Soalan:
Assalamualaikum Ustaz.maaf mesej personal. nak bertanya, apa hukum percikan titisan air aircond yg jatuh dari celah bangunan?biasa ada salur pipe untuk air tu jatuh. adakah pakaian dikira najis jika terkena air tersebut? saya terfikir mungkin air tu mengalir dari kesan najis cicak. terima kasih ustaz.
Jawapan:
Air titisan dari aircond tidak najis. Asal hukum perkara yang tidak najis adalah kekal kesuciannya melainkan setelah terbukti ia najis.
Anda dinasihatkan supaya jangan terikut-ikut dengan andaian² sebegitu yang akan menyebabkan anda terkena penyakit was² yang lebih parah. Ibn al-Qayyim dalam Ighathah al-Lahfan 1/280 berkata:
ومرّ عمر بن الخطاب رضي الله عنه يومًا، فسقط عليه شيء من ميزاب، ومعه صاحب له، فقال: يا صاحب الميزاب! ماؤك طاهر أو نجس؟ فقال عمر: يا صاحب الميزاب! لا تخبرنا، ومضى.
Maksudnya: "Pada suatu hari, Umar bin al-Khattab RA pernah melalui satu tempat. Terdapat air yang menitis dari corong sebuah rumah. Bersama dengan beliau ketika itu seorang sahabatnya. Lalu sahabat beliau berkata: “Wahai pemilik (rumah) corong ini, air yang menitis ini suci atau najis?" Kata Umar bin al-Khattab: "Wahai pemilik (rumah) corong, tidak perlu kamu khabarkan kepada kami. Lalu beliau beredar meneruskan perjalanannya."
Kisah ini ada disebut oleh Ibn Taimiyyah di beberapa tempat dalam Majmu' al-Fatawa antaranya 21/57, 521 dan 607. Beliau tidak menyatakan sumbernya. Namun pada jilid 22/184 beliau berkata: قد ثبت عن عمر أنه مرّ هو وصاحب له Maksudnya: "Telah sabit daripada Umar bin al-Khattab yang pernah melalui satu kawasan bersama sahabatnya.." seterusnya Ibn Taimiiyyah RH menyebut kisah ini.
Dalam riwayat daripada Yahya bin ‘Abd al-Rahman bin Hatib RH:
إِنَّ عُمَرَ خَرَجَ فِي رَكْبٍ فِيهِمْ عَمْرُو بْنُ الْعَاصِ حَتَّى وَرَدُوا حَوْضًا. فَقَالَ عَمْرُو: يَا صَاحِبَ الْحَوْضِ، هَلْ تَرِدُ حَوْضَكَ السِّبَاعُ؟ قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رضي الله عنه: يَا صَاحِبَ الْحَوْضِ، لَا تُخْبِرْنَا، فَإِنَّا نَرِدُ عَلَى السِّبَاعِ وَتَرِدُ عَلَيْنَا
Maksudnya: “’Umar (RA) pernah keluar bersama kumpulan berkenderaan (bermusafir). Dalam kalangan mereka juga terdapat ‘Amr bin al-‘Ash. Lalu mereka singgah di sebuah tempat takungan air. Kata ‘Amr bin al-‘Ash: “Wahai pemilik takungan air ini. Apakah ada haiwan buas yang datang meminum air di takungan ini?” (dengan segera) ‘Umar berkata: “Wahai pemilik kawasan takungan air ini, jangan kamu beritahu kepada kami (apa yang ditanyakan tadi). Sesungguhnya kita mengambil manfaat dari air selepas haiwan buas tersebut mengambil manfaat darinya, binatang buas itu juga mengambil manfaat dari air selepas kita menggunakannya.”
Athar ini diriwayatkan oleh al-Imam Malik dalam al-Muwattha’, ‘Abd al-Razzaq dalam Musannafnya, al-Daraqutni dan al-Baihaqi dalam Sunan mereka berdua. Al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ menyatakan isnad athar ini sahih sehingga kepada Yahya bin Abdul Rahman. Akan tetapi ia mursal munqati’, kerana Yahya ini sekalipun seorang yang thiqah, namun beliau tidak sempat berjumpa dengan ‘Umar RA, kerana beliau dilahirkan di zaman pemerintahan ‘Uthman RA. Inilah yang benar. Athar ini juga memiliki beberapa bukti (syawahid) sokongan yang boleh menjadikan ia kuat. Riwayat al-Mursal seperti ini di sisi (al-Imam) al-Syafi‘e yang memiliki bukti sokongan, boleh dijadikan hujah.