Tidak Sah Zakat Fitrah Dari Seorang Bapa Untuk Anaknya Yang Baligh Dan Mampu Melainkan Dengan Keizinan Sianak

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 597

Seseorang wajib mengeluarkan zakat ke atas dirinya dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya seperti isteri, anak-anak yang masih kecil dan tidak memiliki harta, anak dewasa yang gila yang juga tidak memiliki harta.

Tidak boleh seseorang mengeluarkan zakat fitrah untuk orang lain yang bukan di bawah tanggungjawab nafkah darinya seperti seorang anak yang memiliki pendapatan sendiri atau yang telah mampu berusaha mendapatkan rezeki sendiri, kerana pada ketika ini seseorang tersebut wajib keluarkan zakat untuk dirinya sendiri.

Jika sibapa masih mahu mengeluarkan zakat untuk anaknya yang dewasa dan memiliki pendapatan sendiri yang mencukupi untuk dirinya itu, hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran dari anaknya tersebut. Jika sibapa mengeluarkan zakat untuk anaknya tanpa mendapat kebenaran atau keizinan dari anaknya itu, maka zakat yang dikeluarkan tidak dikira sebagai zakat. Hal ini kerana zakat adalah ibadah yang memerlukan niat, di mana tidak gugur tuntutan mengeluarkan zakat dari si anak yang telah mukalaf melainkan dengan keizinan daripadanya.

Kata al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’:

ﻭﺃﻣﺎ اﻷﺻﻮﻝ ﻭاﻟﻔﺮﻭﻉ ﻓﺈﻥ ﻭﺟﺒﺖ ﻧﻔﻘﺘﻬﻢ ﺑﺸﺮﻭﻃﻬﺎ اﻟﻤﻌﺮﻭﻓﺔ ﻓﻲ ﻛﺘﺎﺏ اﻟﻨﻔﻘﺎﺕ ﻭﺟﺒﺖ ﻓﻄﺮﺗﻬﻢ ﻭﻣﻦ ﻻ ﻓﻼ، ﻓﻠﻮ ﻛﺎﻥ اﻻﺑﻦ اﻟﻜﺒﻴﺮ ﻓﻲ ﻧﻔﻘﺔ ﺃﺑﻴﻪ ﻓﻮﺟﺪ ﻗﻮﺗﻪ ﻟﻴﻠﺔ اﻟﻌﻴﺪ ﻭﻳﻮﻣﻪ ﻓﻘﻂ ﻟﻢ ﺗﺠﺐ ﻓﻄﺮﺗﻪ ﻋﻠﻰ اﻷﺏ ﻟﺴﻘﻮﻁ ﻧﻔﻘﺘﻪ ﻋﻨﻪ ﻓﻲ ﻭﻗﺖ اﻟﻮﺟﻮﺏ.

Maksudnya: “dan adapun al-Usul (bapa dan ke atas) dan al-Furu’ (anak dan ke bawah), jika wajib nafkah mereka dengan syarat-syarat yang sedia dimaklumi di dalam kitab al-Nafaqat, wajib juga fitrah mereka (ditanggung oleh pihak yang wajib keluarkan nafkah). Siapa yang tidak wajib diberikan nafkah kepadanya, maka tidak wajib keluarkan zakat untuknya. Jika seorang anak yang telah dewasa masih di dalam nafkah bapanya, kemudian si anak memperolehi kecukupan makanan pada malam hari raya dan siangnya sahaja, maka tidak wajib lagi sibapa mengeluarkan zakat fitrah untuknya disebabkan gugur tanggungjawab nafkaf dari bapanya untuk sianak pada waktu kewajipan zakat fitrah.”  (al-Majmu’, takliq dan tahkik oleh Muhammad Najib al-Muti’ie 6/69, cetakan Maktabah al-Irsyad, Jedah Saudi)

Di dalam al-Anwar Li A’mal al-Abrar oleh al-Ardabiliy (الاردبيلي W779H) dinyatakan:

ولو قال لغيره أد فطرتي ففعل: أجزئت. ولو أخرج بلا إذنه : لم يجز، كما لو أخرج عن ابنه البالغ بلا إذنه

Maksudnya: “Dan jika seseorang berkata kepada orang lain: tunaikan zakat fitrahku, lalu orang itu melakukannya, sah zakat fitrah tersebut. Namun jika dia mengeluarkannya tanpa keizinan orang tersebut, maka tidak sah zakat tersebut. Ia sama seperti seseorang mengeluarkan zakat untuk seorang anaknya yang telah baligh tanpa keizinan dari anaknya tersebut.” (al-Anwar oleh al-Imam Yusuf bin Ibrahim al-Ardabiliy al-Syafi’ie 1/240, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut Lebanon)   

Cetak
Wallahu a'lam