SDI 1379: Hukum Wanita Bermusafir Tanpa Mahram

Fiqh dan Usul Jumlah paparan: 549

Saturday, October 24, 2009

 
Ibn ‘Abbas RA meriwayatkan daripada Nabi SAW yang bersabda di dalam khutbah baginda:

‏لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ وَلَا يَدْخُلُ عَلَيْهَا رَجُلٌ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَخْرُجَ فِي جَيْشِ كَذَا وَكَذَا وَامْرَأَتِي تُرِيدُ الْحَجَّ فَقَالَ اخْرُجْ مَعَهَا

Maksudnya: “Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya.” Tiba-tiba seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang, dan isteri-ku pula hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu bersama isteri-mu (menunaikan haji).” (H.R. al-Bukhari. Bil: 1729)

Dari hadith ini dan hadith-hadith yang lain lagi, para ulama mengharamkan wanita keluar bersendirian bermusafir melainkan bersama suami ataupun mahram. Dalam pada itu, mereka berbeza pandangan tentang hukum wanita yang terpaksa bermusafir namun dia tidak mempunyai mahram yang boleh menemaninya.

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah dinyatakan:
اتفق الفقهاء على أنه يحرم على المرأة أن تسافر بمفردها، وأنه لا بد من وجود محرم أو زوج معها. لقول النبي صلى الله عليه وسلم: لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تسافر مسيرة يوم وليلة ليس معها حرمة. ولحديث ابن عباس رضي الله عنهما مرفوعاً: لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم، ولا يدخل عليها رجل إلا ومعها محرم، فقال رجل: يا رسول الله إني أريد أن أخرج في جيش كذا وكذا، وامرأتي تريد الحج، قال: اخرج معها. وأجاز المالكية والشافعية للمرأة أن تسافر للحج الواجب مع الرفقة المأمونة، وألحق المالكية بالحج سفرها الواجب، فيجوز لها أن تسافر مع الرفقة المأمونة من النساء الثقات في كل سفر يجب عليها

Maksudnya: “Para fuqaha’ bersepakat, haram hukumnya ke atas wanita bermusafir sendirian, hendaklah bersamanya mahram atau suaminya berdasarkan sabdaan Nabi S.A.W. (bermaksud): “Tidak dihalalkan bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari kiamat untuk dia bermusafir dalam jarak sehari semalam perjalanan tanpa mahram,” dan demikian juga berdasarkan hadith Ibn ‘Abbas R.A. secara marfu’ (bermaksud): ““Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya.” Tiba-tiba seorang lelaki dan bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang, dan isteri-ku pula hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu bersama isteri-mu (menunaikan haji).” Para ulama mazhab Maliki dan Syafie mengharuskan seorang wanita bermusafir untuk menunaikan haji yang wajib bersama kumpulan yang dipercayai (الرفقة المأمونة), dan ulama mazhab Maliki menyamakan permusafiran wajib yang lain dengan haji, maka harus bagi seorang wanita bermusafir bersama kumpulan yang dipercayai terdiri dari kalangan para wanita yang dipercayai dalam setiap permusafiran yang wajib ke atasnya.”

Dr. Yusuf al-Qaradhawi pula telah mengharuskan seorang wanita bermusafir tanpa mahram pada ketika suasana aman atau bersama dengan para wanita lain yang dipercayai.

Dr. Muhammad Sa’di di dalam fatwanya menyebut:

وعلى هذا فالأصل في المسألة رأي الجمهور، الذين ذهبوا إلى منع المرأة من السفر دون محرم، فإذا كانت المرأة ليست تحت ‏ضرورة ملجئة فعليها التخلي عن هذا السفر المؤدي إلى الوقوع في هذا المحظور.‏ أما إن كانت المرأة تحت ضرورة ملجئة وتحتاج لهذا العمل لنفع نفسها وبيتها وأسرتها، ولا تستطيع أن تتخلى عنها ، فيسعها قول من أجاز لها السفر دون محرم مشترطا عليها وجود الرفقة المأمونة ووجود الأمن وانتفاء الريب، وإلا حرم سفرها

Maksudnya: “Oleh itu, asal dalam permasaalahan ini ialah sepertimana pandangan majority ulama yang melarang wanita bermusafir tanpa mahram. Jika seseorang wanita itu tidak ada keperluan yang mendesak untuk bermusafir, maka hendaklah dia tidak melakukan musafir itu yang boleh menyebabkan dia terjebak dalam larangan ini. Adapun sekiranya seseorang wanita itu berada dalam keperluan yang mendesak, dan dia perlu bermusafir untuk kebaikan dirinya, rumah atau keluarganya, dan dia tidak dapat mengelak daripadanya, maka dia boleh mengambil pandangan ulama yang mengharuskan dia bermusafir tanpa mahram, dengan syarat bersamanya kumpulan yang dipercayai dan berada dalam keadaan yakin selamat. Jika tidak musafirnya itu adalah haram.” 
Cetak
Wallahu a'lam