Zakat fitrah WAJIB sekalipun ke atas orang miskin.

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 460
 
Abu Hurairah RA meriwayatkan:
 
"(Wajib zakat fitrah) ke atas orang yang merdeka mahupun hamba, lelaki mahupun perempuan, kecil mahupun besar, faqir mahupun kaya..." (riwayat Ahmad, alBukhari dan Muslim, juga alNasa'ie)
 
Kata alQaradhawi: "Ini adalah perkataan Abu Hurairah, akan tetapi hal seumpama ini tidak diucapkan hanya berdasarkan pandangan." (Fiqh alZakah 924)
 
Majoriti ulama tidak mensyaratkan nisab bagi zakat fitrah melainkan hanya Islam dan memiliki lebihan dari keperluan makanan asas yang cukup pada malam dan siang hari raya untuk dia dan mereka yang wajib nafkah di bawah tanggungjawabnya. Demikian juga lebihan dari keperluan asasnya yang lain seperti keperluan untuk tempat tinggal, peralatan rumah dan hajat-hajat asas yang lain.
 
Kata alImam alSyaukani RH:
 
"Inilah pandangan yang benar. Ini kerana nas-nas telah mengitlaqkan tanpa mengkhususkan yang kaya sahaja tanpa yang faqir. Maka tiada ruang untuk berijtihad bagi menentukan kadar yang dikira sesiapa memilikinya dia wajib mengekuarkan zakat fitrah. Terutamanya apabila illah (sebab) disyariatkan zakat fitrah ada pada orang yang kaya mahupun yang miskin iaitulah membersihkan diri dari perbuatan sia-sia dan kotor (ketika berpuasa). Maka mesti mengambilkira seseorang yang memiliki makanan asasi untuk malam dan siang hari raya (bagi mewajibkannya zakat fitr). Ini kerana maksud atau tujuan syarak dari (mewajibkan) fitrah (zakat fitrah) adalah memberi kecukupan kepada orang faqir pada hari raya... jika tidak diambil kira hal tersebut bagi yang wajib mengeluarkan zakat fitrah, maka sudah tentu orang tersebut (yang tidak memiliki lebihan makanan asas pada malam dan siang hari raya dan keperluan asasnya) termasuk dalam kalangan mereka yang disuruh oleh syarak kepada kita untuk memberi kecukupan kepadanya pada hari raya, dan dia bukan orang yang disuruh mengeluarkan zakat fitrah untuk memberi kecukupan kepada orang lain." (Nail alAwtor 4/186)
 
Kata Dr. Yusuf alQaradhawi:
 
والذي أراه أن للشارع هدفاً أخلاقياً تربوياً – وراء الهدف المالي – من فرض هذه الزكاة على كل مسلم غني أو فقير ذلك هو تدريب المسلم على الإنفاق في الضراء كما ينفق في السراء والبذل في العسر كما يبذل في اليسر ومن صفات المتقين التي ذكرها القرآن أنهم (الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وبهذا يتعلم المسلم وإن كان فقير المال رقيق الحال أن تكون يده هي العليا وأن يذوق لذة الإعطاء والإفضال على غيره ولو كان ذلك يوماً في كل عام . ولهذا أرجح مذهب الجمهور الذين لم يشترطوا لوجوب هذه الزكاة ملك النصاب
 
Maksudnya: "yang aku dapat lihat bahawa syariat memiliki tujuan bersifat akhlak dan pendidikan di sebalik kefardhuan zakat ini ke atas setiap muslim sama ada kaya mahupun faqir. Iaitulah memberi latihan kepada setiap muslim untuk mengeluarkan infaq ketika susah sepertimana ketika senang, demikian juga mencurahkan bantuan ketika susah sepertimana ketika senang. Termasuk dalam sifat orang-orang yang bertaqwa yang disebut di dalam al-Quran iaitulah: "mereka yang mengeluarkan infaq ketika senang mahupun susah. Dengan cara ini seseorang muslim akan belajar sekalipun jika dia seorang faqir, namun dia berusaha menjadi orang yang tangannya di atas (pemberi) dan merasai kelazatan memberi dan mencurahkan lebihan kepada orang lain sekalipun pada hari raya sahaja dalam setahun. Kerana itu aku mentarrjihkan mazhab majoriti ulama yang tidak mensyaratkan memiliki nisab untuk wajib zakat fitrah."
Cetak
Wallahu a'lam