SDI 0403: Dahulu Tak Solat, Benarkah Nak Kena Qadha Semua Waktu?

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 2784

Soalan:

Assalam ustaz. Mohon pencerahan usaz bagaimana cara untuk qada balik solat yg banyak ditinggalkan? Ada dalam satu video ustaz .... , beliau menyarankan untuk qada satu waktu selepas setiap solat fardhu, dan pada waktu malam dijamakkan semua 5waktu dalam satu masa.

[1] Bagaimana cara untuk jamak 5waktu?

[2] Bagaimana pula dgn wudhu? Perlukah diperbaharui setiap 2kali solat qadha?

Terima kasih ustaz

Jawapan:

Wa'alaikumussalam Warahmatullah wabarakatuh.

Para ulama berbeza pandangan tentang orang yang meninggalkan solat dengan sengaja. Apakah dia wajib qadha semula semua solat yang ditinggalkan dengan sengaja itu atau dia hanya perlu bertaubat dan memperbanyakkan amalan soleh yang lain. Di bawah ini saya buatkan huraian ringkas:

[1] Majoriti atau kebanyakan ulama berpandangan wajib ke atas sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja mengqadhakan semua solat yang ditinggalkannya tersebut. Dalil mereka ialah hadis Nabi SAW:

“Sesiapa terlupa atau tertidur dari menunaikan sesuatu solat, maka kaffarahnya hendaklah dia menunaikannya apabila mengingatinya.” (al-Bukhari dan Muslim)

Dari hadis ini, majority ulama berkata:

“Hadis ini menunjukkan wajib qadha solat bagi sesiapa yang terlupa, maka orang yang sengaja meninggalkan solat adalah lebih utama untuk diwajibkan qadha.” Selain itu terjemahan hadis: "Sesiapa yang terlupa..." juga boleh difahami sesiapa yang tidak mempedulikan atau tidak mengendahkan. Kerana terdapat firman Allah "mereka melupakan Allah, maka Allah melupakan mereka," semestinya membawa maksud Allah tidak mengendahkan mereka." 

[2] Minoriti ulama termasuk Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Abu Muhammad Ibn Hazm dan sebahagian Ashab al-Syafie (para sahabat Imam Syafie) berpandangan solat yang ditinggalkan dengan sengaja tidak wajib diqadha.

Bahkan jika dilakukan atau diqadha, ia tidak diterima dan tidak sah, kerana ia ditunaikan bukan dalam waktu yang telah ditetapkan. Ini kerana solat tersebut ditinggalkan tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan oleh agama. Justeru solat tersebut tidak diterima.

Ulama dari golongan kedua ini berhujah bahawa perintah yang ada dalam persoalan solat ialah perintah menunaikannya secara tunai atau dalam waktunya, tiada sebarang perintah untuk dilaksanakan secara qadha atau di luar waktu.

Oleh itu qadha solat yang ditinggalkan dengan sengaja memerlukan perintah dari Allah SWT atau Rasul SAW. Malangnya perintah itu tiada. Maka setiap ibadah yang tiada perintah dari Allah dan Rasul adalah tertolak dan tidak diterima.

Hadis yang dijadikan hujah oleh majoriti ulama adalah kepada mereka yang sememangnya memiliki niat dan keazaman untuk menunaikan solat, cumanya mereka terlupa atau tertidur. Ia berbeza dengan mereka yang sememangnya tiada niat dan tiada kehendak menunaikan solat ketika waktunya datang.

Selain itu, mewajibkan qadha solat yang ditinggalkan adalah suatu bebanan kepada mereka yang hendak bertaubat.

Oleh yang demikian, pandangan yang lebih kuat dalam masalah ini ialah pandangan yang kedua, iaitu tidak wajib mengqadha solat-solat yang ditinggalkan pada waktu dahulu. Sebaliknya sesiapa yang pernah meninggalkan solat dengan sengaja, sedikit mahupun banyak hendaklah segera bertaubat bersungguh-sungguh dan memperbanyakkan amalan saleh yang lain. Sesungguhnya Allah menerima segala taubat dari pada hamba-Nya yang bersungguh-sungguh. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla melontarkan pandangan yang menarik dalam masalah ini, secara ringkasnya beliau menyatakan:

1. Siapa yang sengaja meninggalkan solat sehingga keluar waktunya, maka dia tidak akan mampu mengqadhanya buat selama-lamanya. Oleh itu perbanyakkanlah amal kebaikan dan solat sunat agar dapat memberatkan timbangan pahalanya di akhirat kelak, dan hendaklah dia bertaubat dan beristighfar kepada Allah ‘Azza wa Jall.

2. Bukti benarnya pandangan ini ialah berdasarkan firman Allah SWT:

“Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu mereka yang lalai dari solat mereka.” (al-Ma'aun:4-5)

Demikian juga firman-Nya:

“Maka datang sesudah mereka golongan yang mengabaikan solat, dan menurut hawa nafsu, kelak nanti mereka akan dihimpunkan di dalam neraka.” (Maryam 59).

Jika orang yang sengaja meninggalkan solat masih berpeluang memperolehi solat yang ditinggalkannya dengan sengaja itu atau masih lagi dapat menunaikannya sekalipun telah keluar dari waktunya, maka tiadalah kecelakaan (wail), tiada juga neraka untuknya.

3. Allah SWT telah menjadikan untuk setiap solat fardhu itu waktu yang telah ditetapkan mula dan akhirnya. Sepertimana ibadat haji tidak diterima jika dilakukan di luar waktunya. Puasa juga tidak diterima jika dilakukan bukan pada siang hari Ramadhan. Maka bagaimana boleh solat ditunaikan luar waktunya? Semua ibadat ini memiliki waktu yang telah ditetapkan, awal dan akhirnya, waktu-waktu ini tidak akan terpisah dari ibadat-ibadah tersebut.

4. Dalam hadis, baginda SAW telah nyatakan:

“Siapa yang terlepas darinya solat ‘Asar, maka dia seperti telah hilang keluarga dan hartanya.”

Baginda juga telah nyatakan bahawa ssiapa yang terlepas dari mana-mana solat, tiada jalan lagi untuk dia mendapatinya semula. Kerana itu para ulama telah bersepakat sesiapa yang terlepas dengan sengaja sesuatu solat dari waktunya, dia tidak akan dapat semula solat tersebut. Jika masih boleh dilakukan atau diqadha, maka ini bermakna hadis nabi dan ijma’ ulama tersebut adalah suatu pendustaan dan pembohongan.

5. Pandangan ini juga merupakan pandangan ‘Omar bin al-Khattab, ‘Abdullah bin ‘Umar al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Salman, Ibn Mas’ud, al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr, Badil al-Uqaili, Muhammad bin Sirin, Mutarraf bin ‘Abdillah, Umar bin ‘Abdul Aziz dan lainnya. (Lihat al-Muhalla bi alAthar oleh ‘Ali bin Ahmad bin Sa’id bin Hazm. Dar al-Fikr – Mas’alah Ta’ammud Tark al-Solah Hatta Kharaj Waqtuha

Cetak
Wallahu a'lam