Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
Risalah Bulan Muharram
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Nabi saw bersabda, mMaksudnya: "Seutama-utama puasa selepas Ramadhan adalah puasa dalam bulan Allah al-Muharram, dan seutama-utama solat selepas solat yang wajib ialah solat malam."
Di dalam hadith di atas, Nabi saw menyebut bulan Muharram sebagai bulan Allah bagi menandakan kemuliaan dan kelebihannya. Ini kerana Allah dan Rasul tidak menyandarkan sesuatu kepada Allah melainkan sebagai tanda kelebihan dan kemuliannya berbanding yang lain sebagaimana dinamakan Baitullah yang merujuk kepada Kaabah.
Hadith ini secara jelas menunjukkan kelebihan bulan Muharam termasuk kelebihan puasa di dalamnya menduduki tempat yang kedua selepas kelebihan puasa dalam bulan Ramadhan. Kelebihan ini difahami dari sudut kelebihan bulan Muharram untuk dilakukan puasa sunat di dalamnya berbanding bulan-bulan yang lain selepas Ramadhan. Adapun kelebihan berpuasa dari sudut hari-hari tertentu, terdapat beberapa hari yang lebih utama berpuasa di dalamnya berbanding hari-hari dalam bulan Muharram, iaitulah seperti puasa pada hari 'Arafah dan puasa enam hari dalam bulan Syawal. Kedua-dua hari ini lebih utama berpuasa berbanding hari-hari dalam bulan Muharram.
Bulan Muharram juga merupakan salah satu bulan yang dimuliakan (haram) di dalam Islam. Perkara ini seperti yang disebut oleh Allah swt di dalam ayatNya:
Maksudnya: "Sesungunya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram, iaitulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu…" (al-Taubah: 36)
Sebuah hadith yang diriwayatkan aripada Abi Bakrah, Nabi saw bersabda: Maksudnya: "Satu tahun itu ada dua belas bulan, antaranya empat bulan haram, tiga (dari yang empat itu) berturut-turutan, Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab Mudhar antara Jamadil akhir dan Sya'ban." (H.R. al-Bukhari dan Muslim)
Mudhar adalah nama satu kabilah Arab, disandarkan bulan Rejab kepadanya untuk menghilangkan kesamaran. Ini kerana ada perbezaan antara Bani Mudhar dan Bani Rabi'ah dalam menuntukan kedudukan bulan Rejab. Bani Mudhar meletakkan bulan Rejab antara Jamadil Akhir dan Sya'ban, manakala Bani Rabi'ah menjadikan kedudukan itu untuk bulan Ramadhan.
Oleh kerana itu, Nabi saw menyandarkan bulan Rejab kepada Mudhar, sebagai isyarat kedudukan Rejab yang diletakkan oleh Bani Mudhar itulah yang sebenarnya. Dikatakan juga sebab disandarkan Rejab kepada Bani Mudhar kerana mereka membesarkan bulan Rajab ini lebih dari bulan-bulan yang lain. Ini berbeza jika dibandingkan dengan kabilah-kabilah yang lain. Selain itu dikatakan juga disebabkan orang-orang Arab menamakan Rejab dan Sya'ban sebagai dua bulan Rejab ( الرجبين). Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi saw menyandarkan Rejab kepada Mudhar disebabkan Jamadilakhir dan Rejab dinamakan sebagai dua bulan Jamadain dan dinamakan Sya'ban sebagai Rejab. (Sila lihat Syarh Sahih Muslim oleh al-Nawawi)
Firman Allah swt yang bermaksud: "Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu " (al-Taubah: 36)
Ayat ini menunjukkan perbuatan menganiayai diri (melakukan dosa) yang dilakukan di dalam empat bulan yang dimuliakan ini lebih berat dan lebih besar dosanya berbanding bulan-bulan yang lain.
Qatadah (قتادة) berkata: "Sesungguhnya penganiayaan diri di dalam bulan-bulan haram lebih besar kesalahannya dan dosanya berbanding bulan-bulan yang lain, dalam keadaan penganiayaan diri (melakukan dosa) itu dalam semua keadaan adalah satu kesalahan yang besar, akan tetapi Allah membesarkan sesuatu dari urusannya apa yang dikehendakinya." (Tafisr Ibn Kathir)
Apakah Disunnahkan Puasa Muharram Keseluruhannya?
