SDI 1331: Bolehkah Jamak Solat Sebab Sibuk Bekerja?

Thursday, February 21, 2013

Soalan:

Benarkah jikalau ada kerja tidak sempat solat, dibolahkan jamak ke waktu seterusnya tapi mengqasarkannya. boleh beri contoh yg lebih praktikal ?? contohnya:

1- stuck in trafic jem

2- bersukan

3- keluar membeli belah dan tmpt solat penuh dan kain solat busuk.

 

Jawapan:

Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara jelas menunjukkan wajibnya ditunaikan semua solat lima waktu di dalam waktu-waktu yang telah ditetapkan. Allah SWT berfirman:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Terjemahannya: “Sesungguhnya solat itu difardhukan ke atas orang-orang yang beriman pada waktu-waktu yang telah ditetapkan.” (al-Nisa’: 103)

Tidak boleh dijamakkan antara Zohor dengan Asar, Maghrib dengan Isyak melainkan jika ada keuzuran seperti sakit, bermusafir atau seumpamanya yang termasuk dalam perkara-perkara yang mendatangkan kesempitan jika ditunaikan setiap solat di dalam waktunya. Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Abi Musa al-Asy’ari dan ‘Umar bin al-Khattab R’anhuma yang berkata:

الجمع بين الصلاتين من غير عذر من الكبائر

Terjemahannya: “Melakukan jamak antara dua solat tanpa keuzuran adalah termasuk di dalam dosa-dosa besar.”  Adapun hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, daripada Ibn ‘Abbas RA yang mengatakan:

صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر والعصر جميعا، والمغرب والعشاء جميعا في غير خوف ولا سفر ولا مطر

Terjemahannya: “Rasulullah SAW pernah menunaikan solat Zohor dengan Asar secara jamak, Maghrib dan Isyak secara jamak bukan disebabkan wujud ketakutan dan bukan juga disebabkan bermusafir, bukan juga disebabkan hujan.”

Hadis ini bukanlah bermakna baginda pernah melakukan jamak tanpa ada keuzuran. Bahkan hadis sendiri menunjukkan baginda melakukan jamak tersebut kerana wujud keuzuran lain. Kerana itu apabila ditanya kepada Ibn ‘Abbas RA: “Apa yang menyebabkan baginda melakukan sedemikian itu?” Jawab beliau: “Baginda tidak mahu umat baginda berada dalam kesempitan atau kesusahan.” Ini menunjukkan ketika baginda menjamakkan solat-solat tersebut, keuzuran sememangnya wujud dalam bentuk jika tidak dijamakkan sudah tentu akan mendatangkan kesempitan dan kesusahan kepada para sahabat.

Al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz Abdullah bin Baz RH ketika memberi komentarnya terhadap Fath al-Bari berkata:

الصواب حمل الحديث المذكور على أنه صلى الله عليه وسلم جمع بين الصلوات المذكورة لمشقة عارضة ذلك اليوم من مرض غالب أو برد شديد أو وحل ونحو ذلك ، ويدل على ذلك قول ابن عباس لما سئل عن علة هذا الجمع قال : (لئلا يحرج أمته) وهو جواب عظيم سديد شاف

Terjemahannya: “Yang benar cara memahami hadis ini, baginda SAW menjamakkan beberapa solat disebabkan ada kesempitan yang mendatang pada hari tersebut seperti penyakit yang merebak, cuaca yang bersangatan sejuk, tanah berbecah teruk dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan jawapan Ibn ‘Abbas ketika baliau ditanya tentang sebab baginda melakukan jamak tersebut, dengan menyatakan: “baginda tidak mahu umat baginda berada dalam kesempitan atau kesukaran.” Ia merupakan satu jawapan yang penting, tepat lagi menyeluruh.”

