Terjemahan Matn Abi Syuja': Fasal Berkaitan Dengan Siwak

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 596

Fasal Berkaitan Dengan Siwak

فصل

" والسواك مستحب في كل حال إلا بعد الزوال للصائم وهو في ثلاثة مواضع أشد استحبابا: عند تغير الفم من أزم وغيره وعند القيام من النوم وعند القيام إلى الصلاة.

Fasl

Bersiwak itu adalah sunat pada setiap keadaan melainkan selepas waktu zawal bagi seorang yang berpuasa. Bersiwak itu pula pada tiga tempat lebih bersangatan digalakkan iaitulah: ketika berubah bau mulut dari sebab tidak menjamah makanan dan selainnya, bangun dari tidur dan apabila hendak menunaikan solat.

Huraian

لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnya: “Kalaulah tidak menjadi kesulitan ke atas umatku, sudah tentu daku akan menyuruh mereka bersiwak setiap kali hendak menunaikan solat.” (al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat lain baginda bersabda: مع كل وضوء iaitulah “bersama setiap kali berwudhu.” (al-Bukhari dan Muslim)

            Baginda juga bersabda:

السِّواكُ مَطهَرةٌ للفمِ مَرضاةٌ للرَّبِّ

Maksudnya:   “Bersiwak itu mensucikan mulut dan menjadikan Allah redha.” (al-Nasa-ie dan Ibn Hibban. Dinilai isnadnya sebagai baik (jayyid) oleh al-Arna-outh di dalam Takhrij Sahih Ibn Hibban dan Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Nasa-ie.)

Hukum Bersiwak

Ulama mazhab Syafi’ie berbeza pandangan tentang tempat sebenar untuk bersiwak bagi perbuatan wudhu dan mandi. al-Ramli berpandangan kedudukan siwak adalah sebelum membasuk kedua-dua telapak tangan, dan siwak ini memerlukan  niat melakukannya kerana sunnah untuk berwudhu dan mandi. Manakala di sisi Ibn Hajar al-Haitami, kedudukan bersiwak adalah selepas membasuh kedua-dua telapak tangan dan tidak memerlukan niat.[6]

Cara Memegang Siwak

Meletakkan jari kelinking (jari kecil) di bawah kayu siwak, jari manis, jari tengah dan jari telunjuk pula di atas kayu siwak. Manakala jari ibu diletakkan di bawah kayu siwak berhampiran dengan sabutnya.[7]

Alat Bersiwak Yang Lebih Afdhal

Para fuqaha sepakat bersiwak hendaklah dari akar yang lembut, dapat menghilangkan kotoran mulut, tidak melukakan dan tidak mendatangkan mudharat. Mereka berbeza pandangan akar apa yang lebih afdhal. Majoriti ulama berpandangan yang lebih afdhal ialah dengan kayu Arak (الأراك). Inilah juga pandangan fuqaha mazhab Syafi‘ie[8]. Dalil mereka antaranya daripada hadis ‘Abdullah bin Mas‘ud RA yang pernah menghimpunkan kaya arak untuk dibuat kayu siwak. Beliau seorang yang memiliki dua betis yang kecil. Apabila angin meniup kainnya sehingga menampakkan dua betisnya yang kecil itu, menyebabkan para sahabat tertawa. Lalu baginda bertanya: “Apakah yang menyebabkan kamu semua ketawa?” mereka menjawab: “Wahai Nabi Allah, (kami ketawa) dari sebab kecil dan halusnya dua betis beliau.” Sabda Nabi SAW:

والذي نفسي بيده، لهما أثقلُ في الميزان من أحد

Maksudnya: “Demi jiwaku yang berada dalam genggaman-Nya, benar-benar dua betis beliau yang kecil itu adalah lebih berat timbangannya berbanding bukit Uhud.” (Dinilai Sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi)

---------------------------------------- 

[1] Al-Taqrirat al-Sadidah 74

[2] Hukum sunat bersiwak ini adalah pandangan majoriti ulama termasuk ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syaf’ie dan Hambali. Beberapa ulama mendakwa telah berlaku ijmak di kalangan ulama akan sunatnya bersiwak. Kata Ibn Hazm RH: اتَّفقوا أنَّ السِّواكَ لِغَيرِ الصَّائمِ حَسَنٌ maksudnya: “dan para ulama telah bersepakat, bahawa bersiwak bagi orang yang tidak  berpuasa adalah suatu yang baik.” (Maratib al-Ijmak 165). Ibn ‘Abd al-Barr pula berkata: فَضلُ السِّواكِ مُجتمَعٌ عليه، لا اختلافَ فيه maksudnya: “Kelebihan bersiwak adalah suatu yang disepakati, tiada perbezaan pendapat ulama tentangnya.” (al-Tamhid: 7/200)

