SDI 1300: Hukum Akikah Bayi Yang Meninggal Selepas Dilahirkan

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 276

Thursday, January 2, 2014

Soalan:

adakah sunat membuat aqiqah bagi bayi yang lahir mati sebelum hari ke tujuh @ selepas hari ke tujuh

 

Jawapan:

Pandangan yang menjadi pilihan ialah tidak disunatkan lagi menyembelih akikah untuk bayi yang lahir kemudian meninggal dunia. Hal ini kerana antara tujuan akikah itu dilakukan ialah, ia seumpama tebusan yang diserahkan setelah dikurniakan anak dan mengharapkan ia membesar dalam keadaan sihat tubuh-badannya dan jauh dari kejahatan syaitan. Jika bayi itu meninggal dunia maka hilanglah tujuan ini. Inilah juga pandangan al-Syeikh Soleh bin Fauzan Al-Fauzan. (Lihat: http://ar.islamway.net/fatwa/10874)

Sekalipun demikian sesiapa yang hendak melakukan akikah bagi anaknya yang meninggal selepas dilahirkan, dia berhak melakukannya.

Para ulama berbeza pandangan tentang akikah bagi bayi yang lahir kemudian meninggal dunia. Sebahagian ulama berpandangan bayi tersebut tetap juga sunat diakikahkan berdasarkan hadis:

كل غلام مرتهن بعقيقته تذبح عنه يوم سابعه، ويحلق رأسه ويسمى

Maksudnya: “Setiap bayi hendaklah diakikahkannya, disembelih pada hari yang ketujuh, dan dicukur rambutnya dan diberikan nama (pada hari tersebut).” (HR al-Tirmizi dan selain beliau. Al-Tirmizi juga mensahihkan hadis ini)

Inilah pandangan para ulama mazhab Syafie dan Hambali.    

Perkataan yang ada di dalam hadis: مرتهن بعقيقته terdapat beberapa pandangan ulama tentang maksudnya:

  1. Terhalang dari syafaat untuk kedua ibu-bapanya jika budak itu tidak diakikahkan. Namun pandangan ini dinilai lemah oleh Ibn al-Qayyim. (lihat link fatwa Soleh Fauzan di atas)
  2. Ia bermaksud jika tidak diakikah seolah-oleh dia masih belum ditebus seperti sesuatu yang dipajak berada dalam penguasaan pemegang pajakan yang tidak akan dilepaskan melainkan dengan dilangsaikan hutang.
  3. Ia seperti sesuatu yang dipajak, yang tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin tanpa dilangsaikan pajakan tersebut.
  4. Sesuatu nikmat akan menjadi sempurna kepada seseorang jika dia bersyukur. Maka bersyukur dengan nikmat dikurniakan anak ialah dengan apa yang telah disunnahkan oleh Nabi SAW iaitulah melakukan akikah sebagai tanda syukur dan mengharapkan keselamatan bayi. Boleh juga difahami ia bertujuan mengharapkan keselamatan bayi dan tumbesarannya yang baik. (Lihat Hasyiah al-Sindiy ‘Ala Ibn Majah)

Manakala ulama dari mazhab Maliki dan Hanafi berpandangan tidak perlu diakikahkan lagi kerana akikah hanya disunatkan pada hari yang ketujuh sahaja. mereka berdalilkan dengan hadis Nabi SAW:

تذبح عنه يوم سابعه

Maksudnya: “Disembelihkan akikah untuk bayi itu pada hari yang ketujuh kelahirannya.”

Cetak
Wallahu a'lam