Dari sudut zahir hadith, seolah-olah menunjukkan kelebihan puasa Muharram adalah puasa pada keseluruhannya atau puasa sebulan penuh. Namun sebahagian ulama memahami hadith-hadith tentang kelebihan keseluruhan bulan Muharram ini sebagai galakan memperbanyakkan puasa dalam di dalamnya, dan bukan bermaksud berpuasa penuh di dalam bulan Muharram. Kefahaman ini berdasarkan kepada perkataan 'Aisyah r'anha:
Maksudnya: "Tidak pernah aku melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan (penuh) sama-sekali melainkan dalam bulan Ramadhan, dan tidak pernah aku melihat baginda lebih banyak berpuasa dalam satu bulan berbanding Sya'ban." (HR Muslim)
Sejarah Puasa 'Asyura
'Aisyah r.'anha berkata, Maksudnya: "Ketika Jahiliyyah, orang-orang Quraisy berpuasa pada hari 'Asyura, demikian juga Rasulullah saw berpuasa pada hari tersebut, apabila baginda berhijrah ke Madinah baginda berpuasa pada hari 'Asyura dan baginda menyuruh (orang ramai) berpuasa pada hari 'Asyura. Apabila difardhukan Ramadhan, baginda meninggalkan (kewajipan) puasa 'Asyura, siapa yang hendak berpuasa dia berpuasa dan siapa yang tidak mahu dia tidak perlu berpuasa pada hari ‘Asyura." (HR al-Bukhari dan Muslim)
Hadith ini menunjukkan orang-orang Jahiliyyah dari dahulu membesar dan memuliakan hari 'Asyura dengan mereka melaksanakan puasa pada hari tersebut. Demikian juga Nabi saw berpuasa pada hari tersebut dan baginda berterusan berpuasa sehinggalah berlakunya hijrah. Selepas berlakunya hijrah baginda saw ke Madinah, di peringkat awalnya baginda telah mewajibkan puasa pada hari 'Asyura. Inilah pendapat yang sahih dari dua pendapat ulama berdasarkan arahan Nabi. (Sila lihat Risalah fi Ahadith Syahr Allah al-Muharram, oleh al-Syeikh Abdullah bin Soleh al-Fauzan)
'Aisyah r.'anha berkata lagi, maksudnya: "Adalah umat Islam dahulunya berpuasa 'Asyura sebelum difardhukan Ramadhan, hari tersebut adalah hari orang-orang Jahiliyyah menyelimuti Ka'bah (dengan kain selimut), apabila Allah menfardhukan Ramadhan, Rasulullah saw bersabda: "Siapa yang hendak berpuasa 'Asyura, maka berpuasalah, siapa yang tidak hendak, tinggalkanlah." (HR al-Bukhari dan Muslim)
Salamah bin al-Aqwa' (سلمة بن الأكوع) r.a. pula meriwayatkan, maksudnya: "Bahawasanya Nabi saw telah mengutus seorang lelaki, untuk menyeru manusia pada hari 'Asyura, sesiapa yang telah makan pada hari tersebut hendaklah dia berpuasa dan siapa yang belum makan pada hari tersebut maka janganlah dia makan (teruskan berpuasa)." (HR al-Bukhari)
Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada pertengahan tahun kedua hijrah, maka dimansukhkan hukum wajib puasa pada hari 'Asyura dan kekal hukumnya sebagai sunat. Puasa 'Asyura ini tidak diwajibkan melainkan pada peringkat awal hijrah iaitulah pada tahun pertama sehingga pertengahan pertama tahun kedua hijrah. Setelah daripada itu, pada tahun kesepuluh hijrah Nabi saw berazam untuk berpuasa 'Asyura beserta dengan hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharram yang disebut sebagai al-Tasu’a (التاسوعاء) agar berbeza dengan Ahl al-Kitab yang juga berpuasa pada hari 'Asyura sahaja.
