SDI 1299: Bilakah Mula Boleh Qasar Solat?

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 618

Soalan:

Bilakah waktu melakukan solat qasar? Adakah setelah perjalanan sejauh dua marhalah? Bolehkah diqasarkan solat sebelum perjalanan bermula?

Jawapan:

Seseorang musafir boleh mula mengqasarkan solat setelah melepasi kawasan tempat tinggalnya, semua rumah dan bangunan yang berada di kawasan tempat tinggalnya tersebut.

Diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib RA:

أن عليا لما خرج إلى البصرة رأى خُصًّا فقال : لولا هذا الخُصّ لصليت ركعتين

Maksudnya:  “Bahawa ‘Ali (bin Abi Talib) ketika mana keluar (bermusafir) ke Basrah dan beliau masih dapat melihat Khussan (bumbung atau atap rumah dari tumbuhan kawasan tempat tinggalnya), beliau berkata: “Jika bukan disebabkan (masih kelihatan) khuss ini, pasti daku akan tunaikan solat dua rakaat (secara qasar).”[1]

Hal ini kerana seseorang tidak dinamakan seorang musafir melainkan setelah meninggalkan kawasan tempat tinggalnya. Allah SWT berfirman:

وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُواْ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang…”

Di dalam ayat ini, Allah SWT kaitkan keizinan qasar solat dengan bermusafir. Maka seseorang yang masih berada di dalam kawasan tempat tinggalnya, dia masih belum di kira bermusafir.

Tempat tinggal yang dimaksudkan di sini berdasarkan keterangan di bawah[2]:

  1. al-Balad البلد.
    Merujuk kepada kawasan tertentu yang mempunyai bangunan atau binaan, dijadikan tempat bermastautin sekumpulan manusia dengan syarat tempat tersebut mempunyai mahkamah, tempat penjaga keamanan (seperti balai polis) atau pasar niaga. 
  2. al-Madinah المدينة. 

    Jika di sesuatu kawasan penempatan tersebut memiliki ketiga-tiga ciri yang dinyatakan di atas, iaitulah mahkamah, pusat penjaga keamanan dan juga terdapat pasar niaga. Ia dinamakan sebagai madinah ataupun kota.

  3. al-Qaryah القرية. Kawasan penempatan yang tidak mempunyai ketiga-tiga ciri di atas.

Oleh itu, seseorang dianggap telah meninggalkan tempat tinggalnya sama ada dia tinggal di kampung, bandar ataupun di kota apabila di telah keluar atau meninggalkan sempadan kampung, bandar atau kota tempat tinggalnya.  

al-Syirazi menyatakan seseorang ahli balad, tidak boleh mengqasarkan solat sehinggalah terlebih dahulu dia meninggalkan bangunan-bangunan balad tempat tinggalnya.[3]

al-Imam al-Nawawi ketika menghuraikan perkataan al-Syirazi di dalam al-Majmu’ menyatakan, seseorang penduduk bandar atau al-Balad, jika bandar yang didudukinya memiliki tembok sempadan (السور), maka apabila melepasi tembok tersebut, boleh dia memulakan solat secara qasar. Inilah perkataan al-Imam al-Syafie dan Ashab beliau.

al-Qadhi Abu al-Tayyib di dalam ta’liqnya menyatakan, sebaik sahaja seseorang itu telah berada di luar dari balad, maka dia boleh mengambil keringanan qasar solat. Sekalipun di luar tembok balad tersebut masih terdapat rumah dan tanah perkuburan yang bersambungan dengannya. Inilah pandangan al-Mazhab dan pandangan yang diputuskan oleh majoriti atau kebanyakan ulama dalam mazhab Syafie.

Jika bandar tersebut tidak memiliki tembok. Atau tembok yang ada hanya pada sebahagian arah dan pada arah yang hendak ditujunya tiada tembok. Maka dia boleh mula menunaikan solat secara qasar sebaik sahaja meninggalkan bangunan yang ada di dalam bandar tersebut, sama ada bangunan atau rumah itu bersambungan atau terpisah, selagi ia terhitung sebahagian dari badar tersebut. Demikian juga jika ada sungai yang memisahkan kawasan bandar. Disyaratkan melepasi bahagian bandar yang melepasi sungai.

Jika kawasan hujung bandar, terdapat rumah-rumah yang telah ditinggalkan dan tiada penghuni, tiada juga pembangunan lain, sama ada kawasan tersebut telah dijadikan kawasan pertanian atau telah ditinggalkan dan tiada lagi asas-asas temboknya, maka tidak disyaratkan melepasi kawasan seperti ini. Namun jika kawasan tersebut masih memiliki tanda dan ciri-ciri ia akan dibangunkan semula, berdasarkan pandangan al-Sahih, juga pandangan majoriti al-‘Iraqiyyun, al-Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini dan beberapa tokoh lagi di kalangan al-Khurasaniyyun, kawasan tersebut masih terhitung sebahagian daripada bandar, maka disyaratkan melepasinya bagi menunaikan solat secara qasar.

Manakala taman-taman dan kawasan pertanian yang bersambungan dengan bandar sekalipun kawasan tersebut memiliki tembok sempadan, tidak termasuk dalam kawasan bandar dan tidak menjadi syarat perlu melepasinya untuk membolehkan qasar solat.

Bagi kampung yang lebih kecil dari bandar, syarat yang perlu ada bagi membolehkan qasar solat adalah sama dengan syarat-syarat yang perlu ada pada bandar.

Oleh itu, bagi seseorang yang tinggal di kampung, bersebelahan dengan kampungnya terdapat kampung lain yang terpisah. Dia boleh mula menunaikan solat secara qasar apabila dia meninggalkan kampungnya. Inilah pandangan al-Sahih di sisi ulama mazhab Syafie.[4]

-------------------------------------------------- 

[1] Diriwayatkan oleh Abd al-Razzaq di dalam al-Musannaf daripada Daud bin Abi Hind. Lihat perkataan al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi 3/88. Lihat juga al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 38/250.

[2] Lihat Mu’jam Lughah Fuqaha’ oleh Muhammad Qal‘aji, hal: 90

[3] Lihat al-Majmu’ 4/225

[4] Lihat al-Majmu’ 4/225

Cetak
Wallahu a'lam