Terima Darah Membatalkan Puasa Atau Tidak?

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 1413

Soalan:

Kalau Kita kena tambah darah bataltak puasa Kita. Satu lagi Kita kena puasa dulu Tak Dan Masa nak tambah darah tu baru Buka puasa

Ni bagi kes penyakit anemia iaitu kurang darah dalam badan

Sefaham saya batal, sebab memasukkan darah bagi kes ni akan menambahkan kekuatan kepada si penerima kan?

Adakah pesakit perlu niat puasa dan berpuasa dahulu esok hari jika prosedur tambah darah tersebut dilakukan pada waktu petang?

Jika soheh batal, bagaimana pula kaedah ganti puasa? wajib qada dan fidyah ke?

Jawapan:

Tambah darah tidak membatalkan puasa. Inilah pandangan al-Syeikh Ibn ‘Uthaimin, al-Syeikh Dr. Khalid al-Muslih dan fatwa dari Dar al-Ifta’ al-Misriyyah kerana menerima darah bukan makan dan minum. Ia juga tidak memiliki makna makan dan minum. Memberi kekuatan dan kesegaran pada badan termasuk dalam salah satu tujuan dari makan dan minum. Memperolehi tujuan makan dan minum melalui jalan selain dari makan dan minum tidak membatalkan puasa. Demikian juga atas alasan hukum asal, iaitulah puasa kekal sah sehinggalah jelas berlaku sesuatu perkara yang membatalkannya. Pengambilan darah suatu yang tidak pasti apakah ia membatalkan puasa ataupun tidak, maka kesahan puasa yang pasti tidak boleh dirungkaikan dengan sesuatu yang tidak pasti.

Ibn ‘Uthaimin RH di peringkat awal berpandangan menerima darah membaralkan puasa. Namun pandangan terakhir belian mengatakan tidak membatalkan puasa. Kata beliau:

كنتُ أرى أنه يفطر، وأقول: (إذا كان الطعام والشراب مفطراً فإنه يتحول إلى دم فالدم هو لبابة الطعام والشراب فهو يفطر مثلها)، ثم بدا لي أنه لا يفطر؛ لأنه وإن أعطى البدن قوة لكن لا يغنيه عن الطعام والشراب وليس من حقنا أن نلحق فرعاً بأصل لا يساويه

Maksudnya: “Daku sebelum ini berpandangan (menerima darah) membatalkan puasa. Daku berpandangan “apabila makan dan minum membatalkan, kerana makanan dan minuman itu akan berubah menjadi jadi darah, maka darah adalah lubabah makan dan minum, maka mengambil darah membatalkan puasa sama seperti makan dan minum. Namun setelah itu jelas kepadaku bahawa ia (meneriman darah) tidak membatalkan puasa, sekalipun ia memberi kekuatan kepada badan akan tetapi ia masih memerlukan makan dan minum, maka kita tidak boleh samakan perkara cabang (menerima darah) dengan perkara asas (makan dan minum), kedua-duanya tidak sama.” (al-Majmu‘ah al-Thamin Min Fiqh wa Durus wa Fatawa Ramadhan li al-‘Allamah Ibn ‘Uthaimin, hal. 74)

Inilah pandangan sebahagian ulama. Namun sebahagian lain berpandangan membatalkan puasa.

Isu-isu seperti ini, saya berpandangan jika berpegang dengan pandangan yang mengatakan batal, ia lebih berhati-hati. Jika berpegang dengan pandangan yang mengatakan tidak batal, insya-Allah sesiapa yang berpegang dengan pandangan ini masih di bawah bimbingan ulama Islam.

Pandangan saya, pada tarikh temu-janji itu, niat puasa seperti biasa setelah itu jika berpegang dengan pandangan yang mengatakan batal puasa dengan menerima darah, maka puasa terbatal dengan melakukan proses tersebut.

Apa yang perlu dilakukan dengan puasa tersebut?

Jawapannya iailah jika pesakit dari kalangan orang yang masih mampu berpuasa wajib qadha puasa di luar Ramadan tidak boleh bertukar kepada fidyah. Namun jika pesakit dari kalangan yang sememangnya tidak mampu berpuasa, maka keluarkan fidyah satu hari bersamaan satu mud atau satu cupak beras atau nilai satu hidangan menurut perbezaan ijtihad ulama di negeri masing-masing.  

Cetak
Wallahu a'lam