SDI 0521: Kerusi Khas Untuk Orang Sakit Boleh Sujud

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 1302

Soalan:
Apa pandangan islam jika org sakit sujud di atas kerusi spt dalam gambar?

Jawapan:

Ada perbezaan pendapat ulama dalam masalah ini. Dalam al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 29/246 dinyatakan:

إِذَا كَانَ عَاجِزًا عَنِ السُّجُودِ وَأَمْكَنَ رَفْعُ وِسَادَةٍ وَنَحْوِهَا لِيَسْجُدَ عَلَيْهَا: فَعِنْدَ الْحَنَفِيَّةِ وَالْمَالِكِيَّةِ أَنَّهُ يُومِئُ بِالرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ، وَلاَ يَرْفَعُ إِلَى وَجْهِهِ شَيْئًا يَسْجُدُ عَلَيْهِ، وَاسْتَدَلُّوا بِمَا رَوَاهُ جَابِرٌ رضي الله عنه: أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ عَادَ مَرِيضًا فَرَآهُ يُصَلِّي عَلَى وِسَادَةٍ، فَأَخَذَهَا فَرَمَى بِهَا، فَأَخَذَ عُودًا لِيُصَلِّيَ عَلَيْهِ، فَأَخَذَهُ فَرَمَى بِهِ وَقَال: صَل عَلَى الأَْرْضِ إِنِ اسْتَطَعْتَ وَإِلاَّ فَأَوْمِئْ إِيمَاءً، وَاجْعَل سُجُودَكَ أَخْفَضَ مِنْ رُكُوعِكَ، وَذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ إِلَى أَنَّهُ يَجُوزُ لَهُ ذَلِكَ، أَوْ يُومِئُ بِالسُّجُودِ، فَهُوَ بِالْخِيَارِ بَيْنَ هَذَا وَذَاكَ؛ لأَِنَّ الْكُل مَرْوِيٌّ عَنْ رَسُول اللَّهِ ﷺ، لِقَوْل عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ: سَأَلْتُ أَبِي عَنِ الْمَرِيضِ يُومِئُ أَوْ يَسْجُدُ عَلَى مِرْفَقَةٍ؟ قَال: كُل ذَلِكَ قَدْ رُوِيَ، لاَ بَأْسَ بِهِ إِنْ شَاءَ اللَّهُ. وَالإِْيمَاءُ مَرْوِيٌّ عَنِ ابْنِ عُمَرَ وَابْنِ مَسْعُودٍ رضي الله عنهم مَوْقُوفًا وَرُوِيَ عَنْ جَابِرٍ مَرْفُوعًا، وَالسُّجُودُ عَلَى الْمِرْفَقَةِ مَرْوِيٌّ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ وَأُمِّ سَلَمَةَ رضي الله عنهم.

"Jika seseorang itu tidak mampu sujud dan memungkinkan dia meninggikan bantal atau seumpamanya untuk sujud di atasnya: (dalam persoalan ini) para di ulama mazhab Hanafi dan Maliki berpandangan, dia hanya perlu melakukan isyarat untuk ruku' dan sujud. Tidak perlu ditinggikan sesuatu agar hampir kepada muka untuk sujud di atasnya. Mereka berdalilkan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA: “Bahawa Nabi SAW pernah menziarahi seorang pesakit. Baginda melihat orang itu solat di atas bantal, lalu baginda mengambil bantal tersebut dan membuangnya. Lalu orang itu mengambil sebatang kayu untuk solat (sujud) di atasnya. Baginda sekali lagi mengambil kayu itu dan membuangnya seraya bersabda: "Tunaikan solat di atas lantai jika kamu berkemampuam, jika tidak mampu, maka lakukan isyarat dan jadikan sujud kamu lebih rendah daripada ruku'.” Ulama mazhab al-Syafie dan Hambali pula berpandangan (orang sakit) boleh sujud di atas sesuatu yang ditinggikan. Boleh juga membuat isyarat sahaja untuk sujud. Orang yang sakit itu diberi pilihan nak buat yang ini atau yang itu. Ini kerana kedua-duanya ada diriwayatkan dari Rasulullah SAW. Hal ini berdasarkan perkataan Abdullah bin Ahmad bin Hambal: "Aku bertanya kepada bapaku tentang orang sakit yang sujud dengan isyarat atau di atas suatu penampung?" Beliau menjawab: "semuanya (kedua-duanya) ada diriwayatkan, tidak mengapa insyaAllah. Sujud dengan isyarat itu diriwayatkan daripada Ibn 'Umar dan Ibn Mas'ud secara mawquf dan diriwayatkan juga daripada Jabir secara marfu'. Manakala sujud di atas sesuatu penampung pula diriwayatkan daripada Ibn 'Abbas dan Ummu Salamah RA." - tamat petikan -

