Tiada Di Kalangan Ulama Yang Taasub Mazhab

Fiqh dan Usul Jumlah paparan: 314

al-Syirazi kata, disunatkan bersiwak ini dalam tiga keadaan sahaja. Ini perkataan al-Syirazi. Lalu beliau menyenaraikan tiga perkara tersebut, iaitulah ketika hendak menunaikan solat, dalilnya telah kita bincangkan sebentar tadi. Ketika gigi menjadi kuning, juga telah kita bincangkan, dan ketika berubah bau mulut yang boleh berlaku disebabkan baru bangun dari tidur atau disebabkan al-Azm (الأَزْم) iaitulah melalui tempoh lama tidak menjamah makanan atau berdiam dalam tempoh yang lama.

al-Imam al-Nawawi memberi komentar dengan menyatakan perkataan al-Syirazi ini boleh memberi faham (يوهم) bersiwak itu hanya khusus disunatkan pada tiga keadaan ini sahaja. Namun hukum sebenar bukan sedemikian, bahkan ia sunat dalam semua keadaan.

Saya sebut perkataan al-Syirazi, saya sebut perkataan al-Imam al-Nawawi, seperti istidrak (استدراك) dari al-Nawawi atau saringan dari al-Nawawi kepada perkataan al-Syarazi dengan kata beliau: “Namun hukum sebenar bukan sedemikian.”

Apa tujuan saya nukilkan perkara ini? Iaitulah bagi menunjukkan, para ulama ni, dalam ilmu, mereka tidak taasub dengan sesiapapun. Sebutlah siapapun ulama itu, hatta ulama mazhab Syafie mutaakhirin, tak ada seorangpun di kalangan mereka yang taasub mazhab, tak ada! yang taasub kepada mazhab ini adalah orang awam. Adapun di kalangan ulama setakat pengetahuan saya, pembacaan dan semakan saya, tak ada mana-mana ulama yang taasub, hatta ulama Syafie, Hanafi dan lainnya hatta yang mutaakhirin. Tiada seorang di kalangan mereka yang taasub. Kalau kita tahu susunan kitab-kitab mazhab, kita akan tengak di kalangan ulama mutaakhirin mazhab, sesama mereka wujud bantah-membantah, jawab-menjawab. Kenapa perkara ini berlaku? jawabnya kerana mereka tidak taasub. al-Nawawi hidup pada tahun 600 lebih Hijriyyah. Beliau syarah kitab al-Muhazzab kerana melihat bernilai dan berharganya kitab al-Muhazzab ini, beliau syarah kitab tulisan ulama Syafie sebelumnya, syeikh kepada beliau. Tapi al-Nawawi kata perkataan al-Syirazi dalam perkara ini tidak tepat dan hukum bukan begitu. Maknanya berlaku bantahan. Tetapi hendaklah dengan adab.

Kita juga hendaklah begitu, kita berhak untuk tidak ambil mana-mana pandangan kalau jelas pada penemuan kita ada pandangan yang lebih kuat, tetapi hendaklah jaga adab dengan para ulama. Bukankah para ulama juga yang telah berkata: لحوم العلماء مسمومة “para ulama itu beracun maruah mereka” , jika kita calarkan maruah mereka, bimbang, kata para ulama, kita akan berdepan dengan su’ al-Khatimah, ancaman yang dahsyat itu, bimbang mati dalam keadaan buruk.

Oleh kerana itu, saya ketengahkan al-Imam al-Nawawi tidak bersetuju dengan al-Imam al-Syirazi, tetapi kena jaga adab. Kata al-Nawawi:   “Namun hukum sebenar bukan sedemikian, bahkan ia sunat dalam semua keadaan.”

Kemudian, Muhammad bin Qasim al-Ghazzi, beliau ini orang Ghazzah, Palestin, dalam Fath al-Qarib, meluaskan waktu dan keadaan ditekankan siwak dengan katanya: ويتأكد أيضا في غير الثلاثة المذكورة مما هو مذكور في المطولات، كقراءة القرآن، واصفرار الأسنان , yang bermaksud: “Dan ia (siwak) ditekankan juga pada selain dari tiga waktu yang dinyatakan, dari waktu-waktu yang disebut dalam kitab-kitab yang panjang membicarakannya seperti ketika hendak membaca al-Quran dan ketika gigi bewarna kuning.”

Saya percaya Syeikh Daud al-Fatoni ambil perkataan ini, iaitulah dari kitab Fath al-Qarib, beliau terjemahkan ke bahasa Melayu yang kita baca sekarang ini.

Kemudian al-Nawawi dalam al-Majmu’ menyebut waktu sunat muakkad bagi siwak ada lima, iaitulah (1) ketika hendak bangun menunaikan solat, sama ada solat fardhu ataupun sunat. (2) ketika gigi bewarna kuning, (3) ketika berwudhu, (4) ketika hendak membaca al-Quran, dan (5) ketika mulut berbau, sama ada disebabkan tidur atau memakan sesuatu yang berbau, disebabkan lama tidak makan dan minum atau disebabkan lama berdiam tanpa berkata-kata, ada juga yang mengatakan boleh berlaku kerana banyak berkata-kata.

Cetak
Wallahu a'lam