SDI 0858: Bila Mula Takbir Solat Raya?

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 744

Soalan: 

Ustaz, sepatutnya bila dimulakan takbir-takbir dlm solat raya, lepas takbiratul ihram terus angkat takbir atau mcamana? Ada yg saya dengar kata sebaik shj kepas takbiratul ihram terus takbir betukker?

Jawapan:

Sememangnya terdapat 3 pandangan ulama dalam masalah ini, ringkasnya seperti berikut:

Pandangan pertama: takbir-takbir tersebut dilakukan selepas doa iftitah dan sebelum membaca isti'azah. Inilah pandangan mazhab Hanafi (Hasyiah Ibn 'Abidin 2/127), mazhab Syafi'ie (alUmm 1/395) dan satu riwayat dari Ahmad (Syarh alZarkashi 2/223)

Alasan: Doa iftitah disyariatkan di bahagian awal solat, maka takbir-takbir solat hari raya hendaklah dilakukan selepasnya dan sebelum memulakan taawwudz dan membaca alFatihah.

Kata alNawawi RH: "mazhab kami (alSyafi'ie), takbir-takbir tambahan berada di antara doa iftitah dan alTa'awwudz." (alMajmu' 5/20). Dalam alAzkar beliau berkata: "takbir pada rakaat pertama berada di antara doa iftitah dan alTa'awwudz. Rakaat kedua pula sebelum alTa'awwudz." (alAzkar 202). Pandangan ini dipilih juga oleh ulama dari mazhab lain seperti alSarkhasyi di dalam alMabsuth 2/42.

Pandangan kedua: Sebelum doa iftitah. Caranya selepas takbiratul ihram, terus melakukan takbir-takbir solat raya. Setelah itu baru membaca doa iftitah kemudiannya berta'awwudz dan membaca alFatihah. Inilah salah satu riwayat dari pandangan Imam Ahmad.

Alasan: Doa iftitah sepatutnya disusuli selepasnya isti'azah dan alFatihah.

Pandangan ketiga: Boleh pilih sama ada pandangan pertama atau kedua. Pandangan ini juga berdasarkan riwayat dari Imam Ahmad menurut yang diriwayatkan oleh alMardawi (alInsaf 5/341)

Kesimpulan: Tiada dalil yang jelas dari Nabi SAW dalam hal ini. Menunjukkan ia termasuk dalam perkara yang ada keluasan. Justeru makmum hendaklah mengikut imam, apabila imam bertakbir, maka makmum juga bertakbir.

Cetak
Wallahu a'lam