Kata Ibn 'Abbas r.a., maksudnya: "Ketika Nabi s.a.w. sampai ke madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura. Lalu Baginda bersabda: "Hari apakah ini (di sisi kamu)?" Orang-orang Yahudi menjawab : "Hari ini adalah hari yang baik. ALLAH telah memenangkan Musa dan Bani Israil pada hari ini daripada musuh mereka (Fir'aun dan kaumnya). Lalu Musa berpuasa pada hari ini ('Asyura)." Sabda Nabi s.a.w : "Aku lebih berhak terhadap Musa berbanding kamu semua (orang-orang Yahudi)." Lalu baginda berpuasa pada hari tersebut ('Asyura) dan mengarahkan (para Sahabat) berpuasa padanya." (Hadith riwayat al- al-Bukhari dan Muslim)
Ibn 'Abbas r.a. pula berkata, maksudnya: “Ketika Nabi s.a.w. berpuasa pada hari 'Asyura, dan baginda menyuruh para sahabat berpuasa padanya."Para Sahabat berkata : "Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari itu hari yang dibesarkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasara." Lalu Nabi s.a.w. bersabda: "Maka pada tahun hadapan insyaALLAH kita akan berpuasa (bermula) pada hari kesembilan." Seterusnya Ibn 'Abbas bercerita: "Tidak sempat datang tahun hadapan, Nabi s.a.w. diwafatkan (oleh ALLAH s.w.t .)." (Hadith riwayat Muslim dan Abu Daud)
Galakan Berpuasa Pada Hari 'Asyura
Abu Qatadah berkata, Nabi saw telah ditanya tentang puasa pada hari 'Asyura, baginda bersabda, yang bermaksud: "Ia (puasa 'Asyura) menghapuskan dosa setahun yang lalu." Dalam riwayat yang lain bermaksud: "Dan puasa hari 'Asyura, aku mengharapkan agar Allah menghapuskan dosa setahun sebelumnya." (HR Muslim)
Hadith ini menunjukkan kelebihan puasa pada hari 'Asyura, iaitulah hari yang kesepuluh dalam bulan al-Muharram. Kelebihannya ialah dihapuskan dosa setahun yang lalu. Jabir bin Samurah r.a. berkata, maksudnya: "Rasulullah saw mengarahkan puasa hari 'Asyura dan memberi galakan puasa pada hari tersebut dan baginda memberi perhatian dalam melakukannya." (HR Muslim)
Puasa adalah seutama-utama amalan di sisi Allah. Puasa sunat sama seperti amalan-amalan sunat lain yang berperanan menampung kebarangkalian adanya kekurangan ketika melakukan perkara-perkara yang fardhu. Di dalam sebuah hadith Qudsi, Nabi saw bersabda tentang permasaalahan solat, maksudnya: "Firman Allah tabaraka wa ta'ala: "Lihatlah, apakah bagi hambaku itu ada (pahala) dari amalan sunat? maka sempurnakanlah dengannya apa yang berkurangan dari amalan fardhunya, kemudian lakukan seperti itu terhadap semua amalannya." (HR Tirmizi dari Abu Hurairah secara Marfu', katanya Hadith Hasan)
Maksud Amalan Menghapuskan Dosa
Para ulama berbeza pendapat tentang maksud kelebihan sesuatu amalan soleh yang dapat menghapuskan dosa. Al-Syeikh Abdullah bin Soleh al-Fauzan berkata: "Ketahuilah bahawasanya setiap nas yang menunjukkan sebahagian amalan soleh dapat menghapuskan dosa seperti wudhu, puasa Ramadhan, puasa hari 'Arafah, puasa 'Asyura dan selainnya, yang dimaksudkan adalah dosa-dosa kecil. Ini kerana ibadat yang besar seperti solat lima waktu, solat Jumaat dan puasa Ramadhan tidak dapat menghapuskan dosa-dosa besar – sepertimana yang thabith di dalam sunnah - maka bagaimana yang lebih kecil daripada itu ? kerana itu jumhur ulama (kebanyakan) berpendapat dosa-dosa besar sepeti riba, zina, sihir dan selainnya tidak dapat dihapuskan dosanya dengan amalan-amalan soleh, sebaliknya tidak boleh tidak mesti dengan taubat atau melaksanakan hudud bagi yang berkaitan dengan hukum hudud." Maka dengan sebab itu, kita amat digalakkan memperbanyakkan taubat pada hari-hari yang memiliki kelebihannya seperti hari 'Asyura. Ini kerana taubat pada hari-hari yang ada kelebihan memiliki kedudukan yang besar. Disamping itu taubah juga merupakan perkara yang wajib ke atas setiap dosa dan melewat-lewatkannya adalah satu kesalahan dan dosa pula.”