Haji Rasulullah SAW Berdasarkan Hadis Jabir bin Abdillah RA (1)

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 770

HADIS JABIR RA TENTANG HAJI NABI SAW

Kata al-Imam Muslim RH[1]:

Menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abi Syaibah dan Ishak bin Ibrahim, keduanya daripada Hatim. Kata Abu Bakr: “Menceritakan kepada kami Hatim bin Ismail al-Madaniy daripada Ja’far bin Muhammad daripada bapanya yang berkata:  

 دَخَلْنَا علَى جَابِرِ بنِ عبدِ اللهِ، فَسَأَلَ عَنِ القَوْمِ حتَّى انْتَهَى إلَيَّ، فَقُلتُ: أَنَا مُحَمَّدُ بنُ عَلِيِّ بنِ حُسَيْنٍ، فأهْوَى بيَدِهِ إلى رَأْسِي، فَنَزَعَ زِرِّي الأعْلَى، ثُمَّ نَزَعَ زِرِّي الأسْفَلَ، ثُمَّ وَضَعَ كَفَّهُ بيْنَ ثَدْيَيَّ وَأَنَا يَومَئذٍ غُلَامٌ شَابٌّ، فَقالَ: مَرْحَبًا بكَ يا ابْنَ أَخِي، سَلْ عَمَّا شِئْتَ، فَسَأَلْتُهُ، وَهو أَعْمَى، وَحَضَرَ وَقْتُ الصَّلَاةِ، فَقَامَ في نِسَاجَةٍ مُلْتَحِفًا بهَا، كُلَّما وَضَعَهَا علَى مَنْكِبِهِ رَجَعَ طَرَفَاهَا إلَيْهِ؛ مِن صِغَرِهَا، وَرِدَاؤُهُ إلى جَنْبِهِ علَى المِشْجَبِ، فَصَلَّى بنَا،

“Kami menemui Jabir bin Abdillah RA, beliau bertanya tentang kami (minta kami perkenalkan diri) sehingga sampai kepadaku. Lalu Daku memperkenalkan diri dengan berkata: “Daku Muhammad bin ‘Ali bin Husain.” Tiba-tiba beliau menghulurkan tangannya ke kepalaku, dan membuka butang teratas bajuku sehingga butang yang terbawah. Setelah itu beliau meletakkan tapak tangannya di antara dua tetek dadaku. Ketika itu daku masih seorang remaja. Beliau berkata: “Selamat datang kepadamu, wahai anak saudaraku.[2] Tanyalah apa yang kamu mahu.” Lalu aku bertanyakan kepada beliau yang ketika itu telah buta. Tiba-tiba masuk waktu solat. Lalu beliau berdiri diselimuti kain nisajah (sejenis kain selimut). Setiap kali beliau membetulkan letak kain selimut itu di atas bahu, kedua-dua hujung kain selimut itu kembali turun, disebabkan saiz selimut yang kecil, manakala kain selendang beliau tergantung di alat gantungan di sisinya. Beliau solat bersama kami (menjadi imam).

 

MENCONTOHI HAJI NABI SAW

 فَقُلتُ: أَخْبِرْنِي عن حَجَّةِ رَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ، فَقالَ بيَدِهِ فَعَقَدَ تِسْعًا، فَقالَ: إنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ مَكَثَ تِسْعَ سِنِينَ لَمْ يَحُجَّ، ثُمَّ أَذَّنَ في النَّاسِ في العَاشِرَةِ أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ حَاجٌّ، فَقَدِمَ المَدِينَةَ بَشَرٌ كَثِيرٌ، كُلُّهُمْ يَلْتَمِسُ أَنْ يَأْتَمَّ برَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ، وَيَعْمَلَ مِثْلَ عَمَلِهِ.

(Setelah selesai solat) daku bertanya kepadanya: “Ceritakan kepada kami tentang haji Rasulullah SAW.” Lalu Jabir bin ‘Abdillah RA membuat simbul sembilan dengan jari-jarinya dan berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW (berada di Madinah) selama sembilan tahun tidak melaksanakan haji[3]. Kemudian pada tahun yang ke sepuluh diumumkan kepada orang ramai bahawa Rasulullah SAW akan melaksanakan haji (pada tahun tersebut), ramailah orang yang datang ke Madinah pada tahun itu[4] untuk mencontohi ibadah haji yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan melakukan apa-apa yang dilakukan oleh baginda.”