            Namun ternyata terdapat dakwaan yang berbeza, seperti kata Ibn Qudamah RH: أكثَرُ أهلِ العلمِ يَرَونَ السِّواكَ سُنَّةً غيرَ واجبٍ، ولا نعلَمُ أحدًا قال بوجوبِه إلَّا إسحاقَ وداودَ maksudnya: “Kebanyakan ulama berpandangan bersiwak adalah sunnah bukan wajib. Tidak kami ketahui seseorang yang mengatakan wajib melainkan Ishak dan Daud.” (al-Mughniy 1/71). Kata al-Nawawi RH:

عن إسحاقَ بنِ راهَوَيهِ أنَّه قال: هو واجِبٌ؛ فإنْ ترَكه عَمدًا بطَلَت صَلاتُه، وقد أنكَرَ أصحابُنا المتأخِّرونَ على الشَّيخ أبي حامد وغيرِه نقْلَ الوُجوبِ عن داود، وقالوا مذهبه: أنَّه سُنَّة كالجماعةِ، ولو صحَّ إيجابُه عن داود لم تضرَّ مخالَفَتُه في انعقادِ الإجماعِ على المختارِ الذي عليه المحقِّقون والأكثرونَ، وأمَّا إسحاق فلم يصحَّ هذا المحكيُّ عنه

maksudnya: “Daripada Ishak bin Rahawiah yang berkata: “(Bersiwak) ianya wajib, jika ditinggalkan dengan sengaja, batal solat (yang didirikan tanpa bersiwak). Namun para sahabat kami mutaakkhirin (mazhab Syafi’ie) telah mengingkari al-Syeikh Abu Hamid dan selainnya yang menukilkan hukum wajib bersiwak dari Daud. Mereka (ashab mazhab SYafi’ie) mengatakan mazhabnya (Daud) bersiwak adalah sunat sama seperti solat jemaah. Jika diandaikan benar beliau mewajibkan bersiwak, perbezaan pandangannya tidak memberi kesan kepada ijmak berdasarkan pandangan yang terpilih para muhaqqin dan kebanyakan mereka. Adapun Ishak, tidak benar penghikayatan pandangan ini dari beliau.” (Syarah Sahih Muslim 3/142)

[3] Berdasarkan hadis ‘Aisyah RA yang pernah ditanya:

بأي شيء يبدأ رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا دخل بيته ، قالت : " كان إذا دخل بيته بدأ بالسواك

Maksudnya: “Apakah yang mula dilakukan oleh Rasulullah SAW apabila baginda masuk ke dalam rumah?” ’Aisyah menjawab: “Baginda apabila masuk ke dalam rumah akan bersiwak terlebih dahulu.” (Muslim)

[4] Berdasarkan hadis Huzaifah bin al-Yaman RA yang berkata:

كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا قام من الليل يشوص فاه بالسواك

Maksudnya:  “Baginda Nabi SAW apabila bangun dari tidur malam akan membersihkan mulut dengan siwak.” (al-Bukhari dan Muslim)

[5] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah 75

[6] alTaqrirat al-Sadidah 76

[7] Al-Taqrirat al-Sadidah 77

[8] Kata al-Imam al-Nawawi RH:

قال أصحابنا: يستحب أن يكون السواك بعود، وأن يكون العود من أراك. قال الشيخ نصر المقدسي: الأراك أولى من غيره، ثم بعده النخيل أولى من غيره

Maksudnya: “Kata para sahabat kami; Digalakkan siwak itu daripada akar danakar arak. Kata al-Syeikh Nasr al-Maqdisi: al-Arak lebih utama dari selainnya, kemudian dari pohon kurma adalah lebih utama dari selainnya.” (al-Majmu’: 1/336)

            Kata al-Ramli:

ويحصل السواك بكل خشن مزيل، لكن العود أولى، والأراك منه أولى

Maksudnya:  “dan berhasil siwak dengan setiap yang kesat yang dapat menghilangkan kotoran. Akan tetapi dengan akar adalah lebih utama. Dan akar arak adalah lebih utama (berbanding akar lain).” (Lihat Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-Khatib 1/123)

Cetak
Wallahu a'lam