SDI 1411: Hukum Darah Yang Dialami Wanita Hamil

Soalan:

> azmi hashim:

🔴 Assalamualaikum saya ingin bertanya mengenai darah wanita.. jika semasa mengandung kdg2 ada keluar tompok coklat ada kah perlu mandi wajib?

 

Jawapan:

Wujud perbezaan pendapat dalam kalangan ulama berkaitan darah yang keluar bagi seorang wanita yang sedang mengandung. Atau dengan kata lain, apakah seorang wanita yang sedang hamil boleh didatangi haid?

Para fuqaha dari mazhab Syafie berpandangan, wanita hamil boleh didatangi darah haid, jika darah itu datang dalam tempoh haid atau memiliki ciri-ciri darah haid dan syarat-syarat ia darah haid, maka ia dikira sebagai darah haid di sisi ulama mazhab Syafie.

Namun, ilmu moden hari ini membuktikan mustahil seorang wanita hamil boleh didatangi haid.

Kerana itu kita akan dapati, ulama semasa, sebagai contoh fatwa Jordan yang saya baca sendiri dan mereka bermazhab Syafie di dalam fatwa mereka, menyatakan sekalipun para ulama mazhab Syafie dahulu mengatakan wanita hamil boleh didatangi haid, akan tetapi kenyataan itu bertentangan dengan ilmu perubatan moden yang membuktikan wanita hamil tidak mungkin didatangi haid.

Oleh kerana itu pandangan yang lebih benar berdasarkan Fatwa Jordan, wanita hamil yang didatangi darah, atau cecair coklat, atau kekuningan atau kekeruhan, semuanya dihukum sebagai istihadhah bukan haid. Justeru dia wajib menunaikan solat dan semua kewajipan yang lain.


Cetak  
Wallahu a'lam