Tentang Takbir Hari Raya

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 2304

Takbir hari raya terbagai kepada dua:

1. Takbir Mutlaq 

Dinamakan juga takbir mursal kerana ia dianjurkan tanpa dikaitkan dengan waktu solat. Sebaliknya dilakukan pada bila-bila waktu, sama ada malam mahupun siang, di jalanan, di pasar mahupun di rumah. 

2. Takbir Muqayyad

Atau takbir yang dikaitkan dengan solat. Iaitulah ia dilakukan selepas menunaikan solat. Ia disunatkan untuk hari raya korban sahaja, menurut ijmak ulama mazhab Syafi'ie. Ia tidak disunatkan untuk hari raya Fitri, menurut pandangan Asah di sisi Syafi'iyyah. Pandangan ini  berdasarkan hari raya Fitri yang disambut beberapa kali di zaman Nabi SAW, namun tiada bukti menunjukkan berlaku takbir muqayyad selepas menunaikan solat untuk hari raya Fitri. Ada pandangan lemah yang mengatakan disunatkan juga bertakbir selepas solat Maghrib, isyak dan Subuh pada malam hari raya Fitri. Namun seperti yang dinyatakan pandangan ini adalah lemah. 

Takbir Muqayyad diutamakan berbanding zikir selepas solat kerana ia adalah syi'ar bagi waktu tertentu, tiada pada waktu yang lain. Terutamanya takbir pada malam hari raya korban yang berhimpun padanya anjuran Takbir Mutlaq dan Takbir Muqayyad. Kerana itu memberi perhatian kepada Takbir Muqayyad pada waktunya hendaklah diberi penekanan berbanding zikir selepas solat. 

Namun zikir selepas solat diutamakan atau afdhal (lebih utama) berbanding Takbir Mursal atau Mutlaq yang tidak bergabung bersamanya Takbir Muqayyad seperti takbir pada malam hari raya Fitri. Jika didahulukan lafaz takbir selepas menunaikan solat pada malam hari raya Fitri dengan niat Takbir Muqayyad, ia makruh, jika tanpa niat ini, maka perbuatan itu menggugurkan suatu yang lebih utama iaitulah mendahulukan zikir selepas solat sebelum bertakbir. Tiada hukum Makruh. 

Takbir Mutlaq pada hari raya Fitri lebih utama (Afdhal) berbanding Takbir Mutlaq pada hari raya korban. Ini kerana takbir mutlaq pada hari raya Fitri sabit perintahkan di dalam al-Quran, manakala takbir mutlaq untuk hari raya korban disabitkan melalui jalan qiyas. Manakala Takbir Muqayyad adalah lebih utama (afdhal) dari takbir takbir mutlaq, kerana ia sabit berdasarkan sunnah dan kerana kedudukan mualianya yang berturutan dengan solat. 

Waktu Takbir Raya

Takbir Mutlaq bermula dengan tenggelamnya matahari pada malam dua hari raya menurut ittifaq. Waktunya tamat apabila imam menuturkan huruf "Ra" pada takbiratul ihram solat sunat hari raya. Demikian juga bagi yang menunaikan solat hari raya bersendirian. Inilah i'timad di dalam al-Tufah dan al-Minhaj al-Qawim (Syarah al-Muqaddimah al-Hadramiyyah oleh al-Haitami). Yang zahir dari dua kitab ini, sekalipun solat hari raya itu tidak ditunaikan pada waktunya yang dituntut iaitulah selepas terbitnya matahari untuk hari raya korban. Manakala untuk hari raya Fitri dilewatkan sedikit. Inilan pandangan yang dinyatakan dengan jelas di sisi al-Bajuri. 

Manakala i'timad al-Bujairami keluarnya waktu takbir mutlaq dengan tamatnya takbiratul Ihram imam solat hari raya dalam tempoh waktu dituntut menunaikan solat hari raya. Sama ada seseorang itu solat hari raya berjemaah mahupun bersendirian.  

