SDI 1892: Maksud Kaedah "Sesuatu dalil yang dimasuki oleh kemungkinan menjadi batal dengannya istidlal"

Fiqh dan Usul Jumlah paparan: 56

Soalan:

Mohon penjelasan tentang kaedah: ما تطرق إليه الاحتمال بطل به الاستدلال (Sesuatu dalil yang dimasuki kemungkinan menjadi batal dengannya istidlal) berserta contoh.

Jawapan:

Makna kaedah ini – wallāhu a‘lam – ialah; Setiap dalil yang memiliki kemungkinan (ihtimāl) sama ada dari sudut kethabitannya (tsubūt) – yakni terdapat juga kemungkinan dalil itu tidak sahih – atau dari sudut ihtimal dalalahnya terhadap isu yang dibahaskan kerana dalil itu boleh ditafsirkan dengan lebih dari satu makna, maka dalil sebegini tidak boleh dijadikan hujah ke atas pihak yang berbeza pendapat, dan tidak boleh dijadikan sandaran bahawa ia merupakan nas yang tegas dalam sesuatu masalah.

Pengarang Anwār al-Burūq berkata:

الدليل من كَلَامِ صَاحِبِ الشَّرْعِ إذَا اسْتَوَتْ فِيهِ الِاحْتِمَالَاتُ وَلَمْ يَتَرَجَّحْ أَحَدُهَا سَقَطَ بِهِ الِاسْتِدْلَال. وليس معنى سقط به الاستدلال أنه يترك الاستدلال به بالكلية، أو أنه لا يستدل به على حكم آخر.. ولكن مرادهم أنه ليس حجة على المخالف، ولهذا قال بعضهم: والمراد بسقوط الاستدلال به، أي على تعيين ذلك الوجه المراد الاستدلال به من الدليل، لا أن الاستدلال بالدليل يسقط جملة وتفصيلا. وقالوا: الدليل إذا تطرق إليه الاحتمال سقط به الاستدلال، مرادهم بذلك الاحتمال القوي الذي احتفت به القرائن واعتضد بالاعتبارات.. لا بأي احتمال، لأنه ما من دليل إلا ويتطرق إليه الاحتمال، ولو فتح باب الاحتمال لم يبق شيء من الأدلة إلا وسقط الاستدلال به بدعوى تطرق الاحتمال إليه.

“Dalil daripada kalam pembuat syariat (yakni Allah atau Rasul-Nya) apabila padanya terdapat beberapa kemungkinan yang seimbang tanpa ada satu pun yang lebih kuat, maka gugurlah istidlal dengannya.” Namun, maksud “gugurlah istidlal dengannya” bukanlah bermakna beristidlal dengannya ditinggalkan sepenuhnya atau tidak boleh digunakan langsung untuk menunjukkan hukum lain… tetapi maksudnya ialah ia tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak pihak yang berbeza. Sebab itu sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksudkan dengan gugurnya istidlal ialah gugurnya istidlal terhadap makna tertentu yang ingin ditetapkan daripada dalil itu, bukan bermakna dalil tersebut tidak boleh digunakan langsung secara keseluruhan.” Mereka juga menjelaskan; Apabila dikatakan: “Dalil yang dimasuki oleh kemungkinan maka batal istidlal dengannya”, yang dimaksudkan ialah kemungkinan yang kuat, iaitu yang disokong oleh petunjuk (qarā’in) dan dikuatkan dengan sandaran yang kukuh (i‘tibārāt)… bukan apa sahaja kemungkinan, kerana tiada satu dalil pun yang terlepas daripada sebarang bentuk kemungkinan. Jika pintu kemungkinan dibuka tanpa batas, tiada satu pun dalil yang akan kekal sebagai hujah, kerana semuanya boleh digugurkan dengan dakwaan “ada kemungkinan lain”.

Contoh-contoh daripada nas al-Quran dan hadis banyak yang menunjukkan hal ini, dan tahap kemungkinan serta kekuatan dalil berbeza-beza antara satu sama lain. Antara contohnya, firman Allah Ta‘ala:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

“Dan wanita-wanita yang diceraikan hendaklah menahan diri (beriddah) selama tiga kali quru’.”

Ayat ini menjadi contoh kerana perkataan “quru’” mempunyai dua kemungkinan makna: haid atau suci, maka ia termasuk dalam dalil yang terdapat padanya ihtimāl. Maka pihak yang berpandangan quru’ bermaksud haid, tidak boleh menjadikan ayat ini hujah untuk mengatakan pandangan lain sebagai salah atau tidak tepat.

Begitu juga sabda Nabi :

البيِّعان بالخيار ما لم يفترقا أو حتى يفترقا

“Dua orang yang berjual beli masih mempunyai hak khiyar (pilihan meneruskan atau membatalkan jual beli) selagi mereka belum berpisah atau hingga mereka berpisah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.)

Lihat al-Istidhkār oleh Ibn ‘Abd al-Barr dan kitab-kitab lain untuk bacaan lanjut berkaitan ihtimal yang boleh berlaku pada hadis ini.

Cetak
Wallahu a'lam