 

PERMULAAN PERJALANAN HAJI BERSAMA RASULULLAH SAW

Kata Jabir bin ‘Abdillah RA:[5] [6]

فَخَرَجْنَا معهُ، حتَّى أَتَيْنَا ذَا الحُلَيْفَةِ، فَوَلَدَتْ أَسْمَاءُ بنْتُ عُمَيْسٍ مُحَمَّدَ بنَ أَبِي بَكْرٍ، فأرْسَلَتْ إلى رَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: كيفَ أَصْنَعُ؟ قالَ: اغْتَسِلِي، وَاسْتَثْفِرِي بثَوْبٍ وَأَحْرِمِي. فَصَلَّى رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ في المَسْجِدِ، ثُمَّ رَكِبَ القَصْوَاءَ، حتَّى إذَا اسْتَوَتْ به نَاقَتُهُ علَى البَيْدَاءِ، نَظَرْتُ إلى مَدِّ بَصَرِي بيْنَ يَدَيْهِ، مِن رَاكِبٍ وَمَاشٍ، وَعَنْ يَمِينِهِ مِثْلَ ذلكَ، وَعَنْ يَسَارِهِ مِثْلَ ذلكَ، وَمِنْ خَلْفِهِ مِثْلَ ذلكَ، وَرَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ بيْنَ أَظْهُرِنَا، وَعليه يَنْزِلُ القُرْآنُ، وَهو يَعْرِفُ تَأْوِيلَهُ، وَما عَمِلَ به مِن شَيءٍ عَمِلْنَا بهِ.

“Kami keluar bersama baginda sehingga sampai di Zu al-Hulaifah[7]. Tiba-tiba Asma’ binti ‘Umais (أسماء بنت عميس) melahirkan Muhammad bin Abi Bakr. Lalu Asma’ menghantar seorang utusan berjumpa dengan Rasulullah SAW dan bertanya: “Bagaimana yang perlu aku lakukan?” Jawab baginda SAW: “mandilah (mandi ihram), halanglah[8] darah (nifas) yang keluar dengan sesuatu kain, setelah itu berihramlah.” (Ketika di Zu al-Hulaifah), Rasulullah SAW menunaikan solat di masjid[9] (di Zu al-Hulaifah). Setelah itu baginda menaiki Qashwa’ القصواء[10] sehinggalah unta itu membawa baginda berada di al-Baidaa’ (البيداء - bukit kecil di penjuru Zu al-Hulaifah)[11]. Aku (Jabir bin Abdillah RA) memandang ke arah hadapan baginda dipenuhi dengan manusia yang berkenderaan dan berjalan kaki, seumpama itu juga di arah kanan, kiri dan belakang baginda SAW. Rasulullah SAW berada bersama kami, kepadanya diturunkan al-Quran, baginda mengetahui tafsirannya. Apa-apa yang baginda amalkan, kami juga turut amalkan.



[1] Hadis Sahih Muslim bilangan: 1218

[2] Anak saudara seagama, bukan anak saudara nasab.

[3] Ittifaq para ulama, setelah Nabi SAW berhijrah ke Madinah baginda tidak ada melaksanakan haji melainkan sekali iaitulah dalam peristiwa Haji Wada’ (حجة الوداع) iaitulah haji yang sedang diterangkan berdasarkan riwayat dari Jabir bin Abdillah RA ini. Haji Wada’ ini berlaku dalam tahun ke-10 Hijriyyah

[4] Dalam riwayat al-Nasaie dinyatakan:

فلم يبق أحد يقدر أن يأتي راكبا أو راجلا إلا قدم

Maksudnya: “Tidak tinggal seorangpun yang mampu berkenderaan atau berjalan kaki, melainkan pasti akan datang (ke Madinah).”  

            Dalam riwayat al-Nasaie dan al-Syafie dalam Musnadnya:

فتدارك الناس ليخرجوا معه

Maksudnya:  “Orang ramai berhimpun untuk keluar (melaksanakan haji) bersama baginda.”

[5] Dalam riwayat Muslim yang lain, Abu Nu‘aim dalam al-Mustakhraj, Ibn Majah, al-Syafie dalam al-Musnad dan al-Tayalisi terdapat tambahan:

وقال جابر رضي الله عنه: سمعت – قال الراوي: أحسبه رفع إلى النبي صلى الله عليه وسلم، (وفي رواية قال: خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم: مج) فقال: مُهَلُّ أهل المدينة من ذي الحليفة، و مهل أهل الطريق الآخر الجحفة، ومهل أهل العراق من ذات عرق، ومهل أهل نجد من قرن، ومهل أهل اليمن من يلملم

Maksudnya: “Berkata Jabir RA: “Aku mendengar – Kata Rawi: “Aku mengira beliau menyandarkan perkataannya kepada Nabi SAW.”- (dalam riwayat Ibn Majah beliau berkata: “Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami.” Baginda bersabda: “Tempat ihram (miqat)) penduduk Madinah dari Zu al-Hulaifah, tempat ihram penduduk melalui jalan Juhfah adalah di al-Juhfah, tempat ihram bagi penduduk ‘Iraq dari Zat ‘Irq, tempat ihram penduduk Najd dari Qarn, dan tempat ihram bagi penduduk Yaman dari Yalamlam.”

