Huraian Kitab al-Zakah dari Minhaj al-Talibin al-Imam al-Nawawi (1)

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 40

Huraian Kitab al-Zakah dari Minhaj al-Talibin al-Imam al-Nawawi (1)

Kata al-Imam al-Nawawi RH:

كتاب الزكاة: باب زكاة الحيوان

إِنَّمَا تَجِبُ مِنْهُ في النَّعَمِ -وَهِيَ: الإِبِلُ وَالْبَقَرُ وَالْغَنَمُ- لَا الْخَيْلُ وَالرَّقِيقُ، وَالْمُتَوَلِّدُ مِنْ غَنَمٍ وَظِبَاءٍ

Kitab al-Zakat: Bab Zakat Haiwan

Zakat haiwan hanya diwajibkan pada haiwan na‘am (النَّعَمِ) atau haiwan ternak, iaitu: Unta, Lembu (termasuk kerbau) dan Kambing (termasuk biri-biri). Tidak wajib zakat pada: Kuda, Hamba sahaya, Haiwan kacukan antara kambing dan kijang liar (ظباء).

Huraian

Zakah (الزكاة) dari segi bahasa bermaksud: subur dan berkat (النمو والبركة). Contohnya dikatakan: "Zaka al-Zar‘u" (زَكَا الزَّرْعُ) bermaksud: "Tanaman itu tumbuh subur". Ia juga digunakan dalam erti: pujian, seperti dalam firman Allah: "فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ("Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu sendiri" (al-Najm: 32). Juga digunakan dengan maksud penyucian, seperti dalam firman Allah: "قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا"("Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya" (al-Shams: 9) maksudnya: menyucikan jiwa dari kotoran dan dosa.

Zakat dari segi istilah syarak ialah:

اسم لقدر من مال مخصوص، يُصرف لطائفة مخصوصة، على أوصاف مخصوصة

Satu kadar tertentu daripada harta tertentu, yang disalurkan kepada golongan yang tertentu, dengan memenuhi syarat-syarat tertentu.

Dinamakan zakat kerana: harta itu menjadi subur dan diberkati dengan sebab ia dikeluarkan zakat. Ia juga menyucikan orang yang mengeluarkannya daripada dosa. Serta perbuatan itu berhak dipuji kerana zakat itu menjadi bukti keimanan yang benar dimiliki oleh pelakunya.

Dalil Kewajipan Zakat

Asas kewajipan zakat, sebelum berlaku ijmak (kesepakatan ulama), adalah firman Allah SWT :

﴿وَآتُوا الزَّكَاةَ﴾

"Dan tunaikanlah zakat” (al-Baqarah: 43)

Demikian juga hadis Nabi SAW:

بُنِيَ الإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ

"Islam dibina atas lima perkara..." (riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn ‘Umar RA)

Dan juga dalil-dalil lain yang akan disebutkan secara terperinci dalam bab-bab berikutnya.

Cetak
Wallahu a'lam