Di samping itu, terdapat pula beberapa ulama yang membantah perbuatan orang sakit sujud di atas suatu penampung. Antara yang melarang itu:

1) al-Imam al-Son‘ani berdasarkan kenyataannya setelah menyenaraikan hadis dari Jabir dan Ibn 'Umar, beliau berkata:

وَالْحَدِيثُ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّهُ لَا يَتَّخِذُ الْمَرِيضُ مَا يَسْجُدُ عَلَيْهِ حَيْثُ تَعَذَّرَ سُجُودُهُ عَلَى الْأَرْضِ، وَقَدْ أَرْشَدَهُ إلَى أَنَّهُ يَفْصِلُ بَيْنَ رُكُوعِهِ وَسُجُودِهِ، وَيَجْعَلُ سُجُودَهُ أَخْفَضَ مِنْ رُكُوعِهِ، فَإِنْ تَعَذَّرَ عَلَيْهِ الْقِيَامُ وَالرُّكُوعُ فَإِنَّهُ يُومِئُ مِنْ قُعُودٍ لَهُمَا جَاعِلًا الْإِيمَاءَ بِالسُّجُودِ أَخْفَضَ مِنْ الرُّكُوعِ، أَوْ لَمْ يَتَعَذَّرْ عَلَيْهِ الْقِيَامُ، فَإِنَّهُ يُومِئُ لِلرُّكُوعِ مِنْ قِيَامٍ، ثُمَّ يَقْعُدُ وَيُومِئُ لِلسُّجُودِ مِنْ قُعُودٍ؛ وَقِيلَ فِي هَذِهِ الصُّورَةِ يُومِئُ لَهُمَا مِنْ قِيَامٍ يَقْعُدُ لِلتَّشَهُّدِ، وَقِيلَ يُومِئُ لَهُمَا كِلَيْهِمَا مِنْ الْقُعُودِ، وَيَقُومُ لِلْقِرَاءَةِ، وَقِيلَ: يَسْقُطُ عَنْهُ الْقِيَامُ، وَيُصَلِّي قَاعِدًا، فَإِنْ صَلَّى قَائِمًا جَازَ، وَإِنْ تَعَذَّرَ عَلَيْهِ الْقُعُودُ أَوْمَأَ لَهُمَا مِنْ قِيَامٍ .

"Hadis ini menunjukkan orang sakit tidak perlu mengadakan sesuatu untuk sujud di atasnya ketika dia tidak mampu sujud di atas lantai. Telah ada bimbingan bahawa (orang sakit) agar membezakan antara ruku' dan sujud dengan menjadikan sujud lebih rendah dari ruku'. Jika dia tidak mampu berdiri dan ruku', maka lakukan isyarat ketika duduk untuk kedua-duanya (berdiri dan ruku') dengan menjadikan isyarat sujud lebih rendah dari ruku'. Atau jika dia mampu berdiri (namun tak mampu ruku'), maka dia membuat isyarat untuk ruku' dari keadaan berdiri. Kemudian duduk dan membuat isyarat untuk sujud dari keadaan duduk. Dikatakan juga, dalam situasi seperti ini (tidak mampu ruku' dan sujud), dia membuat isyarat untuk kedua-duanya dari keadaan berdiri, dia duduk untuk tasyahud. Dikatakan juga dia membuat isyarat untuk kedua-duanya dari keadaan duduk dan dia berdiri untuk membaca (al-Fatihah dan surah). Dikatakan juga, gugur darinya (kewajipan) berdiri. Dia solat secara duduk. Jika dia solat secara berdiri, boleh juga. Jika tidak mampu duduk, dia membuat isyarat untuk kedua-duanya dari keadaan berdiri." (Subul al-Salam 2/207)

