Haji Rasulullah SAW Berdasarkan Hadis Jabir bin Abdillah RA (2)

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 553

TALBIAH[1] BAGINDA NABI SAW

Kata Jabir RA:

 فَأَهَلَّ بالتَّوْحِيدِ: لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لا شَرِيكَ لكَ لَبَّيْكَ، إنَّ الحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ، لا شَرِيكَ لكَ، وَأَهَلَّ النَّاسُ بهذا الذي يُهِلُّونَ به، فَلَمْ يَرُدَّ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ عليهم شيئًا منه، وَلَزِمَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ تَلْبِيَتَهُ.

Lalu baginda SAW melaungkan kalimah tauhid[2]:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لا شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إنَّ الحَمْدَ والنِّعْمَةَ لَكَ والْمُلْكَ، لا شَرِيكَ لَكَ

Orang ramai juga turut melaungkan kalimah tauhid mereka[3], dan Rasulullah SAW tidak membantah sedikitpun kalimah tauhid (talbiah) yang diungkapkan oleh orang ramai tersebut[4]. Namun Rasulullah SAW tetap melaungkan kalimah talbiah[5] baginda.

 

SAMPAI DI MEKAH DAN MELAKUKAN TAWAF

Kata Jabir bin Abdillah RA:

قالَ جَابِرٌ رَضِيَ اللَّهُ عنْه: لَسْنَا نَنْوِي إلَّا الحَجَّ، لَسْنَا نَعْرِفُ العُمْرَةَ، حتَّى إذَا أَتَيْنَا البَيْتَ معهُ، اسْتَلَمَ الرُّكْنَ فَرَمَلَ ثَلَاثًا وَمَشَى أَرْبَعًا، ثُمَّ نَفَذَ إلى مَقَامِ إبْرَاهِيمَ عليه السَّلَام، فَقَرَأَ: {وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى} [البقرة: 125]، فَجَعَلَ المَقَامَ بيْنَهُ وبيْنَ البَيْتِ، فَكانَ أَبِي يقولُ -وَلَا أَعْلَمُهُ ذَكَرَهُ إلَّا عَنِ النَّبيِّ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ-: كانَ يَقْرَأُ في الرَّكْعَتَيْنِ {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ}. ثُمَّ رَجَعَ إلى الرُّكْنِ فَاسْتَلَمَهُ،

Kata Jabir RA berikutnya:[6] “Semua kami yang turut serta bersama baginda tidak meniatkan melainkan hendak melaksanakan haji semata-mata (haji Ifrad)[7]. Tidak kami ketahui ibadah umrah (dalam musim haji).[8][9] Sehinggalah kami sampai di Kaabah[10] bersama baginda.[11] Nabi SAW melakukan Istilam di al-Rukn[12],[13] dan mula melakukan ramal[14] pada tiga pusingan (awal) dan berjalan biasa pada baki empat pusingan lagi.[15] Setelah itu (selesai dari tawaf) baginda menuju ke maqam Ibrahim AS sambil membaca:

وَاتَّخِذُوا مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى

Maksudnya: “Dan jadikanlah maqam Ibrahim itu sebagai tempat solat.”[16] (al-Baqarah: 125) Baginda menjadikan maqam Ibrahim berada di antara baginda dengan Kaabah[17]. Kata bapaku[18]: “Tidak aku ketahui, beliau (Jabir RA) menyebutnya melainkan dari Nabi SAW: Baginda membaca dalam dua rakaat tersebut Qulhuwallahu Ahad dan Qul Ya ayyuhal Kafirun.[19] [20] Setelah itu baginda kembai ke al-Rukn (Hajarul Aswad) dan melakukan istilam.



[1] Talbiah التلبية dari sudut bahasa bermaksud: memenuhi atau menyahut seruan penyeru (إجابة المنادي), dan diucap secara mutlak bagi merujuk kepada tetap melaksanakan ketaatan (وتُطْلَقُ على الإقامَةِ على الطَّاعَةِ). (Lihat Lisan al-‘Arab oleh Ibn Manzur 1/730).

