SDI 1516: Benarkah Kalimah السارق والسارقة Dan الزانية والزاني Merujuk Kepada Pelaku Kesalahan Yang Berulang Kali?

Al-Quran dan Ulumnya Jumlah paparan: 577

Soalan:

Ustaz, apakah betul ayat tentang hukum hudud potong tangan pencuri السارق والسارقة dan sebatan ke atas penzina الزانية والزاني merujuk kepada pelaku kesalahan tersebut yang berulang kali melakukan dosa mencuri dan berzina sehingga layak digelar sebagai “Pencuri” dan “Penzina.”? Jika pelaku kesalahan tersebut buat kali pertama melakukannya, mereka baru dinamakan يسرق  dan يزني dengan fi‘il mudhari’, bukan dengan isim fa‘il.

Jawapan:

Pemahaman sebegitu adalah SALAH. Sebaliknya petunjuk yang dapat diambil dari penggunaan Isim Fa‘il (kata nama pelaku) dalam ayat yang ditanya ialah bagi menunjukkan perbuatan tersebut sama ada perzinaan atau kecurian benar-benar telah dilakukan. Maknanya ayat al-Quran yang mulia: الزانية والزاني yang bermaksud “Penzina wanita dan lelaki” adalah memaksudkan hukuman sebat 100 kali dilaksanakan ke atas individu bukan muhsan yang benar-benar telah dibuktikan melakukan perbuatan zina. Demikian juga ayat al-Quran السارق والسارقة yang bermaksud: “Pencuri lelaki dan perempuan” dijatuhkan hukuman potong tangan adalah merujuk kepada individu yang benar-benar telah dibuktikan melakukan perbuatan mencuri.

Ada perbezaan maksud ayat dengan menggunakan isim fa'il (kata nama pelaku) dan fi'il mudhari' (kata perbuatan sedang atau akan berlaku). Saya berikan contoh mudah di sini: Orang Arab apabila berkata menggunakan isim fa'il أنا صائم رمضان maksudnya “Saya seorang yang berpuasa Ramadhan,” Namun jika susunan ayat dengan fi'il mudhari': أنا أصوم رمضان boleh juga membawa maksud “Saya akan berpuasa Ramadhan.” Contoh lain, perbezaan penggunaan isim fa'il pada ayat: أنا قاتل زيد  bermaksud: "Aku pembunuh Zaid" dengan menggunakan fi'il mudhari': أنا أقتل زيدا bermaksud: "Aku akan membunuh Zaid."  

Kerana itu al-Quran menggunakan isim fa‘il bagi memastikan individu yang dijatuhkan hukuman hudud mencuri dan zina itu hendaklah terbukti melakukan kesalahan tersebut.  

            Demikian juga, jika ayat al-Quran hendak merujuk kepada pelaku kesalahan yang berulang kali, baru dikenakan hukuman seperti yang didakwa. Maka sighah السارق والسارقة  dan الزانية والزاني tidak sesuai digunakan. Ini kerana, sighah sebegini boleh juga merujuk kepada seseorang yang pertama kali melakukan sesuatu perbuatan. Sebaliknya sighah yang sepatunya digunakan ialah sighah-sighah yang menunjukkan al-Mubalagah atau berlaku banyak kali seperti sighah dengan wazan atau timbangan: فَعَّال، فَعِيل، مِفْعال، فَعُول، فَعِلٌ،.

Cetak
Wallahu a'lam