Sentuh Kemaluan Budak Untuk Membersihkan Najis Batal Wudhu Atau Tidak?

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 162

 

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.

Penyoal yang bertanya memegang dan membasuh kemaluan anak kecil dari buang air kecil dan buang air besar adakah membatalkan wudhu?

Jawapan:

Persoalan ini menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. para ulama di dalam mazhab Syafie termasuk al-Imam al-Nawawi, mereka berpandangan batal wudhu seseorang yang menyentuh kemaluan sendiri dan kemaluan orang lain sama ada orang itu budak kecil ataupun orang dewasa. Sama ada yang disentuh kemaluan itu jenazah ataupun orang yang masih hidup. Al-Imam al-Nawawi berkata di dalam kitab beliau al-Majmu’:

إذا مس الرجل أو المرأة قبل نفسه أو غيره من صغير أو كبير حي أو ميت ذكر أو أنثى انتقض وضوء الماس

Yang bermaksud lebih kurang: “Apabila seseorang lelaki mahupun seorang perempuan menyentuh qubul - yakni  kemaluan hadapan - diri sendiri atau qubul orang lain, sama ada dari kalangan budak kecil atau orang besar, yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia, sama ada lelaki mahupun perempuan, maka batal wudhu orang yang menyentuh.” Itu perkataan al-Imam al-Nawawi. Perkataan ini menunjukkan al-Imam al-Nawawi demikian juga para ulama dalam mazhab Syafie berpandangan batal wudhu dengan menyentuh kemaluan orang lain sama ada orang besar ataupun budak kecil. Pandangan ini merupakan pandangan majoriti ulama. sekalipun demikian terdapat beberapa ulama yang berpandangan tidak membatalkan wudhu.

Saya secara peribadi memegang pandangan yang kedua, iaitulah yang mengatakan tidak membatalkan wudhu apatah lagi kita tengak, pada kebiasaannya seseorang ibu sememangnya tidak boleh mengelak dari  menyentuh kemaluan anak dia, sama ada lelaki mahupun anak perempuan. Perkara ini juga berlaku di zaman Nabi SAW, akan tetapi tidak diriwayatkanpun cerita ataupun kisah yang menceritakan para wanita di zaman Nabi SAW memperbaharui wudhu dengan mereka menyentuh kemaluan anak mereka. Tak disebutpun perkara itu. Sedangkan perkara itu mesti berlaku secara meluas.

Kerana itu, saya memegang dengan pandangan yang berbeza dengan majoriti yang mengatakan seorang ibu yang menyentuk kemaluan anaknya tidak membatalkan wudhu si ibu. Kerana perkara ini termasuk dalam umum al-Balwa, iaitulah benda yang tak boleh dielakkan, ia pasti berlaku, jika kita kata batal wudhu sudah tentu akan mendatangkan kesukaran kepada para ibu. Demikian juga saya secara peribadi memegang pandangan yang mengatakan menyentuh kemaluan tidak membatalkan wudhu akan tetapi sesiapa yang hendak memperbaharui wudhu, maka sunat untuk dia memperbaharui wudhu, inilah pandangan yang dinyatakan oleh al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.   

Cetak
Wallahu a'lam