[2] Iaitulah baginda bertalbiah dengan lafaz talbiah yang masyhur. Namun masih terdapat beberapa lafaz talbiah dari Nabi SAW. Antaranya: لبيك إلهَ الحق juga dengan lafaz: لبيك إلهَ الحق لبيك.

            Thabit juga dari para sahabat yang bertalbiah dengan lafaz yang berbeza dengan lafaz talbiah Nabi SAW, namun telah diperakui oleh Baginda SAW. Bukti baginda memperakui beberapa lafaz talbiah sahabat adalah perkataan Jabir di dalam hadis baginda yang panjang tentang sifat haji Rasulullah SAW:

وأهل الناس بهذا الذي يهلون به، فلم يَرُدُّ عليهم رسول الله صلى الله عليه وسلم شيئا منه، ولزم رسول الله صلى الله عليه وسلم تلبيته

Antara lafaz talbiah tersebut ialah:

  1. Talbiah ‘Umar:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيكَ لَك لَبَّيْكَ ، إنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَك وَالْمُلْكَ ، لَا شَرِيكَ لَك لَبَّيْكَ مَرْغُوبًا أَوْ مَرْهُوبًا ، لَبَّيْكَ ذَا النَّعْمَاءِ وَالْفَضْلِ الْحَسَنِ

 

  1. Ibn ‘Umar pula setelah melaungkan lafaz Talbiah yang disebut oleh Nabi SAW, beliau menambah:

لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، وَالْخَيْرُ بِيَدَيْكَ، لَبَّيْكَ وَالرَّغْبَاءُ إلَيْك وَالْعَمَلُ 

  1.  Talbiah Anas bin Malik:

لَبَّيْكَ حَقًّا حَقًّا، تَعَبُّدًا وَرِقًّا  

Namun bertalbiah dengan talbiah yang datang dari Nabi SAW adalah lebih aula.

[3] Dalam riwayat Ibn al-Jarud, al-Baihaqi dan Ahmad dengan lafaz: ولبى الناس maksudnya: “Dan orang ramai juga bertalbiah.” Dalam riwayat Ibn al-Jarud dan Ahmad yang lain terdapat lafaz: والناس يزيدون maksudnya: “Dan orang ramai menambah (lafaz Talbiah).” Dalam riwayat Abu Daud, Ahmad dan al-Baihaqi juga ada tambahan: لَبَّيْكَ ذا المَعارِجِ ولَبَّيْكَ ذا الفَواضِلِ maksudnya: “Daku menyahut seruan-Mu, wahai tuhan yang memiliki ma‘arij (tempat-tempat naik yang merujuk tempat-tempat naik para malaikat menurut perintah-Nya atau tuhan yang memiliki limpah kurnia yang mencurah-curah), daku menyahut seruan-Mu, wahai tuhan yang memiliki kecurahan nikmat dan kebaikan yang agung.”

Antara lafaz talbiah tersebut ialah:

  1. Talbiah ‘Umar:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيكَ لَك لَبَّيْكَ، إنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَك وَالْمُلْكَ، لَا شَرِيكَ لَك لَبَّيْكَ مَرْغُوبًا أَوْ مَرْهُوبًا، لَبَّيْكَ ذَا النَّعْمَاءِ وَالْفَضْلِ الْحَسَنِ

 

  1. Talbiah Ibn ‘Umar pula setelah melaungkan lafaz Talbiah yang disebut oleh Nabi SAW, beliau menambah:

لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، وَالْخَيْرُ بِيَدَيْكَ، لَبَّيْكَ وَالرَّغْبَاءُ إلَيْك وَالْعَمَلُ

  1.  Talbiah Anas bin Malik:

لَبَّيْكَ حَقًّا حَقًّا، تَعَبُّدًا وَرِقًّا

Namun bertalbiah dengan talbiah yang datang dari Nabi SAW adalah lebih aula atau lebih utama. Perkataan jabir: “Namun Rasulullah SAW tetap melaungkan kalimah talbiah baginda.menunjukkan keutamaan dan kelebihannya. Inilah pandangan al-Imam Malik dan al-Imam al-Syafie.

