Friday, February 22, 2013
Soalan:
Saya bercadang untuk meminjam RM100,000.00 dari seorang kawan untuk tujuan perniagaan dan saya berjanji untuk bayar balik dalam masa 60 hari. Saya juga akan bayar balik lebih 10% kepada kawan saya dengan niat sebagai keuntungan bersama atau pun sebagai hadiah. Adakah ini dibenarkan dalam agama?
Saya juga ada bercadang untuk meminjam RM200,000.00 dari beliau untuk tujuan perniagaan dan akan bayar balik tanpa jumlah yang tetap dalam masa 18 - 24 bulan. Saya juga bercadang untuk menambah sebanyak 2% sebulan keatas baki bulanan, hingga hutang itu selesai. Saya anggap 2% itu sebagai hadiah atau penghargaan kerana sudi memberi pinjaman? Adakah ini dibenarkan dalam agama?
Jika kedua-dua kes tersebut tidak di benarkan dalam agama kita, apakah yang patut saya atau kawan saya lakukan agar pinjaman tersebut mengikut hukum-hukum syarak.
Jawapan:
Bayaran lebih dari orang yang berhutang secara sukarela atau sebagai hadiah dari jumlah hutangnya tidak termasuk riba. Terdapat beberapa bukti dari hadis Nabi SAW dalam permasalahan ini, antaranya:
- Daripada Jabir bin ‘Abdillah RA katanya:
أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ : صَلِّ رَكْعَتَيْنِ . وَكَانَ لِي عَلَيْهِ دَيْنٌ فَقَضَانِي وَزَادَنِي
Terjemahannya: “Aku datang menemui Nabi SAW yang berada di dalam masjid, lalu baginda bersabda: “Tunaikan solat dua rakaat.” Baginda ketika itu ada berhutang kepadaku, lalu baginda membayarnya dan melebihkan bayaran.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
- Daripada Abu Hurairah RA katanya:
كَانَ لِرَجُلٍ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سِنٌّ مِنْ الْإِبِلِ فَجَاءَهُ يَتَقَاضَاهُ فَقَالَ : أَعْطُوهُ . فَطَلَبُوا سِنَّهُ فَلَمْ يَجِدُوا لَهُ إِلَّا سِنًّا فَوْقَهَا فَقَالَ : أَعْطُوهُ . فَقَالَ : أَوْفَيْتَنِي أَوْفَى اللَّهُ بِكَ . قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ خِيَارَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً
Terjemahannya: “Nabi SAW pernah berhutang seekor unta dari seorang lelaki, lalu lelaki itu datang dan meminta hutangnya dari baginda. Jawab baginda: berikan kepadanya, lalu para sahabat mencari unta yang seusia, akan tetapi mereka tidak mendapati unta seusia yang dipinjam oleh baginda melainkan unta yang lebih besar. Baginda bersabda: “Berikan kepadanya.” kata lelaki tadi: “Engkau tunaikan hutangmu kepadaku, semoga Allah tunaikan janjiNya kepadaMu.” Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya orang yang terbaik dari kalangan kamu adalah orang yang paling baik menunaikan (hutang).” (al-Bukhari dan Muslim)
Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 23/125 dinyatakan:
ذهب جمهور الفقهاء من الحنفية والشافعية والحنابلة وابن حبيب من المالكية وغيرهم إلى أن المقترض لو قضى دائنه ببدل خير منه في القدر أو الصفة، أو دونه، برضاهما جاز ما دام أن ذلك جرى من غير شرط أو مواطأة
Terjemahannya: “Majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Syafie, Hambali, termasuk Ibn Habib dari mazhab Malik dan selain mereka berpandangan orang yang berhutang jika membayar kepada orang yang memberi hutang dengan suatu yang lebih baik dari hutangnya dari sudut kadar atau sifat atau lainnya dengan keredhaan mereka berdua, maka ia adalah harus selama mana perkara itu berlaku tanpa terlebih dahulu menjadi syarat dan persetujuan (ketika akad).”
Di dalam fatwa al-Lajnah al-Daimah 14/134 pula dinyatakan:
ليس للمقرض أن يأخذ من المقترض إلا ما أقرضه إياه، إلا أن تطيب نفس المقترض بشيء من الزيادة في الكيفية أو الكمية، فلا بأس إذا لم يسبقه شرط أو تواطؤ على ذلك ، وهكذا إن جرى بذلك عرف ؛ لأن الشرط العرفي كاللفظي
Terjemahannya: “Orang yang memberi hutang tidak boleh mengambil dari orang yang berhutang melainkan jumlah hutang yang diberi sahaja, melainkan tambahan yang berbentuk pemberian sukarela dari orang yang berhutang samada tambahan itu pada kaifiat atau nilai, maka tidak mengapa jika tambahan itu diberi tanpa syarat atau persetujuan terdahulu.”