Soalan dari Dinar yang bertanya: “Bagaimana jika telah selesai solat pakaian yang dipakai koyak dan mendedahkan aurat. Pakaian sama dipakai oleh beberapa solat fardhu, contohnya Zohor dan solat Asar.
Jawapan:
Wallahu taala a’lam.
Persoalan tersingkap aurat ketika menunaikan solat menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Sebahagian ulama seperti ulama mazhab Hanafi dan mazhab Maliki, mereka membezakan antara aurat mughallazah dengan aurat mukhaffah. Aurat mughallazah di sisi mazhab Hanafi adalah kemaluan qubul dan dubur. Manakala mughallafaz di sisi ulama Maliki ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama Maliki sendiri.
Manakala di sisi ulama Syafie dan Hambali, mereka tidak membezakan mughallazah dan mukhafafah, di sisi ulama mazhab Syafie, bila terdedah sahaja aurat, sama ada perasan atau tidak ketika solat, sebaliknya selepas solat baru kita perasan, maka ketika kita solat itu, telah kehilangan salah satu daripada syarat sah solat, maka solat seperti itu wajib diqadha di sisi para ulama mazhab Syafie.
Manakala, wallahu a’lam, pandangan ulama mazhab Hambali agak pertengahan dalam permasalahan ini, iaitulah mazhab Hambali, mereka berpandangan jika yang terdedah itu adalah sedikit sekalipun dalam tempoh yang lama dan kita tidak sedar, di sisi Hambali, mereka mengatakan tidak perlu qadha dan solat seperti itu tidak perlu qadha dan ia sah. Demikian juga jika yang tersingkap itu besar atau banyak, tetapi dalam tempoh yang sedikit atau sekejap, lalu dengan segera ia ditutup, maka perkara itu tidak membatalkan solat dan solat tersebut sah. Cuma jika ia fahisyh atau keterlaluan dan terlalu terserlah, ulama mazhab Hambali berpandangan perkara itu membatalkan solat.
Wallahu a’lam, saya secara peribadi dalam permasalahan seperti ini, disebabkan ulama mazhab Syafie mengatakan batal solat dalam keadaan tersingkap aurat sama ada sedar atau tidak dalam tempoh yang lama terutamanya, maka solat seperti itu tidak sah, terutamanya jika yang terdedah itu adalah aurat yang banyak, maka ia membatalkan solat, dan perlu diqadha solat-solat tersebut.