[4] Ini menunjukkan harus bertalbiah dengan selain dari talbiah Nabi SAW. Akan tetapi bertalbiah dengan talbiah yang diucapkan oleh Nabi SAW adalah yang terbaik atau afdhal. Inilah pandangan Imam Malik dan Imam Syafie

[5] Kalimah Talbiah التلبية bermaksud memenuhi atau menyahut seruan Allah kepada hamba-Nya untuk melaksanakan haji ke Baitullah melalui lisan kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW. Seorang yang mengungkapkan talbiah disebut sebagai al-Mulabbi (الملبّي), iaitulah seorang yang menyerahkan diri kepada Allah. Seorang yang mengungkapan talibiah, seperti dia berkata: “Sesungghnya kami menyahut seruan-Mu ya Allah, kamu menyerah diri kepada hikmah dan kebijaksanaan-Mu dan taat akan perintah-Mu satu persatu buat selama-lamanya.” (Lihat Manasik al-Hajj oleh Ibn Taimiyyah 56, cetakan pertama 1439H/2018M, tahkik: Dr. Anas bin Adil, Dar al-Raka-iz Li al-Nasyr wa al-Tauzi’, Kuwait)

[6] Dalam riwayat al-Bukhari terdapat tambahan: نحن نقول لبيك اللهم bermaksud: “Kami semua berseru: “daku menyahut seruan-Mu, ya Allah.”  Dalam riwayat lain bagi Muslim dan Ibn Majah: نحن نقول لبيك بالحج  maksudnya: “Kami berseru: “daku menyahut seruan-Mu dengan melaksanakan haji.” dalam riwayat Muslim lain dinyatakan: نَصْرُخُ صُرَاخًا maksudnya: “Kami menyebutnya dengan kuat.”

[7] Dalam riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Nasai’e dan al-Tahawi dalam Syarh al-Ma‘ani dengan lafaz: لسنا ننوي إلا الحج مفردا maksudnya: “Kami tidak meniatkan kecuali haji secara mufrid.” Dalam riwayat Ibn Majah: لا نخلطه بعمرة maksudnya: “Kami tidak menggabungkan haji dengan umrah.”

[8] Dalam riwayat Ibn al-Jarud, Jabir berkata: لسنا نعرف العمرة maksudnya: “Kami tidak mengetahui (boleh melakukan) haji dengan umrah.” Dalam riwayat Ibn Sa‘ad: أهللنا أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم بالحج خالصا ليس معه غيره، خالصا وحده maksudnya: “Kami para sahabat Nabi SAW bertalbiah melaksanakan haji semata-mata, tidak bersama dengan umrah.”  

            al-Albani RH mendakwa perkara ini berlaku sebelum baginda SAW mengajarkan kepada para sahabat bolehnya melaksanakan Umrah di dalam bulan-bulan haji, kerana terdapat beberapa hadis yang membuktikan baginda ada mengajar para sahabat bolehnya melaksanakan umrah di dalam bulan-bulan haji. Antaranya hadis daripada ‘Aisyah RA yang berkata: خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم (عام حجة الوداع) فقال: من أراد منكم أن يهل بحج وعمرة فليفعل، ومن أراد أن يهل بعمرة فليهل، قالت عائشة:... وكنت فيمن أهل بالعمرة maksudnya: “Kami telah keluar bersama Rasulullah SAW (pada tahun ditunaikan haji wada’), baginda bersabda: “Sesiapa daripada kalangan kamu semua yang hendak bertalbiah untuk melaksanakan haji bersama umrah, maka lakukanlah. Sesiapa yang hendak bertalnbiah untuk melaksanakan umrah sahaja, maka laksakanlah.” Kata ‘Aisyah RA: “Aku adalah dari kalangan mereka yang hanya bertalbiah untuk melaksanakan umrah sahaja.” (HR al-Bukhari dan Muslim. Lafaz ini berdasarkan riwayat Muslim. Lihat Hajjah al-Nabiy oleh al-Albani, hal: 56)

