SDI 1306: Hukum Qasar Dalam Permusafiran Bertujuan Maksiat

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 669

Soalan:

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh pihak Jabatan Mufti.

Nama saya ******* ********** dan saya mempunyai satu kemusykilan. Jika seseorang bermusafir untuk berjumpa tunang atau bukan mahram, adakah dianggap permusafiran tersebut untuk tujuan maksiat? Saya terbaca antara syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan jamak qasar adalah permusafiran tersebut tidak boleh kerana maksiat. Harap ustaz dapat memberikan pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Wa‘alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.

  1. Bermusafir berjumpa dengan tunang atau bukan mahram termasuk dalam perkara harus pada asalnya. Namun hukum harus ini boleh berubah menjadi haram jika perjumpaan tersebut menyalahi adab agama seperti berdua-duaan dan seumpamanya. Jika perjumpaan tersebut bebas dari perkara-perkara yang ditegah, maka ia adalah permusafiran yang dibenarkan.
  1. Seseorang yang menempuh perjalanan atau permusafiran yang bertujuankan maksiat, tidak boleh mengambil keringanan qasar solat. Inilah pandangan majoriti ulama. antara dalil yang disebut oleh majoriti ialah:
  1. Firman Allah SWT:

فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِإِثْمٍ

Maksudnya:  “Sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda yang haram) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya)..” (al-Maidah: 3)

Ayat ini menujukkan sesiapa yang dalam keadaan terpaksa memakan bangkai, bukan dalam keadaan cenderung melakukan perkara yang haram (cenderung hendak memakan bangkai), maka dia tidak berdosa.

Difahami dari ayat ini, jika dia cenderung melakukan perkara yang haram itu, maka dia dilarang mengambil keringanan tersebut. Oleh kerana itu, seseorang yang bertujuankan maksiat ketika bermusafir adalah termasuk dalam mutajanif li ithmin iaitulah orang yang menghendaki melakukan maksiat. Maka dia lebih patut ditegah dari memperolehi keringanan dalam permusafirannya.

ii. Melakukan maksiat tidak boleh menjadi sebab memperolehi keringanan agama. Sama sepertimana mabuk tidak menggugurkan kewajipan seseorang.

iii. Keringanan ketika bermusafir terkait rapat dengan permusafiran. Agama melarang seseorang melakukan permusafiran yang bertujuankan maksiat. Jika permusafiran maksiat ditegah, maka keringanan yang diperolehi darinya juga ditegah.

iv. Qasar solat adalah keringanan yang diberikan oleh Allah kepada seorang yang bermusafir, bagi membantunya dalam permusafiran. Justeru seorang yang bermusafir untuk bermaksiat tidak layak mendapat bantuan dari Allah SWT.

v. Membenarkan seorang yang melakukan permusafiran maksiat bermaksud membantu dia melakukan maksiat tersebut.

vi. Semua nas al-Quran dan al-Hadis yang mengizinkan qasar solat bersempena dengan permusafiran yang dilakukan di zaman Nabi SAW. Semua permusafiran tersebut adalah permusafiran yang dibenarkan di dalam syarak. Oleh itu tidak boleh difahami nas-nas tersebut umum mencakupi permusafiran yang menyalahi syarak.

 

Cetak
Wallahu a'lam