Hukum Tak Beramal Dengan Ilmu Yang Baru Dipelajari

Dakwah Jumlah paparan: 1855

 

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh, soalan dari Haji Nazri berkaitan dengan apakah dosa sekiranya kita tidak amalkan ilmu yang baru kita tahu dan belajar, seperti ilmu-ilmu sunnah atau sunat seperti puasa sunat, solat-solat sunat hatta amalan sunat-sunat kecil seperti doa masuk tandas, keluar tandas dan lain-lain doa.

Jawapan:

Ia kembali kepada ilmu yang kita pelajari. Kita boleh membahagikan ilmu kepada dua sekurang-kurangnya. Yang pertama ilmu yang termasuk di dalam ilmu atau amalan yang wajib diamalkan. Maka sudah tentulah apabila kita mengetahui amalan itu wajib diamalkan oleh setiap muslim maka wajib pula ke atas kita mengamalkan amalan tersebut berdasarkan ilmu yang kita ketahui. Tidak mengamalkan amalan yang wajib setelah memiliki ilmu, maka sudah tentulah ia merupakan satu perbuatan dosa, kerana telah berlaku kecuaian terhadap perintah agama.

Manakala bahagian yang kedua iaitulah ilmu yang berkaitan dengan amalan-amalan sunat. Maka beramal dengan ilmu seperti ini juga termasuk di dalam amalan sunat. Jika perhatikan kepada soalah yang ditanya iaitulah berkaitan dengan ilmu-ilmu sunat seperti puasa sunat, solat-solat sunat, amalan-amalan sunat seperti doa masuk tandas dan seumpamanya, maka mengamalkan ilmu seperti ini sama dengan hukum amalan tersebut iaitulah sunat, maka mengamalkannya juga adalah sunat. Namun bagi seseorang yang tahu dan telah ada ilmu, jika dia sengaja meninggalkan perkara-perkara sunat ini, ada sedikit kecacatan dari pihak dia kerana mengabaikan ilmu yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya. Ini kerana tujuan menuntut ilmu itu adalah untuk beramal, setelah kita tahu bagaimana amalan sunat sebenarnya, maka sepatutnya kita berusaha mengamalkan amalan sunat itu berdasarkan kemampuan kita. Sekalipun demikian hukum amalan tersebut tetap sunat kerana perkara yang sunat tidak boleh diubah hukumnya menjadi wajib, ia kekal sebagai sunat.

Perlu juga saya jelaskan di sini, para ulama menyebut orang-orang yang beramal dengan ilmu yang dipelajarinya, sama ada yang sunat mahupun yang wajib semestinya, yang sunat juga turut diamalkan, ia memiliki kelebihan di sisi Allah SWT. Ada satu hadis yang mana para ulama berbeza pandangan tentang darjat hadis ini apakah ia datang dari perkataan nabi SAW ataupun bukan, iaitulah sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA yang berkata:

العالم بما علم، أورثه الله بعلم مالم يعلم

Orang yang beramal dengan apa yang dia ketahui, Allah akan mewariskan kepadanya ilmu yang belum dia ketahui.

Ini menunjukkan kelebihan orang-orang yang beramal dengan ilmu yang mereka pelajari tanpa melihat sama ada ia wajib mahupun sunat. Demikian juga ada perkataan ulama terutamanya ulama dari mazhab Syafie yang ada membuat satu ungkapan bertujuan memberi anjuran dan galakan kepada para penuntut ilmu agar mengamalkan ilmu yang dipelajari menurut kemampuan. Iaitulah kata mereka:

وعالم بعلمه لم يعملن معذب من قبل عباد الوثن

“Orang yang mengetahui yang tidak beramal akan diazab sebelum para penyembah berhala”

Perkataan ini  bukan hadis nabi, akan tetapi ia hanya ungkapan yang disebut oleh para ulama. Namun kita boleh faham para ulama menyebutnya sebagai memberi galakan dan anjuran kepada para penuntut ilmu untuk berusaha mengamalkan ilmu yang mereka pelajari. Para ulama juga berkata, cukup sekurang-kurangnya dengan kita mengamalkan sekali amalan sunat yang dipelajari, bagi menempatkan diri sebagai seorang yang beramal dengan ilmu yang dipelajari. Apapun beramal dengan ilmu kembali kepada hukum sesuatu amalan.  Jika ia wajib, maka beramal dengan ilmu itu adalah wajib. Jika ia sunat, maka beramal dengan ilmu tersebut juga adalah sunat.  

Cetak
Wallahu a'lam