SDI 1206: Apakah Air Liur Basi Bayi Dan kanak-Kanak Najis?

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz.

Saya ingin bertanya tentang hukum air liur yang keluar ketika tidur berdasarkan pendapat 4 mazhab.

PERMASALAHAN:

Saya mempunyai anak yang masih kecil berumur 1 tahun lebih. Dia kerap mengeluarkan air liur ketika tidurnya.

Disebabkan dia masih menyusu badan, saya akan mandi dan menukar pakaian setiap kali mahu menunaikan solat kerana dikhuatiri air liurnya itu terkena pada badan dan pakaian saya. Hal ini kerana mengikut pendapat Imam Syafie air liur ketika tidur terbahagi kepada 2; air liur yang keluar dari mulut dianggap tidak najis dan air liur yang keluar dari perut dianggap najis.

Jadi dalam kes anak saya ini, saya tidak tahu sama ada air liur itu dari mulut atau perutnya. Ini menyusahkan saya kerana selalu terfikir dan berhati-hati ketika anak baru bangun tidur dengan memeriksa di sekitar mulutnya samada terdapat kesan putih air liur atau tidak. 

PERSOALAN:

1) Bagaimana hendak diketahui air liur yang keluar itu dari mulut atau perut?

2) Benarkah saya terpaksa mandi dan menukar pakaian setiap kali hendak menunaikan solat?

3) Benarkah saya perlu memeriksa di sekitar mulutnya untuk memastikan air liur basi (kesan putih) itu tidak ada supaya tidak berpindah ke tempat lain? 

4) Benarkah sekiranya air liur yang keluar itu sering berlaku, ia dianggap Umum Balwa iaitu najis yang dimaafkan dalam Islam?

5) Bolehkah saya beramal dengan pandangan dari mazhab lain sekiranya terdapat pendapat yang mengatakan air liur yang keluar ketika tidur itu tidak najis supaya memudahkan kehidupan saya? 

Diharapkan Ustaz sudi menjawab persoalan yang sering menghantui fikiran saya ini. 

Sekian. Terima kasih. 

Jawapan:

Wa'alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh

Keempat-empat mazhab fikah tidak sependapat dalam masalah ini. Pandangan mereka berdasarkan maklumat di zaman mereka, secara ringkasnya adalah seperti berikut:

1. Ulama mazhab Hanafi sepakat mengatakan air liur yang turun dari kepala (ke mulut) adalah tidak najis.   

2. Ulama mazhab Maliki mengatakan semua hidupan sama ada lautan mahupun daratan, muslim atau kafir, air liur kesemuanya yang mengalir ketika jaga ataupun tidur adalah SUCI selagi tidak dapat dipastikan ia datang dari perut dengan bewarna kekuningan dan berbau busuk, maka pada ketika ini ia menjadi najis. DIberi kemaafan jika sering berlaku keluar air liur yang kekuningan dan kotor. Jika tidak selalu dan tidak sering dihukum najis. Mereka juga berpandangan hukum yang sama untuk hingus.

3. Ulama mazhab Syafie berpandangan air liur dan kahak yang keluar dari perut najis dan yang keluar dari kepala, tekak dan dada tidak najis.

4. Ulama mazhab Hambali berpadangan air liur, hingus dan kahak manusia adalah suci tanpa membezakan dari mana ia datang. (Lihat al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 40/85-86) 

Sebahagian besar permasalahan puan telah dijawab dalam soal-jawab lalu, Sila Klik

Al-Imam al-Nawawi menyatakan pandangan yang terpilih ialah tidak wajib membasuh air liur basi yang keluar kerana para doktor di zamannya menafikan adanya air liur yang keluar dari perut. Jika hendak dihukumkan sebagai najis juga setelah dapat dibuktikan ia benar-benar keluar dari perut, ia tetap termasuk dalam umum al-Balwa yang diberi kemaafan di dalam agama.

            Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebut hal yang hampir sama dengan katanya:

ريق المولود ولعابه من المسائل التي تعم بها البلوى، وقد علم الشارع أن الطفل يقيء كثيراً، ولا يمكن غسل فمه، ولا يزال ريقه يسيل على من يربي ، ولم يأمر الشارع بغسل الثياب من ذلك، ولا منع من الصلاة فيها، ولا أمر بالتحرز من ريق الطفل ، فقالت طائفة من الفقهاء : هذا من النجاسة التي يعفى عنها للمشقة والحاجة كطين الشوارع ، والنجاسة بعد الاستجمار ، ونجاسة أسفل الخف والحذاء بعد دلكهما بالأرض .. بل ريق الطفل يطهر فمه للحاجة ، كما كان ريق الهرة مطهراً لفمها ، ويستدل لذلك بما ورد عن أبي قتادة رضي الله عنه ( أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يصغي الإناء إلى الهر حتى يشرب ، ثم يتوضأ بفضله

Maksudnya: “Air liur kanak-kanak termasuk dalam permasalahan umum al-Balwa, agama mengetahui kanak-kanak kerap muntah, tidak mungkin membasuh mulutnya, mulutnya sentiasa berair liur dan kena kepada sesiapa yang menjaganya. Agama tidak memerintahkan membasuh baju yang terkena air liur tersebut dan tiada halangan menunaikan solat dengannya, demikian juga tidak memerintahkan agar menjauhkan diri dari air liur kanak-kanak. Sekumpulan fuqaha mengatakan: Air liur itu termasuk dalam perkara najis yang diberi kemaafan kerana kesukaran (mengalak darinya) dan keperluan. Ia sama seperti (hukum) tanah jalanan, (bekas) najis yang masih ada selepas bersuci (dari kencing dan berak) menggunakan batu dan najis kotoran di bawah khuf dan kasut setelah menyentalnya ke tanah. ..bahkan air liur kanak-kanak itu memsucikan mulutnya kerana ada keperluan, sepertimana air liur kucing menyucikan mulutnya. Hal ini berdalilkan hadis daripada Abi Qatadah RA bahawa Nabi SAW menghulurkan bekas air kepada seekor kucing sehingga kucing itu dapat minum dari bekas tersebut, kemudian baginda berwudhu dari lebihan air yang ada di dalamnya.” (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 39/350-351)

Puan boleh boleh beramal dengan pandangan ini yang mengatakan air liur tidak najis. Apatah lagi ia lebih bertepatan dengan ilmu moden yang mengatakan air liur dikeluarkan dari kelenjar air liur yang tidak berada di dalam perut. Lihat gambarajah di bawah untuk kedudukan kelenjar air liur:

Sumber: http://www.istanbulentcenter.com/y/Salivary-Glands-Problems-68.html

Berdasarkan realiti ini, kita boleh katakan zahir dari perkataan para ulama termasuk para ulama dalam mazhab Syafie menatijahkan hukum air liur adalah tidak najis. Buktinya di dalam Raudhah al-Talibin 1/16, al-Iqna’ oleh al-Syerbini al-Khatib 1/32, Qalyubi bersama al-Minhaj 1/69 dan Hasyiah al-Jamal 1/174 menyatakan:

إن البلغم الصاعد من المعدة نجس، بخلاف النازل من الرأس أو من أقصى الحلق أو الصدر فإنه طاهر

Maksudnya: “Kahak yang naik dari perut adalah najis, berbeza dengan yang turun dari kepala atau dari pangkal dalam halkum atau dada, ia adalah suci.”

Nukilan ini membuktikan air liur dihukum najis oleh sebahagian fuqaha silam kerana beranggapan sebahagiannya dikeluarkan dari perut. Ternyata ilmu moden membuktikan kelenjar air liur tidak berada di dalam perut sebaliknya di sekitar mulut. Dalam masa yang sama fuqaha silam juga menghukumkan apa-apa cairan seperti kahak yang dihasilkan dari kepala, tekak dan dada adalah tidak najis. Maka, air liur adalah tidak najis berdasarkan zahir perkataan mereka.


Cetak  
Wallahu a'lam