Maklumat Ringkas Berkaitat Miqat

  1. Zu al-Hulaifah: Kata mufradnya ialah الحَلْفَى iaitulah sejenis pokok yang dahulunya memenuhi kawasan tengah-tengah wadi tersebut yang dinamakan al-Aqiq العقبق. Sekarang ini kebanyakan orang menamakannya sebagai Wadi ‘Urwah kerana dahulunya ‘Urwah bin al-Zubair RA memiliki kebun tanaman di wadi ini. Sabit dalam Sahih al-Bukhari, daripada Ikrimah yang mendengar Ibn ‘Abbas RA berkata:

إِنَّهُ سَمِعَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِوَادِي الْعَقِيقِ يَقُولُ أَتَانِي اللَّيْلَةَ آتٍ مِنْ رَبِّي فَقَالَ صَلِّ فِي هَذَا الْوَادِي الْمُبَارَكِ وَقُلْ عُمْرَةً فِي حَجَّةٍ

 Maksudnya:  “Beliau pernah mendengar ‘Umar berkata, beliau pernah mendengar Nabi SAW bersabda di Wadi al-‘Aqiq: Telah datang kepadaku sesuatu (Jibril) dari tuhanku dan berkata: “Tunaikan solat di wadi (lembah) yang diberkati ini, dan katakan: “Umrah di dalam haji.” (Sahih al-Bukhari – Bab Qaul al-Nabiy SAW al-‘Aqiq Wadi Mubarak, hadis bil: 1461).

Hadis ini dijadikan antara dalil oleh majoriti ulama adanya solat sunat Ihram seperti yang dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr, al-Nawawi dan yang lainnya. Pandangan ini berbeza dengan pandangan al-Hasan al-Basri dan sebahagian ulama tabi’ien yang lain.

Para ulama juga berbeza pandangan apakah disunatkan seseorang yang hendak berihram memilih untuk bertepatan dengan mana-mana waktu solat fardhu, lalu dia memulakan ihramnya selepas selesai menunaikan solat fardhu tersebut. Atau apakah disunatkan bagi seseorang yang hendak berihram menunaikan solat sunat khas sempena ihram jika masa berihramnya bukan pada waktu solat fardhu? Terdapat dua pandangan ulama:

  • ‘Ato’, Tawus, Malik, Sufyan al-Thauri, Abu Hanifah, Ishak, Ibn al-Munzir dan pandangan ulama Hambali ialah sesiapa yang waktu ihramnya bukan pada waktu solat fardhu, sunat menunaikan solat sunat ihram dua rakaat.
  • Sebahagian ulama lain seperti Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim berpandangan tiada solat sunat khusus sempena ihram. Jika waktu ihramnya menepati waktu solat fardhu, maka dia berihram selepas selesai menunaikan solat fardhu tersebut. Jika tidak, tiada solat sunat khas untuk berihram.

            Nabi SAW ketika melakukan haji wada’, baginda SAW memulakan perjalanan selepas menunaikan solat Zohor di masjid baginda di Madinah menuju ke Zul Hulaifah. Di Zul Hulaifah baginda menunaikan solat Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Nabi SAW memulakan Ihram sebaik sahaja selesai menunaikan solat ketika berada di Zul Hulaifah. Para ulama berbeza pandangan apakah solat yang ditunaikan oleh Nabi SAW tersebut? Apakah solat Subuh pada hari kedua setelah baginda sampai di Zul Hulaifah? Atau selepas solat Zohor pada hari kedua tersebut? al-Imam al-Nawawi berpandangan baginda menunaikan solat Subuh pada hari kedua, setelah itu baginda berihram. Manakala sebahagian ulama lain seperti Ibn al-Qayyim dan Ibn Kathir berpandangan nabi SAW berihram sebaik sahaja selesai menunaikan solat Zohor pada hari kedua tersebut. al-Syeikh Dr. ‘Abd al-‘Aziz al-Tarifi berpandangan pandangan Ibn al-Qayyim dan Ibn Kathir ini adalah yang sahih kerana terdapat bukti dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata:

صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر بذي الحليفة ثم دعا بناقته فأشعرها في صفحة سنامها الأيمن وسلت الدم وقلدها نعلين ثم ركب راحلته، فلما استوت به على البيداء أهل بالحج 

 Maksudnya: “Rasulullah SAW menunaikan solat Zohor di Zul Hulaifah, kemudian baginda minta dibawakan unta yang hendak dijadikan hady dan melukakannya di bahagian kanan bonggolnya, menyapu darah yang keluar dan menggantungkan dua selipar baginda di tengkok unta tersebut, kemudian baginda menaiki unta lainnya. Apabila baginda telah menetap di atas tunggangan di al-Baidaa’ (kawasan lapang yang berada di hadapan Zul Hulaifah menuju ke Mekah), baginda bertalbiah untuk memulakan Haji.”

