SDI 1377: Hukum Dua Jemaah Dalam Satu Masjid

Fiqh dan Usul Jumlah paparan: 640

Tuesday, February 23, 2010 


Soalan dari: wantp

Assalamualaikum ya ustaz..

Di sini saya ingin mengemukakan satu kemaslahatan yang bermain dalam minda saya..

Baru-baru ini, saya ada mendengar satu persoalan agama yang diutarakan oleh seorang pendengar kepada seorang ustaz. Persoalan ini saya dengar dari audio yang dimuat turun melalui internet. Persoalan yang diutarakan ialah, adakah boleh sekumpulan jemaah mendirikan solat fardhu secara berjemaah setelah selesai imam di sesebuah masjid itu telah selesai mengerjakan solat fardhu tersebut? Mengikut jawapan yang diberi, haram bagi sekumpulan jemaah mendirikan jemaah yang baru setelah selesai imam masjid tersebut selesai mendirikan solat fardhu tersebut.. Hukum ini dikatakan daripada Imam Syafie sendiri di mana jika terdapat imam dan muazzin yang telah dilantik secara rasmi oleh pemerintah dan penduduk sekitar, maka solat fardhu untuk jemaah yang baru selain jemaah yang mengikuti solat daripada imam rasmi masjid tersebut adalah haram untuk didirikan.. Adakah benar pendapat ini kerana saya telah membaca di beberapa artikel internet mengatakan ulama berbeza pendapat tentang masalah ini.

Bolehkah ustaz terangkan.. Sekian, harap maklum..

Jawapan:

Mendirikan solat jemaah kali kedua setelah solat jemaah pertama didirikan bersama imam masjid, ada keadaan yang dilarang dan ada keadaan yang dibenarkan. Secara ringkasnya adalah seperti berikut:

Bentuk yang dilarang adalah seperti:

1. Wujud sekumpulan jemaah yang sememangnya berpakat untuk mendirikan solat jemaah setelah selesai solat jemaah kali pertama yang didirikan bersama imam masjid yang dilantik.

2. Solat jemaah kedua itu dilakukan berterusan dan ada waktu tertentu yang membezakan solat kedua-dua jemaah tersebut.

Kedua-dua bentuk yang disebut di atas ini jelas suatu yang dilarang di dalam agama kerana ia akan membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.

Bentuk yang diperselisihkan hukumnya di kalangan ulama:

Para ulama berbeza pandangan tentang jemaah yang didirikan kali kedua tanpa pakatan. Sebaliknya ia berlaku secara kebetulan seperti sekumpulan yang baru sampai ke masjid dari permusafiran atau seumpamanya. Apakah mereka boleh mendirikan solat jemaah kali kedua ataupun tidak? Pandangan yang lebih kuat ialah BOLEH bahkan sunat kumpulan tersebut mendirikan solat secara berjemaah untuk memperolehi kelebihan pahala berjemaah.

Di bawah ini saya nukilkan perkataan al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin RH setelah beliau menyebut dua bentuk solat jemaah kedua ini, beliau berkata :

Maksudnya: “Adapun bentuk yang pertama, di mana di masjid adanya dua jemaah yang berterusan mendirikan solat berasingan, jemaah yang pertama dan kedua. Maka perbuatan ini tidak diragukan lagi adalah suatu yang dibenci, sekalipun kami tidak mengatakannya haram. Kerana perbuatan itu adalah bid’ah, tidak diketahui ia berlaku di zaman Nabi SAW dan para sahabat baginda. Kedaan ini sama seperti yang berlaku di masjid al-Haram dahulunya sebelum ia diperintah oleh kerajaan Saudiah. Dahulunya di masjid al-Haram ada empat jemaah solat. Setiap jemaah ada imam solat mereka. Imam mazhab Hambali, dia akan solat seperti cara mazhab Hambali, Imam Mazhab al-Syafie akan solat pula seperti cara mazhab al-Syafie, demikian imam mazhab Maliki akan solat dengan cara mazhab maliki dan imam mazhab Hanafi akan solat dengan cara solat mazhab Hanafi. Mereka akan kata: Ini maqam al-Syafie, ini pula maqam Maliki, ini pula maqam Hanafi dan ini pula maqam Hambali. Akan tetapi raja ‘Abd al-‘Aziz (semoga Allah memberi balasan pahala kepadanya) apabila dia memasuki Mekah, dia berkata: Perbatan ini boleh memecah-belahkan umat Islam. Dia maksudkan umat Islam berpecah-belah di dalam satu masjid. Perkara ini tidak sewajarnya berlaku. Lalu beliau menghimpunkan mereka dengan Imam yang satu…”

Kemudian al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyebut bentuk yang kedua dan berliau berkata:

Maksudnya: “Adapun bentuk yang kedua, ia berlaku secara mendatang, iaitu Imam tetap yang dilantik dialah yang mendirikan solat bersama jemaah masjid. Akan tetapi kadang-kadang dua atau tiga orang atau lebih ada yang terlambat disebabkan sesuatu keuzuran. Maka keadaan ini menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Sebabahagian ulama berpendapat: Tidak diulangi jemaah kali kedua, sebaliknya hendaklah ditunaikan solat secara sendirian. Sebahagian ulama yang lain berpandangan: Boleh diadakan jemaah kali kedua. Dan inilah pandangan yang benar. Inilah juga pandangan mazhab Hanabilah,(antara) dalilnya:

Hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmiz yang menceritakan suatu hari Nabi SAW duduk bersama para sahabat baginda. Tiba-tiba masuk seorang lelaki setelah selesai solat jemaah didirikan. Lalu baginda bersabda:

من يتصدق على هذا فيصلي معه ؟

Maksdunya: “Siapa yang hendak bersedekah kepada lelaki ini, dengan dia solat bersama dengannya.” – agar lelaki itu mendapat pahala jemaah –

Lalu salah seorang dari sahabat baginda bangun dan solat bersama lelaki tersebut. Hadith ini dengan jelas menunjukkan berlakunya solat jemaah kali kedua selepas selesainya jemaah bersama imam tetap yang dilantik.
 – tamat nukilan secara ringkas dari al-Syarh al-Mumti’ 4/227-231 –
Cetak
Wallahu a'lam