Cumanya sebahagian ulama mengharuskan jamak solat ketika ada keperluan dan dalam keadaan akan mendatangkan kesukaran dan kesempitan jika pasangan solat jamak itu dilakukan berasingan. Pandangan ini menjadi pilihan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH, juga tarjihan dari al-Syeikh Ibn Uthaimin RH, beliau berkata:

الجمع ليس مرتبطاً بالقصر, الجمع مرتبط بالحاجة، فمتى احتاج الإنسان للجمع في حضر، أو سفر فليجمع، ولهذا يجمع الناس إذا حصل مطر يشق على الناس من أجله الرجوع إلى المساجد, ويجمع الناس إذا كان هناك ريح باردة شديدة أيام الشتاء يشق على الناس الخروج إلى المساجد من أجلها, ويجمع إذا كان يخشى فوات ماله، أو ضرراً فيه, أو ما أشبه ذلك يجمع الإنسان، وفي صحيح مسلم عن عبد الله بن عباس - رضي الله عنهما - قال جمع النبي صلى الله عليه وسلم بين الظهر والعصر, وبين المغرب والعشاء من غير خوف ولا مطر

Terjemahannya: “Jamak tidak terikat dengan dengan qasar, jamak terikat ketika adanya keperluan, ketikamana manusia memerlukan jamak sekalipun tidak bermusafir atau ketika musafir maka lakukanlah jamak. Kerana itu orang ramai boleh jamak ketika berlaku hujan lebat yang menyukarkan untuk kembali ke masjid, atau ketika berlaku angin kuat sehingga menyukarkan untuk keluar ke masjid, atau boleh juga jamak ketika bimbangkan harta yang terdedah kepada kecurian atau kemusnahan atau seumpamanya. Di dalam Sahih Muslim daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas RA yang berkata: Nabi SAW pernah menjamakkan solat antara Zohor dengan ‘Asar, Maghrib dengan Isyak, bukan disebabkan ketakutan dan hujan.” Lalu ditanya kepada beliau: “Apakah tujuaan baginda?” beliau menjawab: “baginda tidak mahu umat baginda berada dalam kesempitan atau kesukaran.” Maka ini merupakan garis ketetapan, ketikamana orang ramai mendapati kesempitan jika tidak menjamakkan solat, maka harus untuk dia lakukan jamak, jika tiada kesempitan, maka jangan dia jamak.” (Majmu’ Fatawa wa Rasail oleh Ibn ‘Uthaimin, soalan no 1098)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata di dalam Fatwa Mu’asarahnya:

“Kadang-kala jika terdapat kesusahan untuk menunaikan setiap solat pada waktunya, maka solat secara jamak boleh dilakukan sebagai mengambil keringanan yang diperuntukkan dalam agama. Asalkan perkara ini tidak dijadikan kebiasaan. Sebaliknya perkara ini diharuskan secara sekali-sekala ketika berhadapan dengan sesuatu kesempitan atau kesukaran. Dr. Yusuf al-Qaradhawi memberikan contoh situasi yang dibenarkan jamak solat kerana kesusahan antaranya:

  1. Polis Trafik yang ditugaskan sebelum waktu maghrib sehinggalah selepas waktu ‘Isyak. Dia boleh menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak berdasarkan kemampuannya.
  1. Doktor yang merawat pesakit yang tidak boleh ditinggalkan. Dia boleh menjamakkan solat bersesuaian dengan kemampuannya.”

Ketika mengulas soalan bolehkah menjamakkan solat kerana terbabit dengan sesuatu majlis sambutan, beliau menjawab:

“Adapun menghadiri mana-mana majlis sambutan, maka saya tidak dapati adanya keperluan dan keuzuran untuk membolehkan jamak solat. Selama-mana seseorang insan mendapati ruang/kelapangan untuk solat, maka semestinya dia tidak malu untuk menunaikan solat dimana sahaja tempatnya, kerana malu untuk menunaikan solat adalah suatu yang tidak dibenarkan. Sebaliknya wajib dia mendirikan solat sebagai contoh kepada orang lain, kerana solat itu termasuk di dalam syiar yang wajib dizahirkan. (Nukilan secara ringkas dari Fatawa Mu’asarah, Juzuk Pertama. Melalui lamanweb rasmi: qaradawi.net)


Cetak  
Wallahu a'lam