2) Fatwa Lajnah Daimah 'Arab Saudi (6/356, bilangan 17282. Jilid yang sama/437, bilangan 3956)

3) al-Syeikh Ibn 'Uthaimin dalam Majmu' al-Fatawa al-Syeikh Ibn 'Uthaimin (13/135). Ketika ditanya tentang seorang wanita yang dalam keuzuran untuk solat, beliau berkata:

"Alhamdulillah, Sabda Nabi SAW kepada 'Imran bin Husain (yang berpenyakit buasir) "Solatlah secara berdiri, jika tidak mampu, solatlah secara duduk, jika tidak mampu, solatlah secara di atas lambung." Jika wanita ini (yang ditimpa sakit) tidak mampu berdiri, kami katakan kpdanya: "Solatlah secara duduk, dia duduk bersila bagi kedudukan berdiri (di dalam solat), sepertimana yang telah sahih dari Nabi SAW. Kemudian dia membuat isyarat ruku' dalam keadaan duduk bersila itu. Kemudian jika mampu sujud, dia sujud, jika tidak mampu, dia membuat isyarat dengan kepalanya lebih banyak (tunduk) dari isyarat tunduknya untuk ruku'. Dan bukan termasuk sunnah untuk dia meletakkan bantal atau sesuatu lain agar sujud di atasnya. Bahkan hal ini lebih hampir kepada makruh. Ini kerana perbuatan itu termasuk melampau dan berpayah-payahan dalam mengamalkan agama Allah. Telah thabit dari Nabi SAW yang bersabda; "binasa orang-orang yang melampau, binasa orang-orang yang melampau, binasa orang-orang yang melampau." - tamat petikan -

4) al-Syeikh al-Albani RH setelah mendatangkan hadis-hadis tentang permasalahn ini, berkata:

"Dan yang tidak diragukan lagi bahawa hadis ini dengan himpunan jalan-jalannya (periwayatannya) adalah Sahih... Abu 'Iwanah telah meriwayatkan dalam Musnadanya (2/338) daripada 'Umar bin Muhammad yang berkata: "Kami menziarahi Hafs bin 'Asim ketika beliau sakit, katanya: "beliau menceritakan kepada kami: "Masuk menemui ku bapa saudaraku 'Abdullah bin 'Umar. Beliau mendapati aku meletakkan khumrah di atas bantal (atau suatu penampung): "Aku sujud di atasnya." Beliau berkata kepadaku: "wahai anak saudaraku, jangan kamu melakukan perkara ini. Temukan wajahmu ke bumi (lantai), jika tidak mampu, lakukan isyarat dengan kepalamu." Isnad riwayat ini Sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim. (al-Silsilah al-Sahihah 1/577, bilangan 323)

Kesimpulan:

Saya lebih cenderung kepada pandangan mazhab Hanafi dan Maliki dengan disokong hujah-hujah yang dinyatakan oleh ulama lain. Selain itu kerusi seperti di dalam gambar tidak memberi sumbangan dalam kesempurnaan solat. Ini kerana:

1) Kerusi tersebut tidak menjadikan sujud itu sempurna kerana yang dikatakan sujud adalah apabila kepala lebih rendah daripada pinggang.

2) Sujud yang sempurna adalah di atas 7 anggota di atas lantai. Kerusi tersebut tidak memenuhi sifat ini.

3) Keberadaan kerusi dengan saiz seperti yang ditanya akan menimbulkan masalah ruang d dalam masjis terutama jika ia banyak. Dalam masa yang sama, tanpa menggunakannya tidaklah mengurangkan kesempurnaan solat sama sekali. Justeru kenapa perlu dihabiskan duit untuk mendapatkannya?

Namun persoalan ini kekal dalam persoalan khilaf. Setiap orang tidak boleh berkeras dengan org lain yang berbeza pandangan dengannya. Melainkam jika pihak masjid tidak membenarkan penggunaan kerusi spt ini. Maka ketika itu hendaklah para jemaah mematuhinya.

Cetak
Wallahu a'lam