            Hadis ini menunjukkan solat yang ditunaikan oleh nabi SAW sebelum mengenakan ihram ialah solat fardhu Zohor. Kerana itu termasuk di dalam sunnah ialah berusaha mengenakan ihram sebaik sahaja selesai menunaikan solat Fardhu di Zul Hulaifah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat baginda RA yang telah sabit dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Malik, daripada Nafi’, daripada Abdullah bin ‘Umar RA bahawa Rasulullah SAW mendudukkan tunggangan baginda di al-Bathhaa’ (البطحاء) di Zul Hulaifah, baginda menunaikan solat di situ dan demikianlah yang dilakukan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar.” (al-Bukhari 1532 dan Muslim 1257)

            Zu al-Hulaifah (ذو الحليفة) berada pada jarak enam Mil (batu) dari Madinah seperti yang dinyatakan dalam al-Qamus. Juga disebut oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah 5/114. 450KM dari Mekah. Miqat penduduk Madinah dan mereka yang datang dari arah Madinah

  1. al-Juhfah (الجحفة), jaraknya dari Mekah sekitar tiga marhalah seperti yang dinyatakan oleh Ibn Taimiyyah dalam Manasak al-Hajj. 183KM dari Madinah. Miqat penduduk Sham, Maghrib, Mesir dan yang datang dari arah mereka. Pernah menjadi satu bandar yang makmur, dahulunya disebut sebagai Mahya‘ah (مَهْيَعَةً) yang telah runtuh dan musnah. Hari ini orang ramai berihram di tempat bernama Rabigh رابغ.
  2. Zat ‘Irq (ذات عرق) satu kawasan di padang pasir yang menjadi batas pemisah antara Najd dan Tuhamah. Jaraknya dari Mekah adalah sejauh 42 mil seperti yang dinyatakan dalam al-Fath. 94KM dari Madinah. Miqat penduduk 'Iraq dan yang datang dari arah yang sama.
  3. Qarnul Manazil قرن المنازل, 75KM dari Madinah. Miqat penduduk Najd dan yang datang dari arah mereka. Sekarang dinamakan sebagai al-Sail al-Kabir السيل الكبير.
  4. Yalamlam (يلملم), jaraknya dari Mekah sejauh dua marhalah, 30 mil. 92 KM dari Madinah. Miqat penduduk Yaman dan sesiapa yang datang dari arah yang sama. Sekarang ini orang ramai akan berihram di Sa'diyyah السعدية.

[6] Dalam riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad dengan lafaz: قال: فخرج رسول الله صلى الله عليه وسلم  bermaksud: “Kata Jabir: “Rasulullah SAW keluar (memulakan perjalanan Haji)” Dalam riwayat al-Nasa’ie, Ibn al-Jarud dan al-Baihaqi terdapat tambahan: لخمس بقين من ذي القعدة أو أربع bermaksud: “Pada lima atau empat hari berbaki dari bulan Zul Qaedah.” Dalam riwayat al-Nasa’ie juga terdapat tambahan: وساق هديا maksudnya: “Baginda membawa bersama haiwan hady.”  

[7] Dalam riwayat Muslim dan Abu al-Nu‘aim dalam al-Mustakhraj terdapat tambahan lafaz: معنا النساء والولدان maksudnya: “Turut bersama dengan kami para wanita dan anak-anak.”  

[8] واستثفري adalah الاستثفار iaitu menggunakan perca kain untuk menghalang darah dari mengalir keluar.

[9] Dalam riwayat al-Nasa’ie terdapat tambahan: وهو صامت maksudnya: “Baginda mendiamkan diri.” Kata al-Albani ketika menghuraikan ayat ini: “Baginda masih belum bertalbiah. Sebaliknya baginda memulakan talbiah apabila berada di atas unta baginda.”

[10] القصواء dengan baris fathah huruf “Qaf” adalah nama unta baginda SAW. al-Qaswaa’ ini juga memiliki nama-nama lain seperti al-Ghadhbaa’ (الغضباء) dan al-Jad ‘aa’ (الجدعاء). Dikatakan juga nama-nama ini adalah untuk beberapa ekor unta Nabi SAW. (Lihat Syarh Muslim a-Nawawi, melalui Hajjah al-Nabi al-Albani, nota kaki: 14)

[11] Dalam riwayat Ibn Majah dan Ibn Sa‘ad terdapat lafaz tambahan: أهل بالحج dan أفرد الحج bermaksud: “Baginda bertalbiah haji” dan “Baginda melakukan melakukan haji ifrad.”

Cetak
Wallahu a'lam