lemah dengan sebab kecederaan dan kesakitan yang dialami dalam mempertahankan agama Allah dari musuh-musuh-Nya.

Manakala firman Allah: وَمَا ٱسْتَكَانُواْ diterjemahkan sebagai “…tidak pula mereka menyerah diri…” iaitulah kesakitan dan kecederaan yang mereka alami tidak menjadikan mereka menyerah diri dan hina di hadapan musuh. Bahkan mereka terus berjuang dalam keadaan mulia dan hebat.

Di dalam ayat yang mulia ini, terdapat tiga sifat yang tidak akan bergabung dengan iman. Allah SWT menafikan tiga sifat ini pada orang-orang yang memiliki iman yang benar.

Pertama adalah sifat al-Wahn iaitulah sifat goyah dan tiada kecekalan jiwa yang akan menghilangkan keteguhan jiwa dan keazaman.

Kedua adalah sifat al-Dha’f iaitulah kelemahan yang bertentangan dengan kekuatan. Sifat ini lahir dari al-Wahn atau dari jiwa yang goyah dan tidak memiliki kecekalan.

Ketiga adalah sifat al-Istikanah iaitulah rela dan menyerah diri jatuh ke dalam lembah kehinaan dan kerendahan di hadapan musuh, sehingga musuh bebas bertindak sesuka hati.

Jika diperhatikan, tiga sifat ini saling berkaitan antara satu dengan yang lain. Sepatutnya memadai disebutkan salah satu sifat bagi mewakili ketiga-tiganya. Namun disebut juga ketiga-tiga sifat ini bagi menggambarkan betapa keji dan hinanya sesiapa yang memiliki walau salah satu sifat ini di dalam dirinya.

Ayat yang mulia ini, bersesuaian dengan ianya sebagai kalam Allah, tersusun dengan penuh ketertiban. Di mana al-Wahn yang merujuk kepada kegoyahan jiwa dan pendirian jika bertempat di dalam diri seseorang akan menjadikan orang itu berada dalam kelemahan seterusnya akan menyerah diri kepada musuh. Menjadikan orang seperti itu berada dalam kehinaan, menurut apa sahaja kehendak musuh terhadapnya. Jika seseorang insan telah sampai ke tahap ini. Mati pada nisbahnya  adalah lebih mulia berbanding hidup dalam keadaan hina dan akur dengan kehendak musuh.

Ayat ini ditutup dengan firman Allah SWT: وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّٰبِرِينَ yang bermaksud lebih kurang: “…dan Allah menyukai atau mencintai orang-orang yang sabar.” Iaitulah Allah sayang dan cintakan orang-orang yang sabar menanggung kepayahan dan keperitan berjihad di jalan-Nya.

Menerima sayang dan cinta dari Allah lebih besar dari seseorang hamba cintakan Allah. Seseorang boleh sayang dan cintakan Allah disebabkan terlalu banyak kebaikan yang Allah curahkan kepadanya. Akan tetapi bagaimana pula jalannya untuk kita menjadi orang yang bukan hanya sayang dan cintakan Allah, bahkan Allah SWT yang maha mulia mencintai dan menyayanginya. Inilah yang dianjurkan di dalam ayat ini.

Seseorang insan sepatutnya bimbang, jika dia mencintai Allah, namun Allah tidak mencintainya. Tidakkah kita perhatikan betapa adanya orang yang menyayangi namun dia tidak disayangi. DIa mencintai, namun dia tidak dicintai.

Seseorang insan yang sayang dan cintakan Allah kerana limpahan nikmat dan kebaikan dari-Nya adalah perkara yang sememangnya begitu. Namun mendapat cinta dan sayang daripada Allah adalah suatu yang lebih besar lagi dan terlalu tinggi darjatnya.

Oleh itu, seorang yang beriman, apabila membaca firman Allah: وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّٰبِرِينَ "dan Allah menyukai atau mencintai orang-orang yang sabar” sepatutnya dia berkata: “Cukuplah bagiku memperolehi cinta dan sayang dari Allah sebagai balasan dari kesabaranku” kerana sesiapa yang dicintai oleh Allah sudah pasti akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda. Justeru jadilah orang-orang yang sabar.

Cetak
Wallahu a'lam