[9] Dalam riwayat Muslim dan Abu Nu‘aim dalam al-Mustakhraj: أقْبَلَتْ عائِشَةُ بعُمْرَةٍ، حتى إذا كانت بِسَرِفٍ عَرَكَتْ  maksudnya: “Datang ‘Aisyah dengan beliau telah bertalbiah untuk melaksanakan umrah. Apabila beliau sampai di Sarif (berdekatan dengan Tan‘im), beliau didatangi haid.”

[10] Dalam riwayat Muslim, Ibn Khuzaimah, Abu Daud, al-Nasai’e, Ibn Majah, al-Tahawi, al-Tayalisi, Ibn Sa‘ad, al-Baihaqi dan Ahmad: صبح رابعة مضت من ذي الحجة maksudnya: “pada Subuh hari keempat bulan Zulhijjah.” Dalam riwayat lain lagi: دخلنا مكة عند ارتفاع الضحى “Kami masuk ke Mekah ketika telah meninggi (matahari) waktu dhuha.”

[11] Dalam riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya, al-Hakim dan al-Baihaqi dinyatakan: أتى النبي ﷺ باب المسجد فأناخ راحلته ثم دخل المسجد          maksudnya: “Baginda sampai di pintu masjid dan mendudukkan haiwan tunggangan baginda, kemudian memasuki masjid.”

[12] Melakukan Istilam di al-Rukn. Dalam riwayat Ahmad dan Ibn al-Jarus dinyatakan: الحجر الأسود maksudnya: (baginda melakukan istilam pada) al-Hajr al-Aswad.” Iaitulah baginda menyapu Hajar al-Aswad yang berada di salah satu sudut Kaabah dengan tangan baginda. al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim mengatakan perbuatan ini sunnah dilakukan pada setiap tawaf.

            Berdasarkan hadis daripada Ibn ‘Umar, baginda SAW juga melakukan istilam di al-Rukn al-Yamani (الركن اليماني) pada tawaf tersebut tanpa menciumnya. Dalam riwayat Ibn ‘Umar menyatakan baginda hanya mencium al-Hajr al-Aswad dan semua perkara ini dilakukan dalam setiap pusingan. al-Albani RH menyatakan, berdasarkan sunnah yang perlu dilakukan di hajarul aswad ialah menciumnya, jika tidak dapat dilakukan, maka memadai istilam (menyapu dengan tangan) setelah itu mencium tangan tersebut. Jika tidak dapat dilakukan istilam, memadai dengan melakukan isyarat kepadanya (dengan melambaikan tangan) kepada hajarul aswad. Perkara ini tidak disyariatkan untuk dilakukan pada sudut-sudut yang lain, melainkan pada rukun (sudut) Yamani, di mana dianjur untuk melakukan istilam padanya tanpa perlu mencium.

            Disunatkan juga bertakbir ketika sampai di sudut hajarul aswad pada setiap kali pusingan berdasarkan hadis Ibn ‘Abbas RA yang berkata: طاف النبي صلى الله عليه وسلم بالبيت على بعيره، كلما أتى الركن أشار إليه بشيء كان عنده وكبر maksudnya: “Baginda Nabi SAW  pernah tawaf di Kaabah di atas unta. Setiap kali baginda sampai di sudut hajarul aswad, baginda melakukan isyarat kepada hajarul aswad dengan sesuatu yang ada pada baginda dan baginda bertakbir.” (HR al-Bukhari).

