Soalan:
Salam Ust...dalam solat berjemaah...adakah sunnah membaca "rabbighfirli waliwadai...." oleh makmum satelah imam sebut "waladhoolliinn.."sabelum makmum sebut "aamiin"...
Jawapan:
Ada beberapa riwayat tentang hal ini. Justeru didapati beberapa ulama ada menyebutnya dan menganjurkannya. Antara mereka ialah 'Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih 2/512 yang berkata:
"al-Tabarani meriwayatkan dengan sanad yang tidak mengapaلا بأس به bahawa baginda AS apabila membaca ولا الضالين baginda menyebut: رب اغفر لي kemudian baru آمين..."
Justeru tidak pelik dan bukan suatu yang boleh diperlekehkan bagi sesiapa yang beramal dengan amalan ini kerana meraikan perbezaan pandangan, perbezaan penerimaan nukilan, hukuman, perbezaan tahap pemahaman dan seumpamanya.
Jika diperhatikan kepada fatwa-fatwa ulama semasa, dari Sa'udi terutamanya seperti Ibn Baz, beliau menolak bacaan ini dan mengatakan ia tidak ada asas. Ada juga ulama semasa lain yang menolak atas alasan selepas menyebut ولا الضالين bukanlah tempat untuk berdoa.
Semakan awal saya mendapati, Ibn Rajab al-Hambali dalam syarahnya kepada Sahih al-Bukhari, bernama Fath al-Bari 7/97-99, selepas menyebut secara ringkas pandangan berkaitan sebutan amin makmum dan Imam selepas membaca surah al-Fatihah, beliau ada menyinggung amalan ini, beliau katanya:
"Amin para malaikat itu adalah ke atas doa sipembaca (surah al-Fatihah yang terdapat doa di dalamnya). Inilah yang sahih yang boleh difahami dari hadis. Ibn 'Abd al-Barr dan selain beliau ada menyebut pendangan-pandangan lain. Perkara ini tidak disebut di sini kerana jauhnya ia dan tersasarnya dari dalil."
Setelah itu beliau datangkan satu riwayat dari al-'Ala daripada bapanya daripada Abu Hurairah yang berkata:
"Apabila imam membaca ummu al-Quran, maka (kamu) bacalah ummu al-Quran dan mendahului imam. Apabila imam membaca ولا الضالين, para malaikat akan berkata: آمين, maka sesiapa yang bertepatan aminnya maka akan dimustajabkan untuknya. Tidak dianjurkan menyambung sebutan amin dengan zikir lain seperti menyebut: "Amin Rabb al-'Alamin" kerana tiada anjuran dari Sunnah. Inilah pandangan para Sahabat kami (mazhab al-Hambali). Kata al-Syafi'ie: “ia suatu yang baik.” Tidak dianjurkan juga didahulukan sebelum sebutan amin sebarang doa. Ini kerana amin tersebut adalah untuk doa yang ada dalam al-Fatihah iaitulah doa minta hidayah ke jalan yang lurus. Ia juga merupakan doa yang paling penting dan paling mulia."
Namun di kalangan salaf terdapat mereka yang menganjurkan demikian itu (doa sebelum sebutan amin). Antara mereka itu ialah al-Rabi' bin Khuthaim dan al-Thauri. Abu al-Nu'aim meriwayatkan dalam Kitab al-Solah, katanya:
"Menceritakan kepada kami Abu Malik al-Nakha'ie daripada al-Mughirah bin al-Nu'man daripada Sa'ied bin Jubair daripada Ibn 'Abbas yang berkata: "Apabila imam menyebut غير المغضوب عليهم والضالين maka buatlah permintaan, moga akan diperkenankan. Kemudian sebutlah: آمين."
Kata Ibn Rajab: Abu Malik yang ada dalam sanad riwayat ini seorang yang lemah/dhoief. Ibn Rajab juga mendatangkan riwayat lain dengan sanadnya hingga kepada Wa'il bin Hujr yang mendengar Nabi SAW ketika membaca: غير المغضوب عليهم ولا الضالين, kemudian baginda membaca: رب اغفر لي, kemudian: آمين.
Setelah itu Ibn Rajab berkata: "Dikeluarkan ia (hadis ini) oleh al-Baihaqi dan selain beliau. Isnad hadis ini tidak dijadikan hujjah dengannya. Abu Hamzah meriwayatkan daripada Ibrahim al-Nakha'ie yang berkata: "mereka (sahabat) menganjurkan demikian itu" Abu Hamzah ini adalah Maimun al-A'war, (seorang) dhoief (lemah).”
Seterusnya Ibn Rajab berkata: "Zahir hadis-hadis menunjukkan bersambungan sebutan amin dengan al-Fatihah tanpa perlu ada ruang senyap antara keduanya. Manakala ulama mazhab al-Syafi'ie menggalakkan senyap seketika antara al-Fatihah dengan amin bagi memisahkan antara al-Quran (surah al-Fatihah) dengan sesuatu yang bukan dari ayat al-Quran (kalimah amin).”
Berdasarkan nukilan ini, apa pendirian kita?
1. Tiada riwayat sahih tentang anjuran berdoa selepas habis membaca al-Fatihah dan sebelum menyebut amin.
2. Menyebut رب اغفر لي selepas membaca ولا الضالين di hujung surah al-Fatihah sebelum membaca آمين TIDAK termasuk dalam perkara yang membatalkan solat.
3. TIDAK BOLEH diperlekeh, disindir, dihukum bidaah kepada sesiapa yang melakukannya. Melainkan dengan tujuan memberi penjelasan perkara yang lebih bertepatan dengan sunnah.
4. Perkataan Ibn Rejab jelas menunjukkan beliau tidak bersetuju dengan amalan ini. Namun disebabkan beliau juga ada membuat dakwaan terdapat salaf yang menganjurkannya, maka persoalan ini masih tergantung dan memerlukan kajian dan semakan yang lebih lanjut.