Soalan
Bolehkah zakat diberikan kepada seorang individu sahaja atau perlu diagihkan kepada beberapa orang? Bolehkah juga diberikan wang zakat kepada orang miskin yang sama setiap tahun?
Jawapan
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, serta ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda. Amma ba‘d:
Terdapat lapan golongan yang layak menerima zakat sebagaimana yang disebut dalam firman Allah SWT:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
"Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil yang mengurusnya, orang yang dilunakkan hatinya (untuk memeluk Islam), untuk hamba yang ingin memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk musafir yang terputus bekalan, sebagai satu kewajipan daripada Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah: 60)
Harus memberikan zakat hanya kepada satu golongan sahaja dari lapan golongan yang berhak menerima zakat. Contohnya hanya diberikan kepada golongan fakir tanpa golongan yang lain. Inilah pandangan yang dinilai lebih benar di sisi sebahagian para ulama. Bahkan, dibenarkan juga untuk memberikan zakat kepada seorang individu daripada satu golongan tersebut, berdasarkan hadis Qabisah (قبيصة) RA, di mana Rasulullah SAW bersabda:
أقم عندنا حتى تأتينا الصدقة فنأمر لك بها
“Tinggallah bersama kami sehingga datang kepada kami harta zakat, maka kami akan arahkan supaya diberikan kepadamu.” (Diriwayatkan oleh Muslim dalam Bab Zakat, jilid 7/halaman 133, dengan syarah Imam Nawawi)
Adapun tentang jumlah atau kadar yang boleh diberikan kepada seseorang, menurut ulama mazhab Maliki dan Hanbali, orang fakir dan miskin boleh diberikan kadar keperluan penuh (الكفاية) bagi dirinya dan tanggungannya untuk tempoh satu tahun.
Manakala menurut ulama mazhab Syafi‘i, mereka boleh diberikan jumlah yang mengeluarkan mereka daripada keadaan memerlukan kepada keadaan mencukupi, iaitu yang mencukupi untuk jangka masa panjang atau berterusan.
Namun menurut Imam Abu Hanifah dan Ashab beliau, tidak dibenarkan memberi lebih daripada 200 dirham kepada seseorang, melainkan jika dia mempunyai tanggungan seperti isteri dan anak-anak; maka boleh diberikan jumlah tersebut bagi setiap seorang daripada mereka. (Lihat Hasyiah ad-Dusuqi 1/464, al-Majmu’ 6/193 dan al-Inshaf 3/238)
ar-Ruhaybani dalam kitab Matolib Uli an-Nuha 2/136 berkata:
وعليه فيعطى محترف ثمن آلة وإن كثر، وتاجر يعطى رأس مالٍ يكفيه، ويعطى غيرهما من فقير ومسكين تمام كفايتهما مع كفاية عائلتهما سنة، لتكرر الزكاة بتكرر الحول
“Oleh itu, seseorang pekerja boleh diberikan harga alat kerja walaupun mahal; seorang peniaga boleh diberikan modal yang mencukupi baginya; manakala bagi fakir dan miskin lain pula diberikan keperluan penuh untuk dirinya dan tanggungannya selama setahun, kerana zakat berulang setiap tahun.”
Dibenarkan juga memberi zakat kepada orang yang sama setiap tahun, selama mana dia masih tergolong dalam golongan yang layak menerima zakat.