Tidak Boleh Keluar Dari Ihram Haji & Umrah Tanpa Tahallul

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 3726

Para ulama juga berbeza pandangan, budak-budak yang belum baligh apabila berihram, maka dia kena tinggalkan semua tegahan haji seperti tidak boleh memakai pakaian berjahit dan bersarung, tidak boleh memakai kopiah, wangian, yang perempuan tidak boleh menutup muka dan seumpamanya. Jadi penjaga atau emak ayah budak tersebut hendaklah membimbing dan menjaga anak mereka yang berihram dari melakukan larangan ihram. 

Katakan budak yang belum baligh itu melakukan kesalahan atau larangan ihram. Apakah emak ayahnya perlu mengeluarkan dam untuk anak mereka tersebut atau bagaimana? Bagaimana juga bila budak yang belum baligh itu, tidak mahu melaksanakan ibadah haji atau umrah sehingga selesai? Apakah hukumnya? 

Tuan-tuan kena tahu, ada beberapa ibadah apabila kita  masuk atau mula melakukannya kita tidak boleh batalkan ibadat tersebut melainkan mesti kena habiskan. Antara ibadah itu adalah haji dan umrah. Bila kita sampai di miqat haji atau umrah, kita tidak boleh batalkan haji atau umrah itu melainkan mesti habiskan dengan tahallul. Katakan seorang pergi nak buat umrah atau haji. Bila sampai di miqat dia berihram, tiba-tiba bila sampai di Mekah untuk melakukan tawaf, dia dapati orang terlalu ramai, dia kata: "Ramai sangat orang ni, sudah nak tawaf." sebagai contoh. Lalu orang itu batalkan niat untuk melakukan haji atau umrah sedangkan dia telah pun berniat ihram di miqat. Diapun buka kain ihramnya. Perbuatan ini salah dan tak boleh dilakukan. Dia masih seorang yang berstatus muhrim atau seorang yang berada dalam ihram. Bila dia pakai baju, bermakna dia melakukan tegahan ihram, dia duduk dia Mekah atau dia balik terus ke negara dia, dia seorang yang masih dalam ihram haji atau umrah yang dia masih belum keluar dan bebas dari hukum-hakamnya. Dia buat kesalahan yang berat. 

Kerana itu ambil perhatian sesiapa yang hendak melaksanakan haji ataupun umrah. Pastikan buat sampai habis. Sesiapa yang ada menjangkakan mungkin dia tak dapat selesaikan haji atau umrahnya kerana ada sesuatu halangan yang akan dihadapinya, seperti badan yang tidak sihat atau seumpamanya. Jalan keluarnya ialah dengan dia melakukan niat syarat dengan berkata اَللَّهُمَّ إِنْ حَبَسَنِيْ حَابِسٌ، فَمَحِلِّيْ حَيْثُ حَبَسْتَنِيْ. Untuk bincang perkara ini kena bincang di kesempatan lain. Jadi bila berlaku halangan ke atas diri dia dia bertahallul disebabkan ada halangan tersebut. Tapi kalau dia tak berniat syarat, dia wajib habiskan hai atau umrahnya tersebut. Selain ibadah haji dan umrah, solat jenazah juga demikian, bila kita dah mula kita tidak boleh membatalkannya melainkan perlu habiskan hingga selesai. 

Jadi bagaimana budak yang belum baligh nak batalkan ihram haji atau umrahnya? Para ulama berbeza pandangan. Majoriti ulama berpandangan budak tersebut kena dam sama seperti orang dewasa. Berbeza dengan mazhab Hanafi kata tidak perlu, kerana budak yang belum baligh bukan seorang mukallaf. Tidak dicatit kesalahan yang dia lakukan. Bila dia buat haji atau umrah, dia memperolehi pahala, tetapi jika dia buat kesalahan dengan membatalkan niatnya, dia tidak dicatit sebagai satu kesalahan dan dosa, kerana dia belum baligh dan belum mukallaf. Beberapa ulama kemudian antaranya al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin RH mengambil pandangan mazhab Hanafi ini, sekalipun al-'Uthaimin ini bermazhab Hambali, tetapi beliau melihat pandangan Abu Hanifah atau mazhab Hanafi ini lebih mendatangkan keringanan kepada orang ramai.  

 

 

 

Cetak
Wallahu a'lam