Soalan:
Adik-beradik saya dan ibu saya pergi bercuti ke bandar Taif. Niat asal mereka adalah untuk menunaikan umrah. Namun begitu, ke Taif terlebih dahulu beberapa hari, kemudian barulah mereka pergi ke Mekah melalui Taif. Adakah mereka dikenakan fidyah kerana tidak berihram dari miqat?
Jawapan:
Sesiapa yang berniat untuk menunaikan ibadah haji atau umrah, tidak boleh melepasi miqat tanpa berihram. Jika dia melepasi miqat dan berihram selepas miqat, maka dia telah meninggalkan satu kewajipan umrah, dan perlu membayar dam sebagai gantinya.
Tempat-tempat miqat telah ditentukan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang terdapat dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim daripada Ibn Abbas RA:
أَنّ النّبِيّ صلى الله عليه وسلم وَقّتَ لأَهْلِ الْمَدِينَةِ ذَا الْحُلَيْفَةِ وَلأَهْلِ الشّامِ الْجُحْفَةَ وَلأَهْلِ الْيَمَنِ يَلَمْلَمَ وَلأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنا فَهُنّ لَهُمْ وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنّ مِنْ غَيْرِ أَهْلِهِنّ مِمّنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَجّ وَالْعُمْرَةَ فَمَنْ كَانَ دُونَهُنّ فَمِنْ أَهْلِهِ حَتّى إِنّ أَهْلَ مَكّةَ يُهِلّونَ مِنْهَا
“Bahawa Nabi SAW telah menetapkan miqat bagi penduduk Madinah di Dzul Hulaifah, bagi penduduk Syam di al-Juhfah, bagi penduduk Yaman di Yalamlam, dan bagi penduduk Najd di Qarn (Qarnul Manazil). Tempat-tempat miqat ini untuk penduduknya dan bagi sesiapa yang melaluinya, walaupun bukan penduduk asalnya, bagi sesiapa yang berhasrat untuk menunaikan haji atau umrah. Maka bagi sesiapa yang berada dalam kawasan antara miqat dan Mekah, maka miqatnya adalah dari tempat dia berada, hatta penduduk Mekah sendiri berihram dari Mekah.”
Jika adik-beradik dan ibu anda tidak melepasi miqat yang disebut dalam hadis (iaitu Qarnul Manazil قرن المنازل – yang kini dikenali sebagai al-Sail al-Kabir السيل الكبير), maka tiada masalah mereka ke Taif kerana Taif berada sebelum miqat Qarnul Manazil.