SDI 1726: Emas Yang Dijumpai Menggunakan Alat Pengesan Logam

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 271

Soalan:

Assalamualaikum ustaz.. kalau seseorang itu terjumpa cincin emas atau syiling² lama atau besi² dan logam di pantai dengan menggunakan alat metal detector, adakah brg² itu menjadi hak milik org yg jumpa?bolehkah dijual?

Jawapan:

Apa-apa yang dijumpai oleh seseorang di laut, padang pasir, tempat terbiar, atau kawasan lain yang tidak dimiliki oleh individu tertentu, hukumnya berbeza mengikut sifat barang yang dijumpai tersebut:

[1] Jika ada bukti ia barang baru, maka ia dianggap sebagai luqatah (barang yang dijumpai). Orang yang menemukannya perlu mengumumkan selama satu tahun. Jika pemiliknya ditemui, barang itu wajib diserahkan kepada pemiliknya. Namun, jika pemilik tidak dijumpai, barang itu boleh dimanfaatkan oleh orang yang menjumpainya. Jika suatu hari pemiliknya muncul, barang itu wajib diserahkan kepadanya jika ada atau diserahkan dinilainya.

[2] Jika barang itu lama dan tidak mungkin milik seseorang yang dikenali pada zaman ini, ia dianggap sebagai rikaz (harta terpendam). Orang yang menemukannya berhak memilikinya tanpa perlu mengumumkannya. Namun, dia wajib mengeluarkan zakat sebanyak 20% atau satu perlima (1/5) dari jumlah keseluruhan sebaik sahaja memilikinya jika ia mencapai nisab, tanpa perlu menunggu sempurna haul atau setahun qamari, sebagai zakat rikaz, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:

وفي الركاز الخمس

"Dan pada rikaz itu ada zakat satu perlima." (Muttafaq ‘alaih)

[3] Jika barang itu dicari-gali dan melalui proses pemurniaan, maka masuk dalam kategori ma’din (الْمَعدِن) dengan dibariskan fathah huruf Mim, dan kasrah huruf Dal (sila lihat Mughniy al-Muhtaj 2/100). Orang menemukannya berhak memilikinya, namun diwajibkan mengeluarkan zakat apabila memilikinya jika ia mencapai nisab, tanpa perlu menungggu haul (sempurna pemilikan setahun qamari) menurut kadar zakat ma'din iaitu seperempat daripada sepersepuluh, atau 2.5% daripada jumlah keseluruhan yang diperolehi.

Kata al-Imam al-Nawawi RH:

قال أصبحنا: أجمعت الأمة على وجوب الزكاة في المعدن

"Menurut para sahabat kami (ulama mazhab Syafie): Umat Islam telah sepakat bahawa zakat wajib dikenakan pada ma’din." (al-Majmu’ 6/73)

 

 

Cetak
Wallahu a'lam