Jika malam hari raya bertepatan dengan malam Jumaat, manakah yang lebih utama (afdhal) dilakukan? bertakbir hari raya atau membaca surah al-Kahf atau memperbanyakkan selawat  atau himpunkan ketiga-tiganya?

Menurut i'timad al-Syeikh al-Bajuri RH adalah lebih utama bertakbir sahaja kerana itulah syi'ar pada waktu tersebut (شعارُ الوقت). Manakala i'timad al-Syeikh 'Ali al-Syibramallisi  (علي الشِبرَمَلِّسي) dengan melakukan semuanya dengan diutamakan bertakbir kerana syi'ar waktu. 

Waktu Takbir Muqayyad Selepas Solat

Ulama mazhab Syafi'ie berbeza pandangan waktu memulakan takbir  muqayyad bagi jemaah haji. al-Syeikh Ibn Hajar RH di dalam al-Tuhfah, al-Syarh dan selainnya menyatakan waktu memulakan takbir muqayad bagi jemaah haji adalah selepas solat Zohor hari Nahar (10 Zulhijjah) kerana ia merupakan solat pertama yang dilakukan selepas masuknya waktu boleh tahallul iaitulah waktu afdhalnya adalah waktu Dhuha. Tanpa mengambil kira didahulukan tahallul atau dikemudiankan, tanpa mengambil kira seseorang itu berada di Mina atau bukan di Mina. 

al-Syeikh Ramli, Ibn Qasim, al-Qalyubi dan al-Bajuri mengatakan masuk waktu takbir muqayyad bagi jemaah haji dengan melakukan tahallul, sama ada tahullul itu diawal atau dilewatkan. Sebaik sahaja selesai tahallul, maka bolehlah bertakbir. 

Tamat waktu takbir  muqayyad bagi jemaah haji adalah setelah solat Subuh hari Tasyriq terakhir.

Bagi selain jemaah haji para ulama mazhab Syafie berbeza pandangan. Di dalam kitab al-Minhaj dinyatakan berdasarkan amalan umat Islam dari dahulu dan di merata negeri dan bandar. Demikian juga petunjuk dari hadis yang dinilai Sahih oleh al-Hakim, takbir muqayyad dimulakan selepas Subuh hari 'Arafah (9 Zulhijjah), dan tamat dengan melafazkan takbiratul ihram solat Asar hari Tasyriq yang terakhir (13 Zulhijjah). 

Para ulama juga berbeza pandangan apakah yang dimaksudkan di dalam kitab al-Minhaj, dengan solat Subuh dan Asar itu? Apakah ia merujuk kepada perbuatan atau waktu? Ibn Hajar berpandangan ia merujuk kepada perbuatan iaitulah bermula waktu takbir muqayyad adalah dengan menunaikan solat Subuh (selesai) dan tamat dengan menunaikan solat 'Asar. Manakala Ibn Qasim berpandangan masuk waktu takbir muqayyad dengan masuknya waktu Subuh (9 Zulhijjah) dan berakhir waktu Takbir Muqayyad dengan tenggelamnya matahari hari Tasyriq terakhir (13 Zulhijjah).

Terdapat juga pandangan (وفي قول) lain yang mengatakan bermula takbir sama seperti jemaah haji, kerana mereka adalah ikutan dan panduan untuk yang bukan melaksanakan haji. Juga wa fi qaul yang mengatakan bermula apabila tenggelamnya matahari malam raya korban. Demikian juga waktu tamatnya ada yang kata selepas solat Subuh hari tasyriq terakhir ada juga yang berkata selepas Asar hari Tasyriq terakhir. 

Demikian juga terdapat khilaf tentang takbir muqayyad selepas solat selain dari solat fardhu. Pandangan al-Azhar mengatakan disyariatkan juga bertakbir selepas solat qadha, sunat dan solat jenazah kerana itulah syi'ar pada waktu tersebut..

(Saringan binSahak dari nota ringkas oleh  al-Syeikh Hussain bin al-Haddad al-Baidhawi)

Cetak
Wallahu a'lam