SDI 1307: Hukum Makmum Qunut Sedangkan Imam Tidak Qunut, Makmum Sujud Sajdah Sedangkan Imam Tidak Sujud

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 991

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz.

Maaf, saya ada sikit kemusykilan tentang perbuatan di bawah yang saya nampak.

Harap Ustaz sudi bagi pencerahan.

Semasa solat Subuh berjemaah pagi Jumaat, Imam baca surah as-Sajadah tapi tidak sujud sajadah. Apa hukum makmum yang sujud sajadah kalau Imam tak sujud?

Bagaimana pula makmum yang baca doa qunut, sedangkan Imam tak baca?

Adakah kedua-dua perbuatan ini dalam kategori yang sama iaitu dianggap tidak mengikut Imam?

 

Jawapan 1:

Sujud Sajdah adalah sunat bukan wajib. Justeru jika seseorang imam tidak melakukan sujud sajdah di dalam solat setelah membaca ayat sajdah, imam tersebut tidak melakukan sebarang kesalahan dan solat tersebut tiada sebarang kecacatan.

Hukum sunat sujud sajdah ini adalah pandangan majoriti ulama. Pandangan ini disokong dengan hadis Sahih al-Bukhari:

أن عمر رضي الله عنه قرأ النحل على المنبر ثم سجد وسجد الناس، وقرأها في الجمعة التالية فتهيأ الناس للسجود فقال رضي الله عنه: إن الله لم يفرض علينا السجود إلا أن نشاء

Maksudnya:  “Bahawa ‘Umar RA pernah membaca surah al-Nahl ketika berada di atas mimbar, kemudian beliau (turun dari mimbar) sujud sajdah dan orang ramai juga turut sujud. ‘Umar RA sekali lagi membaca ayat sajdah pada Jumaat minggu berikutnya, lalu orang ramai bersedia untuk sujud sajdah, namun ‘Umar RA berkata: “sesungguhnya Allah tidak memfardhukan kepada kita sujud sajdah ini, melainkan jika kita mahu melakukannya.”

            Oleh kerana itu, apabila imam tidak melakukan sujud sajdah setelah membaca ayat sajdah, makmum tidak boleh melakukan sujud sajdah. Hal ini sedemikian kerana keberadaan imam di dalam solat adalah bertujuan diikuti. Tindakan makmum yang menyalahi tindakan imam seperti ini, termasuk dalam kategori kumpulan perbuatan yang ketara menyalahi imam. Justeru, jika terdapat makmum yang tetap melakukan sujud sajdah, sedangkan imam tidak melakukan sujud sajdah apabila membaca ayat sajdah, makmum itu pula mengetahui tegahan perbuatannya itu, maka solat makmum tersebut batal. Jika dia seorang yang jahil dan tidak tahu menahu akan hukum ini, dia diberikan kemaafan dan solatnya tersebut adalah sah. Kata al-Bujairami di dalam Hasyiahnya:

كَسَجْدَةِ تِلَاوَةٍ وَتَشَهُّدٍ أَوَّلَ ـ أَيْ كَأَنْ سَجَدَ الْمَأْمُومُ لِلتِّلَاوَةِ أَوْ قَعَدَ لِلتَّشَهُّدِ الْأَوَّلِ بَعْدَ تَرْكِ الْإِمَامِ لَهُمَا، فَإِنْ فَعَلَ الْمَأْمُومُ ذَلِكَ عَامِدًا عَالِمًا بِالتَّحْرِيمِ بَطَلَتْ صَلَاتُهُ، أَوْ نَاسِيًا أَوْ جَاهِلًا فَلَا

Maksudnya: “Seperti sujud tilawah dan tasyahud awal – iaitulah seperti jika makmum melakukan sujud tilawah atau duduk tasyahud awal setelah imam tidak melakukan kedua-dua perbuatan itu. Jika makmum itu sengaja melakukan perbuatan itu dan tahu hukum haramnya, maka batal solat makmum. Jika dia terlupa atau jahil, maka solatnya tidak batal.” (cetakan Dar al-Fikr, 1427H/2006M, jld: 2, hal: 153)

Jawapan 2:

            Ulama mazhab Syafie mengharus seorang makmum yang bermazhab Syafie berqunut di belakang imam yang tidak berqunut selagi makmum itu pasti dapat bersama dengan imam di dalam sujud. Di dalam Kifayah al-Akhyar dinyatakan:

ولو ترك الإمام القنوت إما لكونه لا يراه كالحنفي، أو نسي، فإن علم المأموم أنه لا يلحقه في السجود فلا يقنت، وإن علم أنه لا يسبقه قنت

Maksudnya: “Dan sekiranya imam tidak melakukan qunut, sama ada disebabkan imam berpandangan tiada qunut seperti imam bermazhab Hanafi atau imam itu lupa. Jika makmum pasti yang dia tidak akan dapat menyertai imam ketika sujud, maka jangan makmum itu berqunut. Jika dia pasti imam tersebut tidak akan mendahuluinya, sehingga dia terlepas sujud bersama imam, maka dia boleh melakukan qunut.” (cetakan pertama 1412H/1991M,Dar al-Khair, hal: 126)

Jawapan 3:

Kedua-dua perbuatan ini sama pada tidak mengikut imam. Namun hukumnya berbeza. Di mana salah satunya, tergolong dalam perbuatan menyalahi imam dalam ketegori perbuatan yang sedikit dan tidak ketara, maka ia tidak merosakkan solat makmum. Seperti membaca qunut di belakang imam yang tidak berqunut, membaca doa iftitah di  belakang imam yang tidak membaca doa iftitah. Mengangkat tangan ketika takbir intiqalat (perpindah) sedangkan imam tidak mengangkat tangan dan seumpamanya.

Manakala yang satu lagi, iaitulah melakukan sujud sajdah, sedangkan imam tidak melakukannya adalah termasuk dalam perbuatan menyalahi imam pada perbuatan yang ketara. Ia sama seperti seorang makmum yang kekal melakukan tasyahud awal sedangkan imam tidak melalkukannya. Tindakan makmum seperti ini boleh membatalkan solat. 

Cetak
Wallahu a'lam