            Tidak terdapat hadis marfu’ yang menunjukkan baginda ada membaca basmalah ketika sampai di sudut hajarul aswad. Riwayat sahih tentang membaca Basmalah dilakukan oleh Ibn ‘Umar ketika beliau istilam dengan membaca بسم الله، والله أكبر berdasarkan riwayat al-Baihaqi dan selain beliau dengan sanad yang sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Nawawi dan al-‘Asqalani. Namun riwayat yang mauquf ini disangka marfu’ oleh Ibn al-Qayyim dari riwayat al-Tabarani. Sebaliknya ia mauquf seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam al-Talkhis. (Lihat Hajjah al-Nabi oleh al-ALbani, hal: 57)   

[13] Dalam riwayat Muslim, al-Nasai’e, Ibn al-Jarud dan al-Baihaqi terdapat lafaz: ثم مضى عن يمينه maksudnya: “Kemudian baginda bergerak menuju ke aras kanan.”

[14] Al-Raml (الرمل) iaitulah berjalan dengan laju secara melangkah pendek, dinamakan juga sebagai al-Khabab (الخبب), Dalam Muslim juga terdapat riwayat: أنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ كانَ إذا طافَ بِالبَيْتِ الطَّوافَ الأوَّلَ، خَبَّ ثَلاثًا ومَشى أرْبَعًا maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW apabila melakukan tawaf di Kaabah tawaf yang pertama, baginda akan melakukan khabab pada tiga pusingan yang awal dan berjalan biasa pada baki empat pusingan berikutnya.” Dalam riwayat Ahmad terdapat lafaz: حتى عاد إليه  maksudnya: “Sehingga baginda kembali kepadanya (sudut al-Hajar al-Aswad).”

[15] Riwayat al-Tahawi dalam Syarh al-Ma‘aniy terdapat lafaz: على هِيْنَتِهِ  maksudnya: “(Baginda tawaf pada empat pusingan berikutnya) dalam keadaan tenang (tanpa berlari anak).” Kalimah هِيْنَتِهِ  seperti yang dinyatakan oleh al-Qari adalah dengan dibaris kasrah “Ha”, sukun huruf “Ya, fathah huruf “Nun” dan kasrah huruf “Ta”. (Lihat “Ta’liq al-Mumajjad ‘Ala Muwattha’ Malik oleh Abu al-Hasanat al-Laknawi 2/37).

Nabi SAW tawaf dalam keadaan mudhtabi‘an (مضطبعا) seperti yang dinyatakan di dalam hadis. al-Idhtiba’ (الاضطباع) ialah memakai kain ihram dengan cara membiarkan bahu kanan terbuka. Manakala hujung kain diletakkan di atas bahu kiri. Apabila selesai tawaf, kedua-dua bahu ditutup semula dengan kain ihram.

[16] Dalam riwayat al-Nasae’i dengan lafaz: ورفع صوته يسمع الناس maksudnya: “Dan baginda mengangkat suara, mendengarkannya kepada orang ramai.”

[17] Dalam riwayat al-Baihaqi dan Ahmad فصلى ركعتين maksudnya: “Baginda menunaikan solat dua rakaat.”  

[18] Ungkapan ini daripada Ja’far bin Muhammad. Bapa beliau yang dimaksudkan ialah Muhammad bin ‘Ali bin Husain yang meriwayatkan hadis ini daripada Jabir bin ‘Abdillah

[19] Dalam riwayat lain dinyatakan Qul Ya ayyuhal Kafirun dan Qulhuwallahu Ahad.

[20] Dalam riwayat Ahmad terdapat lafaz: ثم ذهب إلى زمزم فشرب منها وصب على رأسه maksudnya: “Kemudian baginda pergi ke telaga Zam-zam dan meminum airnya juga mencurahkan air Zam-zam ke atas kepala baginda.”

Cetak
Wallahu a'lam