Tugas berat para ustaz dan guru agama

Fiqh dan Usul Jumlah paparan: 1312
Sebahagian Fuqaha terutamanya dari kalangan fuqaha yang kemudian (mutaakkhirin), suka meluas-luaskan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Mereka mengada-adakan kaedah-kaedah tertentu, lalu dipasang pula furu'-furu' yang berbagai. Sedang hakikatnya kaedah-kaedah itu sendiri tidak dapat diterima kerana ia tidak memiliki sebarang dalil dari alQuran mahupun alSunnah. 
 
Hasilnya mereka mengandaikan perkara-perkara pelik dan memberikan jalan keluar yang ganjil-ganjil. Sebagai contoh: mereka mengandaikan... jika seseorang bangun dari tidur malamnya dalam bulan Ramadan, dia mendapati di dalam mulutnya terdapat benang yang bersambung ke dalam perut. Ketika itu telah terbit fajar, maka dia wajib berpuasa dan solat Subuh.
 
Namun jika dibiarkan benang tersebut di dalam mulutnya, maka puasanya tidak sah kerana dia telah memasukkan sesuatu ke dalam rongganya iatulah tekak dan perut. Jika ditarik keluar benang tersebut, puasanya terbatal pula, kerana dia dikira muntah dengan sengaja. Demikian juga solatnya tidak sah kerana di dalam mulutnya ada benang yang bersambung dengan najis di dalam perut. Oleh itu apakah jalan keluarnya? 
 
Di dalam Hasyiah alSyarqawi 'Ala alTahrir, sebuah kitab mazhab Syafi'ie, ada mencadangkan jalan keluar yang pelik bagi dilema yang direka ini. Dinyatakan di dalamnya: orang seperti itu hendaklah mengangkat kesnya itu ke mahkamah agar Qadhi atau Hakim mengarahkan beliau mengeluarkan benang dari dalam mulutnya. Maka pada ketika itu puasa dan solatnya sah kerana dia seperti seorang Mukrah atau seorang yang dipaksa oleh hakim. 
 
Oleh itu, menjadi amanah para ustaz yang mengajar agama menimbang pandangan-pandangan seseorang faqih dengan pandangan fuqaha yang lain. Lalu diambil apa-apa yang bertepatan dengan alQuran dan alSunnah sahaja untuk disampaikan kepada orang ramai.
 
Tugas ini amat besar, tidak memadai dengan hanya berangan, hanya pandai berteori dan berfalsafah, hanya pandai membuka salah orang itu dan orang ini, hanya memikirkan kemasyhuran dan populariti. Ia menuntut kerja berat dan masa yang lama. Usaha ini hanya berjaya dengan bantuan dari ALlah SWT bukan dengan kerana adanya orang itu dan orang ini. Beruntunglah mereka yang memberi sumbangan dalam usaha ini. 
 
Cetak
Wallahu a'lam